Kingston merupakan sebuah jenama yang tidak asing lagi apabila bercakap mengenai memori dan storan untuk komputer dan juga perkakasan-perkakasan elektronik yang lain.
Terkini, di acara CES 2023, Kingston telah mengemaskini siri memori Kingston Fury mereka dengan penawaran memori baru, termasuklah Kingston Fury Renegade RGB dan juga Kingston Fury Beast RGB, kedua-duanya menyokong siri papan induk dan cip pemprosesan terbaru Intel Raptor Lake dan juga AMD Zen 4.

Bermula dengan Kingston Fury Renegade, memori DDR5 ini dikemaskini dengan tahap kelajuan baru, sehingga 7000 dan 7250MHz berbanding dengan penawaran 6000/6400MHz sebelum ini. Sama seperti model sebelum ini, ia juga hadir dengan penawaran jumlah memori 16GB sebatang.
Ia hadir dengan sokongan untuk profil memori Intel XMP 3.0 dan juga AMD EXPO yang terbaru.

Kingston Fury Beast pula hadir dengan rekaan serba RGB dan lebih agresif, tetapi hadir dengan kapasiti 8GB dan 16GB dan kelajuan 6000MHz dan 6400MHz. Dalam pada itu, jika anda masih lagi menggunakan memori DDR4, Kingston Fury Beast DDR4 juga ditawarkan dengan kelajuan sehingga 3600MHz.
Kingston mengatakan bahawa pilihan-pilihan memori ini akan ditawarkan di pasaran-pasaran tertentu tidak lama lagi.