Cari @ Amanz

Persaingan hebat yang wujud dalam era telefon pintar pada hari ini telah mendorong para pengeluar untuk hadir dengan beberapa produk sampingan. Ini termasuklah aksesori audio seperti fon telinga nirwayar yang menjadi perhatian ramai dan Poco turut tidak ketinggalan untuk sertai segmen ini. Ia juga dipercayai diperluaskan dengan variasi baharu dikenali sebagai Poco Pods.

Hal ini berikutan tertirisnya rekaan untuk fon telinga ini dalam beberapa imej pengolokan tular. Elemen yang digunakan sangat mirip dengan Apple AirPods yang mengabungkan rekaan dari jenis dalam telinga bertangkai bersama putik silikon dan pod pengecas berbentuk bujur. Terdapat tiga pilihan warna yang diperlihatkan, sama ada campuran warna hitam dan kuning, hitam gelap atau kuning cair secara sepenuhnya.

Tiada maklumat mengenai perkakasan dalaman yang didedahkan setakat ini, namun sokongan kawalan sesentuh sudah tentu menjadi ciri utama padanya. Apabila bercakap mengenai kebarangkalian pula, ia juga mungkin dikenali sebagai Redmi Buds 4 Active. Malahan, kedua-duanya juga mungkin berkongsi spesifikasi dalaman yang sama selepas diumumkan secara rasmi kelak.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd