Set Kepala HTC Vive XR Elite Dilengkapi Skrin 4K Dan Berfungsi Secara Kendiri

Diterbitkan pada Jan 6, 2023. oleh .

HTC Vive XR Elite akhirnya dilancarkan secara rasmi selepas sebelum ini diacah oleh HTC. Vive XR Elite ialah set kepala realiti terimbuh (AR) kendiri yang bersaing dengan Pico 4 dan Meta Quest Pro. Ia dilengkapi dwi-skrin dengan resolusi 3840×1920 pixel dengan kadar segar semula 90Hz, sudut pandangan 110 darjah dan kemampuan mengesah pergerakan 6 DoF.

Ia dilengkapi empat kamera untuk melakukan penjejakan dalam ruang secara masa nyata dan satu kamera 16MP untuk mod tembus berwarna. Dengan mod tembus berwarna, Vive XR Elite boleh menggabungkan dunia nyata dengan dunia maya.

Dengan diopter terbina, Vive XR Elite boleh digunakan oleh individu rabun tanpa memakai cermin mata. Untuk berfungsi secara kendiri, set kepala menggunakan cip Snapdragon XR2, memori 12GB RAM dan storan 128GB.

Pek bateri diletakkan di bahagian belakang kepala bagi memberikan keseimbangan. Ia boleh ditanggalkan dengan pantas untuk meneruskan penggunaan menerusi pek bateri baharu. Pek bateri ini boleh ditanggalkan terus dengan set kepala dipakai seperti cermin mata. Ini adalah berguna ketika ia disambungkan kepada PC menggunakan kabel. Apabila ini dilakukan, berfungsi sebagai set kepala VR yang disokong platform Steam dan Viveport dengan lebih 100 permainan.

Melengkapi set kepala Vive XR Elite ialah sepasang alat kawalan fizikal. Tetapi Vive XR Elite juga mempunyai kemampuan untuk menjejak pergerakan tangan dan jari. Ia akan dijual bermula Februari pada harga $1099 (~RM4832) untuk satu set.

komen


© Amanz / 2023 Kami