Carian
Sony Memfailkan Paten Televisyen Dengan Sistem Anti Cetak Rompak
January 17, 2023 Fahim Zahar

Masih ramai lagi yang cuba sedaya upaya mendapatkan akses kepada filem atau siri TV secara haram, iaitu dengan menstrim atau muat turun melalui laman-laman web atau aplikasi cetak rompak. Biasanya perkhidmatan penstriman cetak rompak ini menggunakan sistem Torrent dan pengguna digalakkan menggunakan VPN.

Terkini, Sony telah memfailkan paten televisyen pintar, di mana terdapat sistem anti cetak rompak terbina. Ciri ini mungkin akan dibina pada Androd TV atau Google TV, memandangkan televisyen pintar Sony kebanyakannya menjalankan sistem operasi ini. Sistem ini dikatakan adalah sejenis aplikasi yang akan sedia terpasang pada televisyen mereka.

Aplikasi ini akan memantau aplikasi yang pengguna pasang secara sideload iaitu dengan fail APK. Jika terkesan yang aplikasi ini cuba mengakses pelayan, laman web atau alamat IP yang telah Sony sahkan mempunyai kandungan cetak rompak, akses Internet pada aplikasi tersebut akan diperlahankan dan/atau kandungan akan secara automatik dijeda – menghalang pengguna dari menonton kandungan haram ini.

Ini adalah satu langkah baik, memaksa pengguna televisyen Sony menghargai pencipta filem dengan membeli/menyewa filem/siri TV atau terus melanggan perkhidmatan penstriman video secara sah.

Komen