Konsep kapal terbang yang tidak memerlukan juruterbang untuk mengawal penerbangan bukanlah sebuah konsep yang baru, tetapi implimentasi praktikal masih lagi terlalu awal untuk dilakukan.
Terkini, syarikat pembangun kapal terbang Airbus dilaporkan sedang menguji teknologi pembantu swapenerbangan mereka yang dinamakan DragonFly. Pembantu digital ini boleh melakukan sejumlah aktiviti tanpa memerlukan input daripada pihak juruterbang.
Menurut Airbus, DragonFly mampu menukar arah penerbangan kapal terbang menggunakan data cuaca dan ruangan udara yang mencukupi dan berkomunikasi bersama lapangan kapal terbang berdekatan untuk mendaratkan kapal terbang tersebut tanpa memerlukan input daripada juruterbang.
Malah DragonFly juga boleh digunakan untuk membantu dari segi pemanduan di lapangan terbang, dimana data yang diterima daripada menara penerbangan boleh diinput terus dan memberikan juruterbang tersebut laluan yang paling cekap untuk ke pintu pendaratan dan sebagainya.
Ujian untuk pembantu penerbangan maya DragonFly ini dihadkan kepada sebuah kapal terbang Airbus A350-1000 buat masa ini. Setakat ini, Airbus tidak mengumumkan sebarang pelan lanjut mengenai pengenalan sistem ini pada angkatan kapal terbangnya, dan mungkin ia akan mengambil masa beberapa tahun sebelum ia digunakan dengan lebih meluas.