Cari @ Amanz

Dalam usaha memartabatkan pembangunan pusat tahfiz dan sekolah-sekolah agama di seluruh negara. Kini, terdapat satu lagi platform perkhidmatan pembayaran telah dilancarkan dengan kerjasama HerePay dan Yayasan Tahfiz Annisa. Dikenali sebagai TahfizPay, ia memudahkan proses penerimaan pembayaran yang dikhususkan buat komuniti dengan fokus terhadap sekolah, masjid dan organisasi.

Ia sesuai digunakan untuk kutipan derma, kutipan yuran dan bayaran pendaftaran keahlian dengan kelebihan tersendiri. Antaranya seperti, caj transaksi yang dikenakan adalah lebih rendah berbanding sistem pengurusan lain. Ianya serendah RM0.50 sen untuk setiap transaksi. Malahan, tiada sebarang yuran langganan dan caj tambahan lain yang dikenakan kerana proses pendaftaran adalah percuma sepenuhnya.

Proses pengesahan juga mudah dan cepat menerusi emel yang didaftarkan. Sebagai tambahan, setiap borang pembayaran juga disertakan dengan fungsi derma yang membolehkan proses menderma berjalan dengan lancar. Pengalaman ini bertambah baik dengan adanya sokongan kod QR yang boleh dijana secara automatik pada borang transaksi untuk penggunaan lebih mudah.

TahfizPay juga menyokong pelbagai jenis bank akaun bagi memudahkan urusan melakukan pembayaran. Bukan itu sahaja, fungsi invois automatik yang disertakan pula dapat membantu menguruskan dan merekod kutipan dengan lebih sistematik. Dalam masa sama turut menyediakan latihan khusus bagi meningkattkan kualiti pengurusan kutipan yuran dan dana.

Dalam perkembangan lain, platform perkhidmatan pembayaran ini turut akan dilaksanakan dengan Gabungan Persatuan Pendidikan Islam Malaysia (GAPIM) dan Permata AQ yang menaungi 2,000 buah sekolah dan 200,000 orang pelajar.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd