Pada akhir 2020 BMW Motorrad telah mengumumkan skuter elektrik Definition CE 04, iaitu skuter elektrik yang dibina berasaskan model C Evolution. Selang 3 tahun, kini BMW Motorrad Malaysia mengumumkan kemunculan skuter elektrik BMW CE 04 untuk pasaran Malaysia.
Skuter Elektrik BMW CE 04 ini dikuasakan enjin elektrik yang memberikan kuasa maksima 31 kW (42PS) dan 62Nm tork membolehkan pecutan dari 0 ke 50km/j dalam masa 2.6 saat serta kelajuan maksimum 120km/j.
Dari segi bateri, BMW CE 04 mempunyai bateri sebesar 8.9 kWh yang boleh memberikan jarak operasi sehingga 130km. Ia boleh di caj menggunakan palam kuasa 3 pin, yang akan mengambil masa sekitar 4 jam 20 minit untuk penggunaan kuasa 2.3 kW. Terdapat pengecasan pantas 6.9 kW yang akan mengambil masa sekitar 1 jam 40 minit.
Menjadi kebiasaan kenderaan dari masa hadapan, ia turut dilengkapi dengan pelbagai ciri menarik antaranya paparan LCD TFT 10.25- inci yang memberikan kesemua maklumat pemanduan, bateri, jarak pemanduan, dan pemilihan panduan iaitu Eco, Rain dan Road. Malah skuter seberat sekitar 200kg ini boleh diundur menggunakan suis.
Skuter Elektrik BMW CE 04 ini bakal dijual di Malaysia bermula Mac ini, dan menurut BMW Motorrad Malaysia, harga jualan disasarkan sekitar RM 60K, dan anda tidak memerlukan lesen B Penuh untuk memandunya.