Dron Yang Boleh Terbang Selama-Lamanya Tanpa Perlu Dicas Dibangunkan China

Diterbitkan pada Jan 13, 2023. oleh .

Dron komersial yang dijual di Malaysia rata-ratanya mempunyai hayat penerbangan bawah 30 minit kerana bateri tidak bertahan lama. Terdapat dron yang menggunakan bahan api fosil yang membolehkan ia terbang selama beberapa jam. Tetapi dron yang boleh terbang selama-lamanya bakal menjadi realiti dengan ujian berjaya dilakukan di China.

Penyelidik dari University Politeknikal Barat Laut Xianyang berjaya menerbangkan dron yang tidak dilengkapi pek bateri. Sebaliknya di bahagian bawah terdapat panel fotoelektrik yang mengubah cahaya laser ke tenaga elektrik. Di permukaan bumi sistem laser akan menjejak dron di udara dan menembak laser sepanjang masa ke panel fotoelektrik tadi.

Ujian berjaya dilakukan pada waktu siang dan malam dengan dron terbang pada ketinggian 10 meter. Algoritma pada sistem laser akan memastikan ia sentiasa menjejak kedudukan dron dan laser ditembak ke panel fotoelektrik.

Secara teorinya selagi laser tidak dihalang, dron boleh terbang selama-lamanya tanpa perlu dicas. Ini berguna untuk sistem dron pemantauan keselamatan di masa hadapan dan dron penghantar barang.

komen


© Amanz / 2023 Kami