Sennheiser Conversation Clear Plus Ialah Fon Telinga Dengan Fokus Terhadap Perbualan

Diterbitkan pada Jan 6, 2023. oleh .

Jika anda seorang yang sering berada di lokasi-lokasi yang bising, tetapi masih mahu atau perlu mengadakan perbualan yang penting, Sennheiser baru sahaja memperkenalkan fon telinga terbaru mereka yang mempunyai fokus terhadap perbualan tidak kira muka-ke-muka, ataupun melalui telefon.

Fon telinga Sennheiser terbaru ini dinamakan Sennheiser Conversation Clear Plus dan hadir dengan fokus yang agak unik, walaupun jika dibandingkan dengan fon telinga produktiviti yang lain. Dua ciri utama yang diperkenalkan pada fon telinga ini termasuklah penggunaan cip Sonova dan juga mod Automatic Scene Detection.

Kedua-dua komponen dan perisian ini bergabung untuk bukan sahaja memberi pengguna kualiti pembatalan bunyi hingar yang sangat baik, tetapi boleh menguatkan audio perbualan diantara pengguna dan individu-individu yang lain, membolehkan pengguna untuk mendengar perbualan walaupun dalam situasi yang bising. Lebih menarik lagi, fungsi pembatalan hingar dan juga kawalan kelantangan perbualan ini boleh dimanfaatkan untuk kedua-dua perbualan muka-ke-muka dan juga melalui panggilan telefon.

Fon telinga Conversation Clear Plus ini juga hadir dengan aplikasi tersendiri yang boleh dimuat-turun. Melalui aplikasi ini, anda boleh mengubahsuai tetapan fon telinga ini, dan mengaktifkan beberapa mod berbeza seperti Relax, Communication dan Streaming untuk pelbagai tujuan yang berbeza. Ya, jika anda seorang penstrim kandungan, fon telinga ini sedikit sebanyak boleh digunakan untuk meningkatkan mutu audio penstriman anda, khususnya dari segi penggunaan mikrofon untuk berborak dengan peminat-peminat anda.

Dari segi jangkahayat bateri pula, fon telinga ini hadir dengan jangkahayat bateri selama 9 jam, dan dengan penambahan rangka pengecasan pula, ia hadir dengan penambahan 27 jam. memberikannya jangkahayat bateri penuh selama 36 jam.

Sennheiser mengatakan bahawa fon telinga Conversation Clear Plus ini akan ditawarkan bermula bulan Mac pada harga NZD$1499.99.

komen


© Amanz / 2023 Kami