L’Oréal Menghasilkan Peranti Membantu OKU Memakai Gincu Dan Pencetak Solekan Kening

Diterbitkan pada Jan 6, 2023. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Ciri ketercapaian pada telefon pintar membantu golongan OKU untuk menggunakannya sama seperti insan biasa. Tetapi masih terdapat banyak halangan untuk golongan OKU berdikari kerana pelbagai produk, peranti dan prasarana tidak direka untuk mereka. Di CES 2023, L’Oréal telah melancarkan peranti yang membantu golong OKU untuk memakai gincu bibir dengan lebih selesa dan mesin pencetak solekan bulu kening.

Hapta ialah gimbal untuk gincu yang menstabilkan alat solek ini apabila dipegang oleh OKU yang mempunyai kekurangan mobiliti. Ia mengurangkan getaran tangan pada mereka yang menghidap cerebral palsy, kekurangan mobiliti kerana strok dan pesakit Parkinson.

Ia mengambil masa setahun untuk dibangunkan dengan maklum balas daripada pengguna adalah positif setakat ini. L’Oréal menyasarkan Harpa akan dipasarkan di Amerika Syarikat pada tahun ini dan global pada tahun hadapan dengan harga bermula $149 (~RM655).

Turut dibangunkan ialah L’Oréal Brow Magic yang adalah mesin pencetak solekan bulu kening mata. Menggunakan aplikasi L’Oréal’s Modiface AR, wajah pengguna diimbas terlebih dahulu. Kemudian mereka boleh memilih bentuk solekan kening yang ingin dicetak. Lalukan Brow Magic pada wajah dan solekan anda dicetak terus pada wajah.

Brow Magic mempunyai 2400 muncung kecil pencetak dengan kepadatan 1200 dpi. Peranti ini dibangunkan dengan kerjasama Prinker yang mempunyai kepakaran menghasilkan mesin pencetak cacah sementara pada kulit.

komen


© Amanz / 2023 Kami