Cari @ Amanz

China mampu menghasilkan produk klon dengan pantas. Di Malaysia misalnya terdapat banyak “AirPods” dan “iPod” pada harga lelong ditawarkan di media sosial. Selepas dibeli barulah pelanggan menyedari ia bukan produk asli. Jika anda ingin membeli iPhone 14 Pro di atas talian pastikan anda berhati-hati takuk yang diidam peranti Apple tetapi yang sampai peranti LeEco.

LeEco S1 Pro ialah sebuah peranti Android dari China yang dilengkapi skrin 6.5″ HD+ LCD, dijana cip Unisoc T7510, memori sebesar 8GB RAM, storan 128GB dan bateri sebesar 5000 mAh. Di belakang terdapat lensa untuk tri-kamera tetapi dua adalah palsu dengan hanya satu lensa dilengkapi sensor 13MP dan di hadapan pula diletakkan sensor 5MP.

Dari hadapan peranti ini amat mirip dengan iPhone 14 Pro kerana mempunyai lubang kamera bujur seakan sistem Dynamic Island. Malah sistem operasi yang digunakan menyertakan ciri Dynamic Island yang muncul di bahagian atas untuk aplikasi seperti pemain muzik.

Lebih menarik ialah walaupun ini ialah peranti LeEco, ia menggunakan sistem Huawei Mobile Services (HMS). Di China LeEco S1 Pro dijual pada harga RMB 899 (~RM 580) sebuah.

Ini bukan kali pertama LeEco menawarkan klon iPhone. Pada Mei tahun lalu Letv Y1 Pro telah dilancarkan dengan ia mirip rekaan sebuah iPhone 12. Maka berhati-hatilah jika terjumpa tawaran iPhone 14 Pro murah di media sosial.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd