Emel Tular Mengenai “Bonus Hadiah Keluarga TM” Adalah Palsu
Amy Maizuraa
Telekom Malaysia Berhad (TM) dalam satu kenyataan tampil menafikan emel mengenai program “Bonus Hadiah Keluarga TM” yang tular, baru-baru ini. Emel tersebut mendakwa syarikat itu akan memaklumkan kepada pelanggan berkaitan pemenang hadiah wang tunai di bawah program berkenaan, sekaligus meminta penerima untuk memberikan butiran peribadi bagi membuat tuntutan.

TM menegaskan, emel berkenaan tidak dikeluarkan oleh pihaknya dan ia adalah modus operandi penipuan. Sehubungan itu, TM meminta orang ramai untuk mengabaikannya dan lebih berhati-hati dengan tidak membalas atau memberikan sebarang butiran peribadi. Menurut kenyataan yang sama, TM turut mengesahkan bahawa tiada sebarang program berbentuk bonus hadiah keluarga atau cabutan bertuah yang memerlukan butiran peribadi penerima untuk tujuan tuntunan hadiah.
Di kesempatan ini, TM turut menggesa agar orang ramai sentiasa berhati-hari apabila menerima mesej daripada alamat e-mel yang mencurigakan dan nombor telefon tidak dikenali. Sekiranya hal ini berlaku adalah lebih baik sekiranya pengguna segera merujuk kepada pihak berkuasa yang berkaitan. Sebagai langkah berjaga-jaga, pengguna turut boleh menyemak dengan organisasi berkaitan sebelum menyertai sebarang program berbentuk ganjaran.
[sumber] Sumber – TM [/sumber]