Sony nampaknya masih aktif lagi melancarkan pemain muzik di bawah siri Walkman mereka. Terkini mereka telah melancarkan Walkman NW-ZX707 dan NW-A306 yang memfokuskan kepada peningkatan kualiti audio dan paling penting ketahanan bateri lebih lama, kerana dengan model terdahulu ramai merungut masalah bateri.

Sony Walkman NW-ZX707
Model ini adalah model mercu mereka, di mana mempunyai ketahanan bateri mencapai 25 jam. Untuk sambungan dua port bicu audio iaitu 3.5mm stereo 50mw+50mW dan 4.4mm 230mW+230mW seimbang. Kedua-dua port ini menyokong frekuensi 20Hz-40,000Hz. Ia turut menyertakan sokongan sambungan Bluetooth 5.0 dengan codec SBC, LDAC, aptX, aptx HD dan AAC.

Walkman ini menggunakan teknologi amplifier digital S-Master HX dengan komponen dalaman yang menggunakan kaedah pateri lebih kemas serta mempunyai emas untuk menambahbaik audio. Selain itu, ia turut mempunyai sistem Edge-AI untuk menguasakan DSEE Ultimate yang mana boleh mengubah audio kualiti rendah kepada kualiti CD.
Walkman NW-ZX707 turut menyokong DSD Remastering Engine yang mana sampel-semula audio kepada 11.2 MHz DSD. Sokongan WiFi turut diberikan untuk menggunakan aplikasi penstriman muzik, skrin TFT 5-inci disertakan untuk mudah mengawal antaramuka, storan dalaman 64GB dan ia menjalankan Android 12. Warna yang ditawarkan pula adalah hitam sahaja.
Sony Walkman NW-A306
Model ini adalah versi lebih mampu milik dengan spesifikasi lebih kurang sama. Beza utama adalah pada saiz, di mana skrin adalah 3.6-inci, bateri lebih tahan laman mencapai 36 jam, dan Sony hanya menyertakan sokongan sambungan bicu audio 3.5mm sahaja tiada sambungan bicu audio 4.4mm seimbang. Kemudian model ini turut menawarkan tiga pilihan warna iaitu hitam, kelabu atau biru.

Buat masa ini harga jualan Malaysia masih belum diumumkan lagi. Tetapi, di Jepun kedua-dua Walkman ini dijual pada harga 104,000 Yen (~RM3,490) untuk NW-ZX707 dan 46,000 Yen (~RM1,544) untuk NW-A306.