Cari @ Amanz

Ulasan – Nikmat Nirwayar Logitech Aurora Tidak Boleh Didustakan

Oleh Nazrin

Link Copied!

Apabila anda sudah memiliki komputer desktop ataupun komputer riba anda sendiri, secara lazimnya anda akan juga mula mencari aksesori-aksesori komputer yang boleh memperbaiki lagi pengalaman penggunaan komputer tersebut, tidak kira untuk tujuan produktiviti ataupun riadah.

Untuk itu, Logitech, jenama aksesori komputer yang cukup terkemuka telah memperkenalkan siri aksesori komputer Logitech Aurora yang terdiri daripada papan kekunci, tetikus dan juga fon kepala, yang mana kesemuanya juga hadir dengan fungsi nirwayar yang membantu dalam mengurangkan selirat kabel diatas meja.

Aksesori-aksesori ini terdiri daripada papan kekunci Logitech G715 Aurora, tetikus gaming Logitech G705 Aurora dan juga fon kepala Logitech G735. Berbeza dengan penawaran Logitech sebelum ini, peranti-peranti ini hadir dengan pilihan berwarna putih sahaja, dan kesemuanya merupakan peranti-peranti yang hadir dengan sokongan teknologi nirwayar Lightspeed.

Kami diberi peluang untuk menguji ketiga-tiga aksesori ini untuk mengurangkan semak kabel diatas meja. Logitech mengatakan bahawa ia cukup berguna bukan sahaja untuk tujuan gaming, tetapi juga untuk produktiviti harian tidak kira jika anda di pejabat ataupun di rumah.

Logitech G715 Aurora

Papan kekunci Logitech G715 Aurora merupakan sebuah papan kekunci bersaiz TKL ataupun Tenkeyless yang bersaiz padat, tetapi masih lagi mengekalkan butang-butang penting seperti barisan butang Function dan juga butang-butang kawalan.

Walaupun dipasarkan sebagai sebuah papan kekunci kelas gaming, papan kekunci G715 Aurora ini hadir dengan rekaan serba putih dengan kekunci dengan aksara berwarna merah jambu dan juga rangka yang berwarna putih dengan bucu yang membulat dan bukan tajam seperti banyak papan kekunci gaming yang lain.

Papan kunci yang dihantar kepada kami menggunakan suis mekanikal taktil GX keluaran mereka tetapi jika anda lebih menggemari suis linear, mereka juga mempunyai penawaran untuk suis tersebut.

Selain daripada itu, papan kekunci ini juga mempunyai roda kawalan audio yang boleh digunakan untuk mengawal kelantangan audio komputer anda dengan cepat dan mudah, dan juga butang-butang yang boleh digunakan untuk mengawal permainan audio dan video disebelahnya.

Bagi mereka yang menggemari lampu RGB, papan kekunci G715 Aurora ini hadir dengan sistem pencahayaan RGB Lightsync yang hadir dengan 16.8 juta rona warna yang boleh diubah rupa dan corak bergantung kepada apa yang dimahukan.

Menggunakan perisian Logitech G yang terbina, pengguna boleh mengubahsuai tetapan-tetapan seperti sistem pencahayaan RGB Lightsync, Game Mode dimana pengguna boleh menutup akses kepada kekunci seperti Windows dan juga menetapkan tetapan papan kekunci pada memori dalam papan kekunci, jadi ia boleh digunakan tanpa perlu memasang perisian Logitech G pada komputer lain.

Dengan model yang kami ulas ini, pada pendapat saya papan kekunci Logitech G 715 Aurora ini lebih sesuai digunakan untuk menaip berbanding bermain permainan komputer.

Bagi saya ini ialah kerana tindakbalas taktil pada kekunci ini lebih selesa apabila menaip daripada apabila perlu menekan butang-butang untuk melakukan pelbagai jenis perbuatan dan pergerakan dalam permainan kerana titik aktuasi kekunci yang bagi saya agak berat.

Dari segi sambungan nirwayar, papan kekunci ini hadir dengan sokongan sambungan nirwayar menggunakan teknologi Bluetooth dan juga Logitech LIGHTSPEED. Secara teknikalnya, dengan sambungan Bluetooth, papan kekunci ini hadir dengan jangka-hayat bateri sepanjang 30 jam, manakala dengan sambungan LIGHTSPEED yang mempunyai kadar input yang lebih tinggi boleh bertahan selama 25 jam dengan penggunaan berterusan.

Dari segi perbezaan kelajuan input diantara sambungan Bluetooth dan LIGHTSPEED, jujur saya katakan bahawa perbezaan tersebut adalah tidak begitu ketara. Malah, penggunaan sambungan LIGHTSPEED memerlukan anda untuk menggunakan penyesuai untuk setiap aksesori yang disambungkan kepada komputer, dan ini akan memakan slot palam USB anda jika anda menggunakan lebih dari satu peranti LIGHTSPEED.

Logitech G715 Aurora ditawarkan pada harga RM799 untuk kedua-dua model dengan suis linear dan taktil.

Logitech G705 Aurora

Tetikus gaming Logitech G705 Aurora ialah sebuah tetikus unik daripada Logitech dimana berbeza dengan penawaran kebanyakan tetikus gaming mereka, ia hadir dengan rekaan yang lebih kecil dari biasa.

Ia hadir dengan lima butang yang boleh diubahsuai fungsinya melalui perisian Logitech G, tetapi pada tetapan yang lalai, ia mempunyai butang klik kiri, kanan, roda menatal dan juga dua butang lagi di bahagian sisi yang secara lazimnya digunakan untuk melayari laman-laman web yang sebelum dan selepas dengan cepat dan mudah.

Melalui perisian Logitech G juga, selain daripada mengubah tetapan butang-butang pada tetikus ini, pengguna juga boleh menetapkan kelajuan sensor pergerakan terbina dengan pilihan kelajuan DPI dari 100 DPI sehinggalah 8200 DPI.

Pengguna juga boleh memilih untuk menukar corak pencahayaan di bahagian belakang tetikus ini, dan dengan memori yang terbina didalam tetikus ini, tetapan ini juga boleh disimpan dalam tetikus dan boleh digunakan terus pada komputer yang baru.

Seperti yang dikatakan, tetikus G705 Aurora ini hadir dengan rekaan yang lebih kecil berbanding dengan banyak tetikus gaming yang lain. Malah, apabila dibandingkan dengan sebuah lagi tetikus popular mereka, Logitech G Pro Wireless, tetikus ini kelihatan seperti ia dibina khusus untuk tangan-tangan kecil.

Tetapi untuk saya, tetikus ini cukup selesa digunakan untuk tugasan produktiviti harian mahupun untuk tujuan gaming apabila saya memainkan permainan seperti Final Fantasy XIV, Borderlands 3, dan permainan-permainan FPS yang lain.

Sama seperti papan kekunci Logitech G715 Aurora, tetikus Logitech G705 ini juga menyokong sambungan nirwayar melalui Bluetooth dan juga Logitech LIGHTSPEED.

Tidak kira jenis sambungan, kedua-dua mod sambungan nirwayar ini memberikan pengguna jangkahayat sekitar 40 jam dengan sistem pencahayaan RGB dipasang dan lebih lama lagi sekiranya ia dipadamkan.

Bagi saya, tetikus ini sangat selesa digunakan kerana saya mempunyai tangan yang agak kecil. Ini, bersama dengan tetapan sensitiviti yang diubahsuai kepada kesesuaian saya membolehkan saya menggerakkan tetikus ini secara minimal sahaja, tetapi masih mampu menggerakkan ikon ke seluruh paparan.

Nasihat kami sekiranya anda berminat untuk mendapatkan tetikus ini ialah untuk mencubanya dahulu dan lihat sekiranya ia sesuai dengan saiz tangan dan corak penggunaan anda.

Tetikus gaming Logitech G705 Aurora ditawarkan pada harga RM399.

Logitech G735 Aurora

Melengkapkan siri peranti Logitech Aurora ini ialah fon kepala Logitech G735 Aurora. Sama seperti aksesori-aksesori komputer yang lain, fon kepala ini juga hadir dengan rekaan serba putih, modernis dan tidak begitu kelam-kabut.

Di bahagian kiri fon kepala ini ialah butang kuasa, roda kelantangan audio dan juga palam 3.5mm untuk memuatkan mikrofon pada fon kepala ini. Di bahagian kanan pula ialah Butang tetapan Bluetooth dan juga butang menukar sumber audio, dimana anda boleh memilih untuk menggunakan Bluetooth ataupun penyesuai Lightspeed bergantung kepada kemahuan anda.

Dari segi kualiti audio, sepanjang saya menggunakan fon kepala ini, kualiti audio yang dipamerkan pada pendapat saya cukup sifatnya dari segi bass, treble dan juga nota-nota tinggi mahupun rendah, dan fon kepala ini sesuai digunakan untuk tujuan menonton siri televisyen dan filem kegemaran anda.

Cuma, satu perbezaan ketara yang dapat saya lihat apabila menggunakan fon kepala ini dalam mod Bluetooth dan Lightspeed ialah lengah masa audio dari kedua-dua mod ini yang cukup ketara sekali.

Apa yang saya maksudkan disini ialah dengan sambungan Bluetooth, audio dan video yang dimainkan tidak selari dimana bahagian audio dilihat ketinggalan berbanding dengan video. Dengan penyesuai Lightspeed, isu lengah masa audio ini diperbaiki dengan mendadak, dimana saya tidak begitu perasan kejanggalan audio dan video apabila menonton video di YouTube, Netflix dan sebagainya.

Dalam pada itu, jangka-hayat bateri fon kepala Logitech G735 ini juga cukup panjang. Dengan Bluetooth dan Lightspeed dan lampu RGB dipasang, fon kepala ini boleh memainkan audio selama sekitar 24-25 jam tanpa masalah, dan dengan lampu tersebut dipadamkan, ia boleh digunakan selama lebih dari 50 jam tanpa masalah.

Fon kepala gaming Logitech G735 Aurora ditawarkan pada harga RM949.

Penutup

Tidak dinafikan bahawa ketiga-tiga aksesori komputer Logitech G Aurora ini mempunyai tanda harga kelas bangsawan. Tetapi dengan tanda harga ini hadir juga fungsi-fungsi yang sangat berguna seperti sokongan sambungan nirwayar dan Bluetooth, jangkahayat bateri yang panjang dan juga sambungan kepada aplikasi dan kebolehan kemaskini yang cepat dan mudah.

Bukan itu sahaja, perisian Logitech G juga boleh digunakan sebagai hab untuk mengubahsuai pelbagai tetapan peranti-peranti ini, dari sensitiviti pengimbas ke pencahayaan RGB dan juga kemaskini perisian pemandu dengan cepat dan mudah.

Profil-profil yang ditetapkan ini juga boleh disimpan dalam peranti dan boleh dimanfaatkan pada komputer lain tanpa perlu memasang perisian Logitech G sekali lagi.

Pada pendapat saya, jika anda mempunyai wang untuk dibelanjakan untuk menaiktarafkan aksesori-aksesori berwayar komputer anda kepada perkakasan nirwayar, siri aksesori komputer Logitech Aurora ini pada hemat saya adalah diantara pelaburan keselesaan produktiviti dan gaming terbaik yang saya boleh syorkan.

Pro:

  • Fungsi nirwayar yang pelbagai dan mudah digunakan
  • Tiada selirat kabel diatas meja
  • Rekaan yang tidak begitu menjolok mata
  • Jangkahayat bateri panjang

Kontra:

  • Hanya hadir dengan pilihan warna putih
  • Fungsi HyperSpeed memerlukan penyesuai khusus
  • Tanda harga premium

Komen ()