Siri CPU AMD Ryzen 7000 X3D Akan Dilancarkan Pada 14 Februari Ini

Diterbitkan pada Jan 12, 2023. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Siri cip pemprosesan AMD Ryzen 7000 X3D boleh dikatakan adalah cip pemprosesan untuk gaming yang sangat ditunggu-tunggu oleh pembina komputer tegar kerana penawaran 3D V-cache yang membantu dalam meningkatkan prestasi gaming.

Laman web AMD baru-baru ini telah mengesahkan bahawa siri CPU AMD Ryzen 7000 X3D, yang terdiri daripada AMD Ryzen 9 7950 X3D, AMD Ryzen 9 7900 X3D dan AMD Ryzen 7 7800 X3D akan diperkenalkan pada 14 Februari 2023 ini.

Seperti yang dikatakan, kelebihan yang ditawarkan melalui cip pemprosesan siri X3D ini ialah dengan penggunaan memori 3D V-cache, iaitu memori seakan RAM yang dimuatkan secara terus kepada bahagian CPU untuk mmbolehkan data diakses dengan lebih pantas, dan secara langsung membolehkan perisian seperti gaming menghantar dan memproses data di CPU secara terus tanpa perlu melalui RAM.

Ia juga dapat dilihat bahawa cip pemprosesan ini hadir dengan jumlah penggunaan kuasa sekitar 120W yang lebih rendah berbanding dengan cip pemprosesan AMD Ryzen 7000X yang dilancarkan sebelum ini.

Satu kekurangan yang mungkin dapat dilihat ialah cip pemprosesan ini mungkin tidak boleh dilewahjam.

Buat masa ini, AMD masih belum lagi mengesahkan tanda harga untuk cip-cip pemprosesan ini, tetapi ia dijangka akan diperkenalkan lebih rapat pada tarikh jualan kelak.

komen


© Amanz / 2023 Kami