Cari @ Amanz

Sebagai seorang yang mula menggunakan peranti boleh pakai dengan Mi Band dan beralih ke jam-jam Wear OS, pada awalnya saya sukar untuk percaya dakwaan orang ramai yang Apple Watch adalah jam tangan pintar terbaik di pasaran. Ini dakwaan yang sama dengan tablet, di mana iPad adalah yang terbaik.

Dakwaan ini terbukti apabila saya mula menggunakan Apple Watch Series 3, tukar ke Series 4 dan terus melompat ke Series 7 pada tahun 2021. Selepas menggunakannya untuk beberapa bulan yang lalu dan ia dibawa ketika menunaikan ibadah umrah. Apabila Apple Watch Series 8 tiba ke makmal Amanz, saya ingin melihat apakah perbezaannya jika ada atau lebih baik berhijrah terus ke Apple Watch Ultra?


Spesifikasi Dan Rekaan

Apple Watch Series 8 45mm
Skrin1.9” Retina LTPO OLED 396×484
1Hz-60Hz, Ion-X
PemprosesApple S8 SiP 64-bit
Apple W3 & Apple U1
Memori1GB RAM + 32GB eMMC 5.1
Sistem OperasiwatchOS
PerlindunganKalis 50 meter, Kalis debu IP6X
SensorECG, Pengimbas nadi optikal
Pemecut (Crash Detetction, Fall Detection)
Suhu, SpO2
Lain-LainGPS + Selular (eSIM)
Tombol berputar haptik
Speaker, Mikrofon
Bluetooth 5.3
Bateri308mAh, mencapai 18 jam
Pengecasan pantas dermaga magnetik
Bahan BinaanKerangka aluminium dikitar semula
Panel belakang seramik dan kaca nilam
Komponen tungsten, tin dikitar semula
HargaRM1999

Saya sentiasa berpuas hati dengan skrin Apple Watch kerana ia menggunakan panel LTPO OLED yang cerah, warna yang hidup dan menyokong kadar segar semula adaptif 1-60Hz. Saiz skrin 1.9-inci adalah cukup besar dan memuaskan dengan ciri menaip dengan papan kekunci serta muka jam tambahan yang memanfaatkan rekaan skrin melengkung.

Saiz yang besar dan luas ini juga sangat menarik untuk menggunakan muka jam dengan banyak complications agar data-data kesihatan, maklumat cuaca, bateri dan banyak lagi perkara lain boleh dipaparkan untuk dibaca/dilihat dengan jelas.

Bukan itu sahaja, jika ingin bermain permua asas atau tonton video YouTube melalui aplikasi WatchTube juga tiada masalah. Tetapi saya tidak galakkan kerana ia memakan bateri pada kadar yang tinggi. Skrin besar ini juga selesa digunakan untuk menerokai talam aplikasi dalam paparan grid tanpa perlu menggunakan paparan susunan senarai. Sokongan Always-on Display juga pantas bertukar ke mod biasa dan masih cantik, jelas dan data dipaparkan dikemaskini secara nyata.

Series 8 dijana dengan cip Apple S8 SiP dwi-teras 64 bit. Sebenarnya ia adalah cip sama dengan Series 7 iaitu Apple S7 dan turut sama mempunyai cip tambahan Apple W3 dan Apple U1 untuk sokongan Bluetooth 5.3 yang baik serta sokongan Find My jitu melalui teknologi UWB. Memori masih 1GB RAM dan storan 32GB storan dalaman eMMC 5.1. Sungguhpun eMMC, tidak terasa perlahan ketikan pemasangan aplikasi atau muat turun muzik untuk kegunaan luar talian.

Rekaan Series 8 tiada perubahan langsung dan mudah dikenali. Sedikit kecewa rekaan skrin yang rata yang pernah tertiris tidak digunakan pada Series 8 dan hanya diberikan kepada Apple Watch Ultra.

Di sisi kanan ada tombol berputar haptik, lubang mikrofon, dan butang fizikal sisi untuk mengakses Dock iaitu senarai aplikasi terbuka, mengaktifkan mod kecemasan dan menggunakan Apple Pay. Di sisi kiri mempunyai kekisi speaker. Sementara di atas dan bawah adalah alur untuk tali jam. Akhir sekali belakang jam bahan binaan seramik dan kaca nilam melindungi pelbagai sensor penjejak kesihatan.

Saiz 45mm sentiasa menjadi pilihan saya, kerana ia cukup besar dan paling sesuai dengan pergelangan tangan saya. Tiada isu kulit gatal dan di pergelangan tangan juga selesa untuk kebanyakan tali jam rasmi yang ditawarkan. Kegemaran saya setakat ini adalah Nike Sport Loop Game Royal dan Midnight Solo Loop. Isu pada dua tali jam ini hanyalah bahan binaan fabrik. Jika anda kerap berpeluh tali jam ini mudah kotak dan berbau kurang menyenangkan. Sport Band adalah tali jam saya gunakan ketika bersenam dan berenang kerana mempunyai perlindungan air 50 meter dan kalis debu IP6X.

Pengalaman Penggunaan

watchOS adalah sistem operasi jam tangan pintar paling cukup sifanya. Dari Series 4 sehingga Series 8, jam ini wajib saya pakai sebagai jam harian dan hanya menggunakan jam Wear OS untuk tujuan ujian, ulasan atau menguji bateri telefon Android. Benar, sebelum ini saya katakan TicWatch pro 3 adalah jam Wear OS terbaik – tetapi dengan kemas kini ke versi terkini yang perlahan sukar untuk saya cadangkan jam ini. Tetapi saya ada menguji jam prototaip Wear OS 3.x baharu, yang mana ia mungkin Game Changer dari segi prestasi dan pengalaman penggunaan.

Kembali kepada watchOS, lebih spesifik watchOS 9.3 pada Apple Watch Series 8 – saya berani katakan inilah jam tangan pintar sebenar!

Dengan watchOS 9 ke atas, kedua-dua jam Series 7 dan Series 8 menerima ciri dan fungsi sama kecuali pada ciri yang memerlukan sensor tambahan seperti pengesan suhu. Aplikasi Workout kini menjadi lebih baik di mana data dipaparkan dengan lebih butiran seperti Activity rings, Heart Rate Zones, Power dan Elevation.

Sementara aplikasi Medicination boleh memberi peringatan untuk ambil ubat seperti ketika saya demam dan masih sibuk menulis berita dan ulasan – hanya masukkan maklumat ubat dan masa, notifikasi akan diberikan untuk waktu bila perlu saya makan ubat.

Kemampuan kustomasi juga lebih mendalam dengan muka jam tambahan seperti Metropolitan yang nampak pro untuk ke pejabat atau mesyuarat, Lunar untuk lihat bulan, Modular Compact untuk lebih banyak data complications dipaparkan dengan kemas dan cantik.

Tombol berputar haptik adalah ciri ikonik yang selesa digunakan pada sesetengah aplikasi. Ia menjadikan penggunaan Apple Watch lebih praktikal berbanding bergantung pada skrin sepenuhnya.

Untuk aplikasi Workout tadi, antara data yang dipaparkan seperti Heart Rate Zone adalah untuk pengguna tahap intensiti senaman masing-masing di mana kiraan akan dilakukan secara automatik atau jika ingin lebih jitu masukkan data secara manual. Ketika berlari, kini ada peta yang boleh memaparkan lokasi dan jalan berlari. Pada masa yang sama turut boleh gunakan aplikasi kompas untuk menjejak kembali lokasi asal.

Mod sukan joging, berjalan dan sebagainya turut kini memaparkan kadar pergerakan, cuma apa yang saya tidak gemar adalah ciri mengesan senaman yang hanya berfungsi secara tidak konsisten. Malah kadangkala bukan bersenam pun ia boleh diaktifkan.

Apple Watch Series 8 dengan watchOS 9 adalah jam tangan pintar yang bukan sahaja dipakai untuk nampak cool tetapi untuk mereka yang ingin ambil serius terhadap kesihatan sendiri. Disebabkan lebih banyak data dipaparkan, banyak yang rumit sehingga saya tidak faham. Tetapi ini perkara bagus kerana menjadikan saya lebih ingin tahu mengenai tahap kesihatan sendiri dan tambahan ilmu pengetahuan mengenai data-data kesihatan yang penting.

Misalnya, jika sebelum ini Apple Watch memerlukan aplikasi pihak ketiga untuk pemantauan tidur – ia kini terbina terus. Pengguna boleh pantau tahap tidur nyenyak, ringan (Core Sleep) serta kitaran REM. Untuk beberapa bulan penggunaan saya sedari data tidur saya mempunyai purata sekitar 4 jam sahaja sehari, bermakna saya perlukan lebih rehat dan memastikan tidur saya adalah dalam kitaran baik jika ingin kekal sihat.

Ciri pengesanan suhu yang terbina pada Series 8 adalah untuk pengguna wanita, kerana dipadankan dengan kitaran haid. Disebabkan sensor suhu pada jam ini dikhususkan untuk pengguna wanita, jika Apple Watch masih membaca suhu (dipaparkan selepas 5 hari berturut-turut pakai jam ketika tidur), data untuk pengguna biasa tidak berguna kerana tidak boleh mengesan suhu jika demam. Ia sekadar pemantauan kesihatan untuk melihat naik turun anggaran suhu sahaja.

Jadi untuk pengguna seperti saya, sensor yang boleh saya manfaatkan adalah pengimbas nadi, untuk SpO2 dan ECG. Seperti yang Apple katakan, jam ini bukannya pengganti alatan kesihatan tetapi untuk bantuan pemahaman pengguna dan sebagai rujukan sahaja. Jadi apabila saya nampak data yang mencurigakan, saya tidak akan terus ke klinik tetapi saya akan semak suhu badan terlebih dahulu dan hanya jika saya rasakan kritikal barulah saya ke klinik. Tetapi setakat ini belum lagi.

Apple Watch Series 8 juga adalah jam yang baik untuk produktiviti, di mana kawalan notifikasi yang berkumpulan boleh digunakan, membalas mesej dengan menaip atau arahan Siri, serta aplikasi kalendar yang mesra pengguna dan mudah untuk lihat acara akan datang atau merekodkan acara sendiri. Sokongan aplikasi juga banyak ditawarkan yang mana saya rasakan lebih baik berbanding Wear OS contoh aplikasi TTLock yang mungkin tidak dikenali ramai, tetapi ia penting untuk saya kerana boleh membuka pintu rumah hanya dengan dua tap tanpa kata laluan.

Tidak lupa juga yang Apple Watch menyokong Apple Pay di Malaysia, hanya tekan butang sisi dua kali terus Tap & Pay.

Apa yang tidak menarik?

Benar rekaan Apple Watch ini cukup dikenali ramai, tetapi di mata saya is mula kelihatan sedikit bosan kerana tiada perbezaan ketara dengan model lama. Beza sekadar pada saiz dan warna sahaja. Kemudian apa yang saya tidak gemar adalah harga tali jam yang terlampau mahal. Terdapat versi mampu milik dari pengeluar pihak ketika tetapi membuatkan kulit saya gatal pula.

Saya juga tidak gemar Apple Watch Series 8 yang cepat memanas ketika pengecasan yang saya sedari sejak Series 7 lagi. Tetapi apabila dalam situasi mengejar masa, selepas cas saya terus pakai – kulit pergelangan tangan saya berubah warna. Isu ini tidak berlaku ketika menggunakan Series 3-4. Saya tahu saya tiada masalah kulit sensitif, tetapi nampaknya saya perlu berhati-hati untuk tidak memakai jam sejurus selepas selesai dicas.

Bateri

Di atas kertas, Apple Watch Series 7 dan Series 8 mempunyai spesifikasi bateri yang sama. Ia boleh bertahan mencapai 18 jam penggunaan biasa, 36 jam penggunaan kuasa rendah dan pengecasan pantas 0% ke 80% dalam masa 45 minit.

Saya boleh katakan Series 8 mempunyai ketahanan bateri yang lebih baik berbanding Series 7 adalah kerana, pada Series 7 saya menerima ketahanan sekitar 1 hari setengah dan boleh mencapai dua hari jika tidak banyak notifikasi masuk. Tetapi pada Series 8, saya menerima ketahanan lebih kurang sama dengan tambahan penggunaan eSIM.

eSIM pada jam menggunakan lebih kuasa dan bateri, kerana perlu sentiasa mencari isyarat. Tetapi jika ia mempunyai ketahanan yang sama dengan Series 7 yang hanya menggunakan WiFi, jelas sekali ada penambahbaikan kecil pada jam ini. Setakat ini, jika jam saya di pagi hari bateri 100%, selepas selesai kerja 8 jam, bateri akan masih berada di sekitar 55% ke 60% yang mana cukup untuk tidur sepanjang malam dengan baki bateri sekitar 2% ke 10% di keesokan harinya.

Kesimpulan

Apple Watch Series 8 ini secara keseluruhan sama sahaja dengan Series 7 dengan penambahan sensor suhu dan ciri pengesanan kemalangan (yang mana saya tidak dapat uji (syukur). Ini menjadikan harganya yang bermula RM150 lebih mahal berbanding Series 7 adalah kurang berbaloi. Jika anda masih boleh dapatkan Apple Watch Series 7, saya akan katakan itulah Apple Watch terbaik setakat ini. Sementara Apple Watch Series 8 ini adalah khusus untuk pengguna wanita yang benar-benar ingin manfaatkan sensor suhu.

Tetapi penggunaan lain, semestinya Apple Watch Series 8 ini adalah yang terbaik. Skrin cantik, prestasi lancar, kemas kini pantas, selesa dan mudah digunakan. Jika bateri boleh bertahan lagi 1 hari tambahan saya akan katakan beli dan naik taraf. Di mana jika anda menggunakan Series 6 atau 7 setia sahaja pada model tadi kecuali jika anda ingin bateri sehingga tiga hari yang boleh didapatkan pada Apple Watch Ultra yang berharga hampir dua kali ganda.

Pro

  • Skrin yang cantik, terang dan adaptif.
  • Prestasi pantas, lancar dan menakjubkan.
  • Sokongan perisian dan aplikasi yang hebat.
  • Sokongan eSIM yang memudahkan jika iPhone tertinggal.
  • Bahan binaan yang premium dan tahan lasak.

Kontra

  • Ketahanan bateri yang tidak memberangsangkan.
  • Cepat memanas dengan pengecasan pantas.
  • Wajib menggunakan iPhone.
  • Harga jualan yang semakin mahal.
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd