Cari @ Amanz

Ulasan – Wiko 10 Ialah Peranti Sederhana Bukan Untuk Semua

Link Copied!

Wiko 10 telah diumumkan di Malaysia sebagai sebuah lagi telefon pintar memfokuskan penggunaan harian dengan harga di bawah RM1000. Beberapa perkara yang dijanjikan oleh Wiko melaluinya adalah pengalaman memuaskan dengan skrin yang besar. Kemudian sensor 50MP dengan kebolehan memadai dan ruangan storan besar tanpa kerisauan menyimpan pelbagai fail.

Kesemua ini bagaimanapun boleh dianggap hal yang cliche untuk sebuah telefon pintar harian pada masa kini. Sebabnya keutamaan kebanyakan pengguna sekadar mencari sebuah telefon untuk penggunaan asas dan hiburan. Tetapi adakah apa yang ditawarkan oleh Wiko ini memadai dan mampu meletakkannya seiring dengan pesaing setara? Ini adalah ulasan ringkas kami untuk telefon pintar ini.


Spesifikasi & Rekaan

WIKO 10
Skrin6.75″ IPS LCD HD+ (720 x 1600 piksel), 60Hz
Nisbah aspek : 20:9 (~260 ppi density)
PemprosesMediatek MT6765 Helio G37 (12 nm)
Cip4 x 2.3 GHz Cortex-A53
4 x 1.8 GHz Cortex-A53
Cip GrafikPowerVR GE8320
RAM6GB RAM
Muatan Dalaman128GB (MikroSD 256GB)
Kamera Utama50 MP, f/1.8, 28mm (wide), 1/2.76″, 0.64µm, PDAF
2 MP, f/2.4, (depth), AF
2 MP, f/2.4, (macro), AF
Kamera Swafoto8 MP, f/2.0, (wide)
Bateri5,000mAh
Pengecasan pantas 22.5W
SIM/TelefoniDwi SIM nano (Hibrid)
NFCTiada
Bicu AudioYa
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanPengimbas jari di sisi & wajah
Harga JualanRM699 (6GB/128GB)

Wiko 10 disediakan dalam tiga pilihan warna seperti Klein Blue, Black dan Silver. Bergantung pada cita rasa peribadi dalam memilih mana yang sesuai, tetapi unit ulasan kami didatangkan dalam warna Silver. Secara keseluruhan ia nampak minimalis dengan hanya menampilkan satu warna tanpa sebarang motif sama ada garis atau jalur. Kemudian, tubuh sepenuhnya diperbuat daripada plastik dengan kombinasi kemasan kusam, ini bagi memastikan ia tidak terlalu licin.

Ini ditambah baik lagi dengan adanya sudut tepi membulat yang menjadikannya amat baik di tangan, walaupun saiznya besar. Tetapi kebarangkalian masalah peranti mudah kotor dan calar semestinya meningkat dengan penggunaan kemasan sebegini. Wiko bagaimanapun telah menyediakan kerangka silikon jernih dalam kotak pembelian sebagai pelindungan tambahan.

Sebuah pengimbas cap jari siri yang terbina pada butang kuasa dengan binaan yang teguh turut disertakan. Ia diletakkan pada sisi kanan bersama butang laras audio secara bersebelahan. Beralih ke sisi kiri pula, hanya terdapat talam dwi-SIM jenis hibrid. Pada bahagian atas pula terdapat lubang mikrofon, seterusnya port pengecasan USB-C, bicu audio dan pembesar suara ditempatkan pada bahagian bawah. Sistem pembesar suara adalah sejenis mono yang masih boleh dimaafkan memandangkan ia sekadar peranti bajet.

Begitu juga dengan ketiadaan sokongan kalis air, pengecasan tanpa wayar dan NFC disertakan. Wiko juga masih melakukan hal yang terbaik apabila mampu memberikan sokongan bicu audio 3.5mm yang memudahkan penggunaan fon telinga nirwayar. Sedangkan, ciri ini giat dihapuskan oleh pesaing terdekat, sekaligus pengguna terpaksa menambah kos untuk mendapatkan aksesori tambahan.

Panel hadapan cukup asas dengan skrin sejenis rata bersama takuk kecil yang memuatkan kamera swafoto tunggal. Ianya sebesar 6.7-inci IPS LCD dengan resolusi HD+ dan kadar segar semula standard. Turut kelihatan adalah saiz bezel pada bahagian dagu amat tebal berbanding tiga sisi yang lain. Pun begitu, ukuran saiz skrin secara jelas menunjukkan bahawa paparan masih cukup besar untuk pengalaman multimedia memuaskan.

Kemampuan skrin juga baik dan terang bergantung pada situasi. Misalnya seperti penggunaan di dalam kawasan tertutup seperti rumah dan bangunan menunjukkan prestasi memuaskan. Namun kelemahan mula kelihatan sewaktu digunakan di bawah cahaya matahari terang, di mana skrin menjadi sukar untuk dibaca dengan baik.


Penanda Aras

Peranti dijana dengan pemproses lapan teras MediaTek Helio G37, memori sebesar 6GB RAM dan storan dalaman 128GB pada unit yang diterima oleh kami. Kombinasi RAM dan storan adalah memadai, namun andai kata ada pengguna yang memerlukan storan lebih besar. Terdapat sokongan mikroSD yang boleh diperluaskan lagi sehingga 512GB. Hasil ujian menggunakan AnTuTu dan Geekbench adalah seperti senarai berikut :-

  • Geekbench 5 – 174/967 mata
  • Antutu 3D – 139,032 mata

Penggunaan Wiko 10 dalam dunia nyata pula memperlihatkan prestasi yang sederhana. Hal ini mungkin dilihat kurang mengagumkan, tetapi perlu diingatkan bahawa Wiko 10 ialah peranti untuk kegunaan umum. Justeru, kita tidak boleh mengharapkan aplikasi umum dan permua boleh berjalan dengan lancar sepanjang masa. Tiada masalah untuk menggunakan aplikasi media sosial seperti Facebook, Instagram, WhatsApp dan Twitter.

Tetapi masalah sela masa amat ketara kami sedari sewaktu melancarkan aplikasi dan masa menanti juga lebih lama berbanding peranti lain dalam kelas yang sama. Begitu juga pengalaman tatalan yang keseluruhannya yang kurang lancar, tidak kira sama adalah sewaktu menatal paparan utama mahupun laman web yang panjang. Lebih mengeruhkan keadaan apabila proses menghidupkan peranti turut memakan masa yang panjang dan pengalaman menaip juga agak terganggu.

Kesemua permasalahan ini amat menjengkelkan buat mereka yang sudah terbiasa dengan peranti-peranti utama yang “selancar menyapu mentega pada rotu bakar panas”. Tetapi dirasakan tidak adil untuk membandingkan pengalaman itu dengan sebuah peranti kelas asas. Begitu juga dengan permua intensif seperti PUBG atau CODM memberi pengalaman kurang memuaskan walaupun pada tetapan grafik asas. Tetapi permainan kasual yang tidak memerlukan grafik tinggi berfungsi dengan baik-baik sahaja. Sekali lagi ingin kami katakan, Wiko 10 tidak diciptakan untuk permainan mudah alih yang tegar namun lebih daripada mencukupi untuk permainan yang sekadar untuk berhibur.

Untuk perisian, peranti menggunakan Android 12 dengan pelancar khusus yang keseluruhannya nampak kemas. Susun atur aplikasi dan tetapan adalah mudah dan senang untuk difahami. Beberapa tetapan tersesuai turut disediakan buat pengguna seperti tetapan palet secara automatik pada gambar latar, melaras saiz fon dan sebagainya. Penggunaannya juga menjadi lebih baik apabila tiada langsung masalah bloatware yang sedia dimuat-turun, melainkan aplikasi daripada Google sendiri. Jadi, anda tidak perlu membuang masa untuk menyahpasang aplikasi yang dirasakan tidak berguna.


Kamera & Kualiti Gambar

Wiko 10 dilengkapi tiga kamera utama dengan tetapan 50MP ISOCELL JN1 (utama) + 2MP (kedalaman) + 2MP (makro) yang kemudiannya diikuti dengan kamera swafoto 8MP. Telefon pintar ini juga membenarkan pengguna merakam video sehingga 1080P/30fps pada kedua-dua kamera ini. Tetapi, tiada sebarang ciri penstabilan video yang disediakan.

Buka sahaja aplikasi kamera, pengguna akan disajikan dengan antaramuka yang kemas dan mudah difahami. Terdapat beberapa fungsi terbina di dalam mod kamera seperti Panorama, Video, Photo, Bokeh, Beauty, Professional, Night, Time Lapse, Slow Motion, Super Macro dan Motion Photo disediakan. Fungsi bokeh turut boleh dilaras mengikut kesesuaian tetapi sokongan hanya pada kamera utama sahaja. Bukan itu sahaja, terdapat juga fungsi Smart HDR terbina bagi membolehkan gambar diambil dengan imbangan cahaya lebih baik. Pilihan tangkapan gambar pula boleh diambil pada nisbah 16:9, 4:3 dan penuh.

Seperti kebanyakan peranti bajet, kualiti gambar amat bergantung kepada situasi pencahayaan dan penggunaan mod HDR. Pencahayaan mencukupi memberi hasil yang baik bersama kualiti semula warna dan ketajaman objek boleh diterima. Gambar juga kelihatan terang secara keseluruhan. Namun kelemahan mula kelihatan apabila pengguna perlu menunggu beberapa saat sebelum kamera boleh ditekan sekali lagi. Ini bermakna Wiko 10 bukanlah peranti buat mereka yang ingin mengambil gambar dengan pantas.

Begitu juga dengan gambar yang diambil dalam pencahayaan rendah member hasil kurang memuaskan. Masalah hingar dan blooming berlaku dengan amat ketara. Penghasilan semula warna juga kurang bermaya. Perlu juga kami katakan, kamera 2MP untuk tujuan kedalaman dan makro disertakan juga sekadar pelengkap spesifikasi tanpa sebarang hasil yang boleh diberi pujian. Gambar yang memuaskan sepenuhnya terhasil daripada kamera utama semata-mata.


Ketahanan Bateri

Bateri sebesar 5000mAh dengan pengecasan berwayar 22.5W digunakan pada peranti. Ia diiklankan mampu bertahan mencapai 12.1 jam untuk penggunaan harian. Kemudian meningkat kepada 13.1 jam untuk permua, 17 jam masa main balik video dan 55.2 jam pula kegunaan audio. Sungguhpun begitu, pokok pangkalnya semua adalah bergantung pada penggunaan masing-masing.

Sekiranya anda jenis yang menggunakan telefon hanya untuk membuat panggilan dan menghantar mesej, tiada masalah untuk bateri bertahan lama. Penggunaan biasa kami juga berjaya mendapatkan ketahanan lebih 15 jam dengan SOT 10 jam. Proses mengecas semula bateri boleh dilakukan dalam masa kira-kira satu jam lebih menggunakan pengecas yang dibekalkan dalam kotak.


Peranti Pesaing

Wiko 10Honor X7a 4GOppo A57 4G
6.75″ IPS LCD HD+
(720 x 1600 piksel)
60Hz, 20:9
6.7″ TFT LCD HD+
(720 x 1600 piksel)
60Hz, 20:9
6.56″ IPS LCD HD+
(720 x 1600 piksel)
60Hz, 20:9
Mediatek Helio G37 (12nm)
4 x 2.3 GHz Cortex-A53
4 x 1.8 GHz Cortex-A53
Mediatek Helio G37 (12nm)
4 x 2.3 GHz Cortex-A53
4 x 1.8 GHz Cortex-A53
MediaTek Helio G35 (12 nm)
4 x 2.3 GHz Cortex-A53
4 x 1.8 GHz Cortex-A53
PowerVR GE8320PowerVR GE8320PowerVR GE8320
6GB RAM
128GB (MikroSD 256GB)
6GB RAM
128GB (Tiada MikroSD)
4GB RAM
64GB / 128GB (Tiada MikroSD)
50MP, f/1.8, lebar
2MP, f/2.4, kedalaman
2MP, f/2.4, makro
50MP, f/1.8, utama
5MP, f/2.2, lebar
2MP, f/2.4, kedalaman
2MP, f/2.4, makro
13 MP, f/2.2, lebar
2 MP, f/2.4, kedalaman
8MP, f/2.08MP, f/2.08 MP, f/2.0
Ada bicu audioTiada bicu audioTiada bicu audio
Audio monoAudio monoAudio mono
5,000mAh
Pengecasan 22.5W
6,000mAh
Pengecasan 22.5W
5000 mAh
Pengecasan 33W
RM699 (6GB/128GB)RM799 (6GB/128GB)RM699 (4GB/64GB)

Apa Di Dalam Kotak

  • 1 x Wiko 10.
  • 1 x Kepala Pengecas 22.5W.
  • 1 x Kabel USB-C ke USB-A.
  • 1 x Kerangka Silikon.
  • 1 x Manual Pengguna.
  • 1 x Pencungkil SIM.

Kesimpulan

Sederhana tetapi masih ada yang baiknya pada Wiko 10 sebagai sebuah telefon pintar harian. Misalnya seperti skrin besar untuk pengalaman multimedia cukup memuaskan. Kemudian gabungan memori dan storan memadai, di samping tiada masalah bloatware berlebihan yang menjengkelkan. Ketahanan bateru juga boleh dipuji dengan sokongan pengecasan 22.5W yang lengkap dengan kepala pengecas di dalam kotak pembelian.

Pada kami, ia sebenarnya lebih sesuai dijadikan sebagai peranti sandaran berbanding utama. Apatah lagi, ia digunakan untuk bermain permua. Ini bagi mengelakkan anda dibelenggu perasaan amarah dan tekanan disebabkan pengalaman tatalan yang sepenuhnya tidak lancar. Bagi yang berminat, Wiko 10 boleh dibeli di Malaysia di Malaysia pada RM699 sebuah.


Pro

  • Binaan yang kemas dan baik.
  • Skrin besar untuk pengalaman tontonan memuaskan.
  • Ketahanan bateri yang memuaskan.
  • Tiada masalah aplikasi gendut yang bersepah.

Kontra

  • Prestasi adalah sederhana.
  • Kamera 2MP untuk kedalaman dan makro yang gimik.

Komen ()