Ulasan – Devialet Mania Speaker Menarik Yang Idiosinkratik

Diterbitkan pada Jan 10, 2023. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Devialet adalah jenama produk audio dari Perancis yang menarik perhatian bukan sahaja kerana rekaan tetapi juga kualiti audio yang mantap. Saya sentiasa mengharapkan suatu hari saya boleh memiliki sekurang-kurangnya satu speaker mereka, walaupun jauh di dalam hati sudah tahu ia berada di luar kemampuan.

Walaupun tidak dapat memilikinya, baru-baru ini saya dapat menguji produk baharu mereka iaitu Devialet Mania. Ia adalah speaker mudah alih berbentuk seakan sebiji bola dengan harga mencecah RM5490. Adakah berbelanja ribuan Ringgit untuk speaker mudah alih sesuatu yang munasabah? Jawapannya di penghujung ulasan ini.


Spesifikasi Dan Rekaan

Devialet Mania
JenisSpeaker Mudah Alih
Pemacu Audio2x 38W kelas-D woofer
4x 25W kelas-D speaker aktif aluminium
Penentukuran Stereo Aktif, ACS
Speaker Active Matching, SAM
Seni Bina Rentas-Stereo
Mikrofon4x mikrofon
Cip4x ARM Cortex-A53
Sistem OperasiDevialet Operating System 2 (DOS 2)
Bateri3200mAh
10 jam berterusan
3 jam pengecasan
TambatanBluetooth 5.0
AirPlay 2
Spotify Connect
PengecasanUSB-C PD
Dermaga Nirwayar
Sokongan aplikasiAndroid, iOS
KawalanButang Fizikal
Kemampuan kalis airIPX4
Harga JualanRM4490 (Speaker)
RM5490 (Speaker + Dermaga Pengecas)

Sudah agak lama di Amanz kami tidak menguji speaker mudah alih. Sejak kebelakangan ini semuanya adalah soundbar atau speaker meja sahaja. Apabila Devialet Mania ini tiba di makmal Amanz, saya rasa teruja kerana dapat menggunakan speaker ini walaupun dalam tempoh yang singkat.

Mania hadir dengan rekaan yang nampak cantik, unik dan berbeza dengan kebanyakan speaker mudah alih lain. Ia berbentuk bulat dengan pemegang terbina di bahagian atas. Ia kelihatan cukup retro-futuristik yang mengingatkan kami kepada The Matrix of Leadership yang diletakkan di dalam dada Optimus Prime.

Kemasan pada speaker ini adalah fabrik secara keseluruhan dalam binaan yang padat, berat dan terasa tegap. Ia turut mempunyai kemasan krom yang menjadikan Mania nampak lebih sedap mata memandang. Ia juga kelihatan sesuai untuk dijadikan sebagai hiasan di rak, meja atau bersebelahan dengan komputer kerana rekaannya yang nampak bergaya.

Walaupun Mania adalah sebuah speaker mudah alih, beratnya mencapai 2.3 kg. Pada saya ia amat berat untuk sebuah speaker mudah alih tetapi dengan ada pemegang terbina ia masih mudah untuk dipindahkan dari bilik ke bilik. Misalnya di pejabat Amanz, saya boleh alihkan dari meja kerja ke studio seakan membawa beg kecil. Tetapi pada hemat saya ia tidak sesuai untuk di bawa berjalan-jalan ke luar seperti untuk bercuti kerana terasa sayang jika berlaku kerosakan.

Bahagian tali pemegang plastik ini berterusan ke seluruh bahagian sisi tubuh Mania. Pada sisi kanan terdapat butang untuk main/jeda, melaras kekuatan audio dan empat lampu LED untuk menunjukkan tahap bateri dan sambungan. Di sisi kiri pula diletakkan butang kuasa, butang Bluetooth, butang Devialet untuk melihat status bateri, suis mikrofon dan port USB-C. Akhir sekali di bahagian bawah pula terdapat komponen pengecasan nirwayar bermagnet untuk digunakan bersama Mania Station yang dijual secara berasingan.

Speaker ini turut mempunyai perlindungan kalis air IPX4 dan mempunyai empat mikrofon terbina di dalam. Mikrofon ini bukan sekadar untuk menjawab panggilan telefon atau menyeru pembantu digital, tetapi turut untuk menggunakan ciri ACS iaitu penentukuran stereo aktif yang boleh mengubah kualiti audio berdasarkan persekitaran.

Bukan itu sahaja, mania turut menyokong ciri SAM iaitu Speaker Active Matching yang memanfaatkan pemacu audio kelas-D yang digunakan serta mempunyai ciri seni bina rentas-stereo yang memberikan pengalaman pendengaran imersif dan menyeluruh 360 darjah tidak kira di mana pengguna dan speaker ini berada – asalkan jarak adalah 1 meter.

Di dalamnya mempunyai enam pemacu, iaitu 2x 38W woofer dan 4x 25W speaker aktif aluminium. Speaker ini turut menyokong sambungan WiFi, Bluetooth 5.0, AirPlay 2 dan Spotify connect.

Kualiti Audio

Untuk speaker yang berharga RM4490 harapan yang tinggi diletakkan kerana kualiti audio perlu setaraf harga. Pada awal penggunaan kualiti audio Devialet Mania ini kedengaran biasa sahaja dan saya tidak faham kenapa ia dijual pada harga sebegini. Tetapi selepas penggunaan sekitar dua minggu dan menggunakan ciri-ciri menarik untuk melaras audio, ia adalah sebuah speaker mempunyai beberapa ciri menarik.

Contohnya ialah ciri ACS yang boleh menentukur audio secara aktif mengikut persekitaran serta ciri rentas-stereo yang memberikan audio imersif tidak kira saya berada di depan atau belakang speaker. Cuma ciri pintar ini hanya disokong dalam bilik dengan ruangan kecil kerana audio 95dB yang Mania boleh hasilkan hanya boleh dicapai dalam lingkungan 1 meter sahaja. Jika di luar lingkungan ini pengalaman menarik ini mungkin tidak dapat dinikmati.

Bass/Lows

Pertama sekali adalah bass. Mania mempunyai bass yang berdentum dengan sangat kuat dan kencang. Ia cukup dalam dan mempunyai rentak yang sedap. Bass pada speaker ini juga bukan kosong dan mempunyai definisi untuk menikmati muzik dengan lebih khusyuk serta mungkin turut akan menghentakkan kaki untuk mula berdansa. Boleh dikatakan semua jenis audio dan muzik bergantung banyak pada bass ini untuk menjadikannya sedap didengar.

Vokal/Mids

Selepas mendengar beberapa muzik dari artis seperti Taylor Swift, Ed Sheeran dan ramai lagi – saya mendapati ia hampir seimbang antara penyanyi lelaki dan wanita. Ia melebihkan sedikit sahaja pada suara lelaki kerana suara yang lebih dalam yang bersesuaian dengan bass. Suara wanita pada majoriti lagu kegemaran saya mempunyai prestasi yang baik, cuma lagu-lagu sedih dan lembut – suara boleh tenggelam sedikit. Usah risau kerana ia boleh dilaras melalui penentukur dalam aplikasi Devialet.

Nada Tinggi/Highs

Nada tinggi yang dihasilkan Devialet Mania ini boleh saya katakan ia mencapai pada tahap yang saya berpuas hati. Ia nyaring yang baik dan tidak terlampau tajam, serta tidak terus berhenti. Cuma disebabkan speaker yang memfokuskan kepada bass, sesetengah pengguna mungkin tidak dapat mendengar nada tinggi yang baik ini berbanding pengguna yang lebih berpengalaman. Saya pun perlu berada di dalam studio dan cuba dengar dengan lebih teliti untuk fahami setiap butiran dan rakan sekerja yang lebih pakar perlu memberi panduan kepada saya apa yang patut saya cari untuk lebih menghayati.

Bateri

Devialet berkata Mania mempunyai ketahanan bateri mencapai 10 jam melalui bateri 3200mAh yang digunakan. Dalam penggunaan saya di pejabat tiada masalah untuk ia bertahan sehingga seminggu kerana ia terlalu lantang dan mengganggu rakan sepejabat yang lain untuk digunakan untuk tempoh lebih lama.

Pengecasan semula menggunakan sistem USB-C PD tidak pantas kerana memerlukan masa hampir tiga jam untuk penuh. Ini seakan mengecas menggunakan mikro USB. Bateri bukanlah bersaiz gergasi sehingga memerlukan masa yang sama seperti menonton filem Avatar untuk dihabiskan.

Mania Station yang dijual pada harga RM449 adalah satu lagi aksesori yang mengecewakan kerana perlu dibeli berasingan. Tetapi dengan adanya Mania Station, speaker boleh terus diangkat dan dialihkan tanpa perlu mencabut kabel USB-C dengan mudah.

Aplikasi Dan Kawalan

Untuk kawalan, butang-butang fizikal yang disediakan cukup berguna. Ia sedap ditekan dan beroperasi dengan lancar. Malah, jika sekadar ingin menonton filem, atau ingin mendengar muzik pada masa yang singkat saya hanya bergantung sepenuhnya pada butang-butang ini. Cuma agak aneh kenapa butang Devialet diperlukan dan hanya berfungsi untuk satu sahaja ciri iaitu mengaktifkan lampu LED untuk melihat tahap bateri. Ciri seperti ini boleh sahaja disertakan dalam satu butang sama yang lain seperti butang kuasa. Ini mungkin adalah untuk identiti mereka.

Suis mikrofon pada Mania adalah untuk mematikannya agar ia tidak sentiasa mendengar, lebih-lebih lagi jika menggunakan Alexa. Tetapi suis ini tidak patut dimatikan kerana ia adalah untuk ciri ACS tadi yang menggunakan kesemua empat mikrofon untuk menentukur audio mengikut keadaan sekeliling. Jika mikrofon tidak aktif, kualiti audio pada Mania adalah di tahap biasa-biasa sahaja.

Pilihan kawalan lain adalah dengan menggunakan Spotify Connect sekiranya pengguna melanggan platform penstriman audio ini. Apabila digunakan, butang-butang pada speaker boleh terus mengawal main/jeda muzik dengan mudah. Cuma sayang sekali tiada butang fizikal untuk menukar muzik yang didengari. Sambungan menerusi Bluetooth 5.0 seperti mana-mana speaker nirwayar boleh dilakukan juga. Bonus ialah sokongan AirPlay 2 yang tidak begitu kerap diberikan kepada sebuah speaker mudah alih.

Aplikasi Devialet untuk Android dan iOS adalah antara aplikasi produk audio paling mesra pengguna pernah saya gunakan. Saya tidak perlukan manual pun dan boleh terus menggunakannya tanpa sebarang isu. Satu aplikasi boleh mengawal semua produk Devialet, terdapat status bateri yang jelas jika lampu LED mengelirukan, terdapat penetukur terbina, suis ACS serta tips untuk pengguna.

Apa Dalam Kotak?

Berikut adalah apa yang anda akan dapat dalam setiap pembelian set asas Devialet Mania;

  • 1x Devialet Mania.
  • 1x Kabel USB-C.
  • 1x Palam Pengecas dan penyesuai.
  • 1x Beg speaker.
  • 1x Panduan.

Kesimpulan

Devialet Mania adalah sebuah speaker mudah alih yang bukan disasarkan untuk semua orang. Harga jualan RM4490 untuk model hitam atau kelabu dan RM5490 untuk warna keemasan yang menyertakan sekali Mania Station adalah sangat mahal. Pada saya sukar memberikan justifikasi membelinya kecuali anda seorang bangsawan atau selebriti sahaja yang mempunyai duit berlebihan untuk dibelanjakan.

Walaupun begitu, untuk pemacu audio yang digunakan, ciri yang disertakan dan pengalaman pendengaran yang sangat memuaskan – Devialet Mania adalah sebuah speaker mudah alih yang paling menarik saya pernah gunakan sepanjang bekerja di Amanz. Bass yang berdentum kencang, vokal yang baik serta aplikasi yang mesra pengguna membuatkan saya boleh terima kenapa harganya semahal ini.

Saya juga mungkin tidak akan mencadangkan speaker ini kepada ahli keluarga atau rakan-rakan, kerana harga yang mahal tidak masuk akal. Alternatif lain, untuk speaker yang padat dan audio yang cukup hebat ialah Sonos Move yang turut dikeluarkan oleh syarikat dengan pedigri bunyi yang baik, speaker kelas-D yang baik, pengalaman audio yang premium, mudah alih dan kalis air. Perbezaannya ialah Sonos Move diperbuat daripada bahan logam yang lebih tahan lasak dan tidak mudah kotor. Ia juga dijual pada harga “lebih marhaen” RM2500 sebuah.


Pro

  • Rekaan yang minimalistik dan nampak mewah.
  • Sokongan Razer Chroma yang memeriahkan lagi meja.
  • Aplikasi yang mesra pengguna dan muda dikawal.
  • Kemampuan kalis air IPX4.

Kontra

  • Kualiti audio yang tidak setanding harga.
  • Pilihan sambungan terhad kepada Bluetooth dan USB-C sahaja.
  • Harga jualan yang terlalu tinggi.
  • Pengecasan perlahan.

komen


© Amanz / 2023 Kami