Carian
Android Kelak Akan Menyokong Pemindahan eSIM Daripada Peranti Lama Ke Peranti Baru
January 11, 2023 Fahim Zahar

Penggunaan eSIM walaupun nampak menarik, ia sebenarnya leceh jika pengguna kerap menukar ke peranti baru. Ini kerana, penggunaan eSIM memerlukan pengguna menyahaktifkan dari peranti lama dan melakukan pendaftaran semula pada peranti baru. Kebanyakan telko pula tidak membenarkan menggunakan satu kod sama dan perlu mohon kod eSIM baharu.

Pada iOS 16 di iPhone, akhirnya penggunaan eSIM adalah lebih mudah kerana ia menyokong pemindahan dari iPhone ke iPhone. Kini, Google dilaporkan turut ingin menyertakan ciri lebih kurang sama pada Android.

Apa yang menarik dengan penawaran Android ini nanti adalah, penggunaan eSIM memberi pengguna kawalan sepenuhnya dan besar kemungkinan tidak lagi bergantung kepada syarikat telekomunikasi. Menurut Mishaal Rahman, pengguna bukan sahaja boleh memindahkan eSIM dari peranti ke peranti – tetapi turut boleh mengubah kad SIM fizikal terus ke eSIM dari peranti.

Ciri ini dikatakan akan sedia terbina dalam peranti Android yang menyokong GMS. Buat masa ini, hanya kod sahaja ditemui dalam Android 13 QPR Beta 2 dan belum diaktifkan lagi. Ciri ini mungkin akan ditawarkan dalam Android 14 nanti.

Komen