Razer Leviathan V2 Pro Adalah Soundbar Dengan Penjejak Kepala AI

Diterbitkan pada Jan 6, 2023. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Razer Leviathan adalah soundbar gaming khusus untuk digunakan bersama dengan monitor. Tahun 2022, dua Leviathan telah dilancarkan iaitu Leviathan V2 dan Leviathan V2 X. Di acara CES 2023, satu lagi model telah dilancarkan iaitu Leviathan V2 Pro.

Ia adalah soundbar mercu mereka dengan sokongan audio THX, tetapi lebih hebat kerana turut menyokong penjejakan kepala agar audio yang pengguna dengar sentiasa seimbang dan imersif.

Razer menggunakan sistem kamera penjejakan kepala kecerdasan buatan untuk menjejak kepada pengguna secara langsung agar audio yang dikeluarkan akan sentiasa capai ke telinga pengguna. Kamera yang digunakan adalah kamera infra merah oleh Audioscenic. Dengan teknologi ini, Razer boleh menyertakan sokongan audio spatial set fon kepala maya seakan pengguna memakai set fon kepala dan audio spatial speaker maya untuk audio imersif yang menyeluruh.

Untuk kawalan, seperti biasa terdapat beberapa butang fizikal untuk penyama, mod 3D THX Spatial Audio Virtual Headset dan THX Spatial Audio Virtual Speakers, tombol berputar laras suara merangkap butang kuasa, butang sumber dan juga butang Razer Chroma.

Untuk audio, Razer Leviathan V2 Pro menggunakan lima pemacu audio aktif bersaiz 5-inci yang menghala ke hadapan. Kemudian dalam setiap pembelian, Razer turut menyertakan subwoofer yang menggunakan satu pemacu audio bersaiz 5.25-inci.

Razer Leviathan V2 Pro turut menyokong sambungan bicu audio 3.5mm, USB-C, Bluetooth 5.0 dan semua kawalan turut boleh menggunakan aplikasi Razer Audio yang disokong pada peranti Android dan iOS.

Harga jualan tempatan masih belum diumumkan lagi, tetapi di AS ia dijual pada harga $399.99 – sekitar RM1,758.

komen


© Amanz / 2023 Kami