Akta Cip Taiwan Diluluskan – Potongan Cukai Diberi Kepada Syarikat Pembangun Cip Di Negara Tersebut

Diterbitkan pada Jan 11, 2023. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Kerajaan Taiwan baru-baru ini telah meluluskan akta cip mereka sendiri yang membolehkan syarikat-syarikat pembangun cip pemprosesan untuk mendapatkan potongan cukai daripada kos penyelidikan dan pembangunan peralatan yang diperlukan untuk mengilang komponen-komponen penting ini.

Dengan lulusnya akta cip Taiwan ini, syarikat-syarikat pembangun dan pengilang cip boleh menggunakan 25 peratus daripada kos penyelidikan teknologi baru sebagai potongan cukai dan 5 peratus daripada kos pembelian kelengkapan pengilangan cip pemprosesan, yang secara lazimnya ialah kos yang paling mahal untuk operasi ini.

Akta cip tersebut juga mengatakan bahawa potongan cukai ini dihadkan sehingga 50 peratus, tetapi setakat ini tiada had masa, selagi penyelidikan dan pembangunan ini berlaku didalam negara tersebut.

Perkara ini berlaku selepas ia diperlihatkan bahawa negara-negara seperti Amerika Syarikat dan Jerman telah mula berbincang dengan syarikat-syarikat seperti TSMC dan juga Intel untuk membangunkan kilang-kilan mereka di negara tersebut sebagai langkah untuk memastikan bekalan cip pemprosesan untuk pelbagai industri tidak terputus seperti apa yang berlaku sewaktu wabak COVID-19.

Taiwan dilihat mahu memelihara kedudukan mereka sebagai negara pengeluar cip semikonduktor paling maju di dunia, dan dengan langkah-langkah ini telah memastikan mereka mengekalkan status tersebut.

komen


© Amanz / 2023 Kami