Audio-Technica adalah jenama produk audio yang cukup popular. Mereka menawarkan pelbagai variasi produk dari pelbagai kategori. Ada yang mampu milik, kelas pertengahan dan juga kelas premium. Terkini, mereka telah melancarkan set fon kepala baharu yang dikeluarkan khusus untuk kegunaan siaran langsung.
Produk ini adalah siri StreamSet Audio-Technica ATH-M50xSTS dan ATH-M50xSTS-USB Earphones. Kedua-dua mempunyai spesifikasi yang sama dan rekaan sama, kecuali pada sambungan di mana ATH-M50xSTS menggunakan XLR, 1/4″ analog dan satu lagi adalah USB-A digital dengan DAC. Set fon kepala ini juga adalah berasaskan versi kegemaran iaitu ATH-M50x.
Walaupun ia berasaskan model sama yang popular, siri ATH-M50xSTS mempunyai mikrofon kondenser kardioid. Audio-Technica menawarkan set fon kepala ini untuk penggunaan pencipta kandungan yang aktif secara siaran langsung seperti menstrim permainan video, video reaksi dan lain-lain. Pemacu audio yang digunakan bersaiz 45mm dengan dakwaan mampu memberikan kualiti audio bertaraf studio. Ia juga adalah set fon kepala jenis tertutup.
Pad telinga turut boleh diubah mengikut keselesaan pengguna. Ia turut menyokong ciri auto-bisu mikrofon dengan semudah menaikkan atau menurunkannya. Model paling premium adalah versi USB, kerana menyokong DAC serta audio sehingga 24 bit/96 kHz dengan kuasa 5V. Sementara model sambungan XLR hanya fokus kepada kuasa tinggi iaitu mencapai 52 V. Audio-Technica ATH-M50xSTS ini turut boleh dilipat untuk mudah di bawa ke mana sahaja.
Harga jualan tempatan masih belum diumumkan lagi, tetapi di Amerika Syarikat ia dijual pada harga bermula $199 (~RM870) untuk ATH-M50xSTS dan $220 (~RM962) untuk ATH-M50xSTS-USB.