Cari @ Amanz

Pembangun Disebalik Perisian Lewahjam MSI Afterburner Menghentikan Kemaskini Perisian

Oleh Nazrin

Link Copied!

Perisian lewahjam kad grafik MSI Afterburner merupakan salah satu perisian yang penting untuk membolehkan orang ramai yang memiliki komputer gaming untuk mendapatkan prestasi yang terbaik daripada kad grafik mereka.

Perisian ini dikemaskini dan diselenggara oleh seorang individu dari Rusia yang bernama Alexey Nicolaychuk atau lebih dikenali sebagai Unwinder. Beliau membangunkan dan mengemaskini perisian MSI Afterburner untuk sekian lamanya seorang diri, dan kebiasaannya akan dibayar oleh MSI untuk perkara ini.

Akan tetapi baru-baru ini beliau telah mengeluarkan kenyataan dan berkata bahawa akibat peperangan diantara Rusia dan Ukraine, bersama-sama dengan pelbagai sekatan ekonomi yang dikenakan keatas Rusia, MSI tidak membayar usaha beliau selama setahun.

Alasan yang diberikan MSI menurut Unwinder ialah adalah isu politik, dimana ia mungkin adalah kerana sistem perbankan Rusia tidak lagi boleh menerima wang dari luar negara buat masa ini.

Walaupun begitu, beliau terus mengemaskini perisian MSI Afterburner dalam masa tersebut kerana minatnya terhadap pembangunan komponen komputer. Akan tetapi, selepas setahun tidak diberikan bayaran setimpal untuk usahanya, kemaskini terbaru MSI Afterburner nampaknya akan menjadi yang terakhir buat masa ini.

Unwinder mengatakan bahawa dia akan mencari pekerjaan baru untuk membayar bil-bil dan juga sewa bulanannya, dan berharap bahawa pembangunan perisian tersebut boleh diteruskan lagi di masa akan datang.


Komen ()