Ulasan – Prism+ Symphony Soundbar Untuk Peminat Filem Bayhem

Diterbitkan pada Jan 11, 2023. oleh .

Sebab utama ramai suka menonton filem di panggung ialah skrin lebih besar, kerusi yang selesa dan sistem audio yang mantap. Tetapi kini apa yang berlaku ialah ramai pengguna mula membeli TV lebih besar, sistem audio lebih baik dan mempunyai ruang tamu dengan kerusi yang selesa kerana terperangkap ketika pandemik.

Ini dibuktikan dengan jualan TV 4K bersaiz 65″ ke atas yang naik pada tahun 2022. Pembelian sistem panggung di rumah turut dibantu oleh harga tiket wayang yang semakin mahal dan filem akan ke platform penstriman selepas dua bulan. Kenapa membazir jika boleh menunggu?

Prism+ Symphony ialah produk baharu daripada syarikat AV dari Singapura dengan sokongan Dolby Atmos. Apakah kelebihan dan kekurangan yang ada pada soundbar gergasi ini? Teruskan membaca.

Spesifikasi

Prism+ Symphony
JenisSoundbar
Pemandu11 speaker (5.1.2)
Port I/O1x HMDI eARC
2x HDMI
1x Optikal
1x Coax
1x Aux
1x USB-A
CodecDolby Digital
Dolby Digital Plus
Dolby TrueHD
Dolby Atmos
Sistem operasi disokongSemua
Sokongan pembantu mayaTiada
Pad sesentuhTiada
BluetoothBluetooth 5.1
Bicu Audio AUXYa
NFCTiada
Harga Jualan RM 1999

Prism+ Symphony ialah soundbar paling mercu ditawarkan oleh Prism+ di Malaysia dengan sebuah lagi model iaitu Flow mempunyai saiz yang lebih kecil dan sokongan audio 2.1 sahaja. Pada Symphony 10 speaker dan satu subwoofer 8″ bergabung menyokong audio dengan saluran 5.1.2 lengkap dengan sokongan Dolby Atmos. Saiznya juga jauh lebih besar berbanding soundbar lain yang pernah kami ulas.

Berapa besar, ia cukup-cukup boleh diletakkan di bawah TV Prism+ Q65 yang kami ulas sebelum ini. Kerana saiznya yang besar (1200 x 108 x 70 mm), kami tidak boleh sarankan Symphony dipadakan dengan TB bersaiz bawah 65″ kerana akan nampak kurang seimbang dan mungkin tiada ruang di atas meja sistem audio di rumah.

Soundbar mempunyai kekisi logam di hadapan dengan bahagian sisi dibulatkan. Empat speaker menembak ke hadapan, dua lagi ke atas, dua tweeter dan dua penembak siri sisi untuk audio menyeluruh. Inilah sebab saiz Symphony adalah amat besar. Lebih panjang jika kami bandingkan dengan Samsung HW-Q930B yang digunakan di rumah sekarang.

Rekaan terasa premium kerana penggunaan bahan logam pada tubuh dan hanya sisi yang diperbuat daripada bahan plastik. Di bahagian atas terdapat beberapa butang fizikal getah yang lembut untuk kuasa, menukar input, dan mengubah kelantangan audio. Setiap butang dilabel dengan baik memudahkan penggunaan tanpa perlu membaca manual.

Terdapat sebuah skrin LCD yang menunjukkan status audio di hadapan dengan ia diletakkan di belakang kekisi audio yang besar. Ianya terang dan mudah dilihat walaupun di siang hari.

Di bahagian belakang soundbar ini pula diletakkan input untuk 1x HMDI eARc, 2x HDMI 2.0, 1x bicu audio, 1x optikal,1x coax dan 1x USB. Pilihan I/O yang diberikan adalah cukup mewah. Port untuk palam kuasa juga diletakkan di belakang dengan ia mudah diakses. Semua port HDMI juga menyokong DRM HDCP 2.3 yang membolehkan kandungan pemain BluRay (jika anda masih ada pemain cakera fizikal), PlayStation 5, Chromecast, dan Apple TV disambungkan tanpa sebarang isu.

Melengkapkan sistem ini ialah sebuah subwoofer nirwayar bersaiz 420x240x240 mm yang dilengkapi speaker sebesar 8″ yang menembak ke bawah. Tubuh diperbuat daripada plastik tetapi masih terasa tegap dan berat.

Beratnya keseluruhan sistem ialah 9.7 kilogram maka berhati-hatilah apabila diletakkan di atas meja di ruang tamu. Kalau terjatuh ia boleh mendatang kecederaan yang serius kepada anak kecil. Tetapi berat ini juga mempunyai kelebihan kerana kucing di rumah tidak cukup kuat untuk menolaknya ke bawah. Kami mempunyai isu kucing yang suka menyelongkar dan beberapa speaker kecil dan soundbar ringan akan dilihat terjatuh di lantai apabila pulang ke rumah. Symphony mempunyai rekaan anti kucing ganas yang cemerlang!

Penggunaan

Proses sambungan kepada TV adalah semudah memasang kabel kuasa dan menyabungkan kabel HDMI ke port HDMI eARC ke TV. Unit diulas menggunakan televisyen pintar Prism+ Q65, Prism+ Q86 Pro dan Samsung QN900B. Symphony dikesan dengan mudah tanpa sebarang isu dan dengan kemampuan output Dolby Atmos tanpa perlu tetapan tambahan.

Kerana sokongan ARC, Symphony boleh dikawal menggunakan alat kawalan TV. Tetapi jangan dicampak pula alat kawalan jauh yang diberikan kerana ia masih berguna untuk melakukan perubahan kelantangan Bass dan Treble. Ini adalah perlu kerana kami akan nyatakan sebabnya pada segmen kualiti audio di bawah.

Bercakap mengenai alat kawalan jauh ianya diperbuat daripada bahan plastik yang sedap dipegang dengan butang diperbuat daripada bahan getah lembut. Tetapan lain yang boleh diubah menggunakan alat kawalan jauh ini ialah mod audio (Music, Movie, dll) dan pilihan input. Ia turut berguna untuk mengawal muzik yang sedang distrim kerana mempunyai butang kawalan asas. Sepasang bateri AAA diperlukan untuk membekalkan kuasa.

Kualiti Audio

Anda suka menonton filem aksi Michael Bay dengan letupan bom dan bunyi tembakan setiap beberapa minit? Jika anda tergolong dalam kumpulan in, Symphony dihasilkan khusus untuk anda kerana kekuatannya terletak pada bass yang cukup lantang. Terasa seperti dada ditumbuk dan meja TV di rumah bergetar. Ini berlalu walaupun audio hanya diletakkan pada tetapan 15% sahaja.

Pada tetapan yang masih agak rendah ini, ia setanding dengan tetapan 80% pada Prism+ Q65 yang kami gunakan di rumah. Cukup lantang sehingga kucing bertempiaran lari di rumah dan isteri mula merungut seperti rumah dilanda naga dalam filem Transformers The Last Knight. Babak awal Normandy Beach dalam filem Saving Private Ryan misalnya sangat mengujakan. Jeritan askar ditembak, getaran letupan mortar dan deruman MG-42 memenuhi segenap ruang tamu dengan baik.

Audio dialog juga terang kerana speaker dua speaker tengah yang digunakan. Tetapan audio pada Symphony ialah mengurangkan Bass dan menaikkan Treble kerana dalam situasi tertentu bass yang terlalu lantang menjadikan kualiti audio menjadi terlalu berkecamuk sehingga sukar mendengar bunyi-bunyi yang lain. Kerana Bass yang kuat ini juga, kami merasakan Symphony sesuai untuk golongan gamer FPS. Memainkan Call of Duty Warzone terasa realistik seakan kami memang sedang berperang.

Pengalaman untuk genre lain dan menikmati muzik adalah berbeza sama sekali. Pengasingan antara instrumen muzik Jazz misalnya tidak begitu baik dengan ia agak berkecamuk walaupun dengan mod Music diaktifkan. Seperkara lagi walaupun ia sebuah speaker Dolby Atmos, kami tidak dapat merasakan seakan berada di dalam ruang 3D sebenar. Lontaran audio dari atas dan sisi untuk mod surround tidak begitu berkesan pada Symphony. Mungkin kit dua speaker tambahan nirwayar di belakang boleh ditawarkan di masa hadapan untuk memberikan pengalaman audio surround sebenar di masa hadapan.

Untuk soundbar audio 5.1.2, kami rasakan Samsung Q800B ialah piawaian emas pada waktu ini kerana audio yang lebih seimbang untuk pelbagai genre filem, pengasingan audio lebih ketara, dialog yang jelas dan kesan Dolby Atmos lebih menyeluruh tanpa memerlukan speaker satelit tambahan di belakang seperti Samsung Q990B. Tetapi harus dinyatakan harga jualan Q800B adalah lebih mahal.

Dalam Kotak?

Dalam setiap pembelian, anda akan menerima seperti berikut;

  • 1x Soundbar Prism+ Symphony.
  • 1x Subwoofer Prism+ Symphony.
  • 2x Kabel kuasa 3 pin.
  • 1x Kabel HDMI 1.5m.
  • 1x Kabel aux 1m.
  • 1x Set kit cagak dinding.
  • 1x Manual.

Kesimpulan

Sistem audio dengan Dolby Atmos kini adalah perlu dan bukan lagi pilihan di rumah kerana sokongannya menerusi Apple Music, Netflix, dan Disney+ Hotstar. Prism+ Symphony ialah antara soundbar 5.1.2 dengan Dolby Atmos paling mampu milik di pasaran sekarang. Untuk harga ini kami merasakan prestasinya memuaskan lebih-lebih lagi untuk mereka yang mencari sistem yang mampu menggetarkan rumah ketika menonton filem aksi dan sesi permainan video FPS.

Kelebihan terletak juga pada jumlah I/O yang baik serta binaannya yang teguh. Nampak segak di ruang tamu dan seperti kami katakan ianya anti kucing yang gemar menyelongkar di rumah. Bass pada Symphony adalah agak kuat sehingga boleh menenggelamkan elemen audio lain yang ingin didengari. Secara peribadi kami perlu mengurangkan tetapan bass sebanyak beberapa tahan dan menaikkan treble bagi mendapatkan audio lebih seimbang.

Dari segi skala audio, Prism+ Symphony adalah seperti sepasang fon kepala Sony WH1000XM4 dengan bass yang kuat dan profil audio tidak rata. Jika anda suka kandungan meletup-meletup Bayhem, ini ialah soundbar untuk anda dengan ia boleh dibeli menerusi stor atas talian Prism+ Malaysia. Alternatif yang lebih baik tetapi sedikit mahal ialah Samsung Q800B yang dijual ada harga sekitar RM2400.

Pro

  • Rekaan kemas, cantik dan teguh.
  • Sokongan Dolby Atmos.
  • Sokongan optikal, bluetooth, coax dan aux.
  • Kualiti audio yang memuaskan untuk kandungan aksi.
  • Speaker 5.1.2 yang harga paling kompetitif di pasaran.

Kontra

  • Agak besar tidak sesuai dipadankan dengan TV bawah 65″.
  • Audio tidak seimbang dengan cenderung kepada bass.
  • Kesan surround yang tidak begitu menyeluruh.

komen


© Amanz / 2023 Kami