Cari @ Amanz

Mengikut perkiraan semasa, rangkaian 5G di Malaysia telah mencapai 47.1% yang meliputi keseluruhan kawasan. Justeru bukan suatu hal yang mengejutkan apabila kita boleh melihat lambakan peranti sebegini mulai membanjiri pasaran ketika ini – tidak kiralah sama ada peranti kelas asas sehingga mercu. Namun, apa yang menjadi persoalan, adakah setiap peranti yang ditawarkan mampu memberikan pengalaman penggunaan yang sepatutnya? Begitu juga dengan Honor X8 5G, apakah sebenarnya yang disediakan oleh Honor melaluinya? Adakah berbaloi dengan harga jualan yang ditawarkan? Persoalan ini bakal kami jawab di dalam artikel ulasan ini.


Spesifikasi & Rekaan

HONOR X8 5G
Skrin6.5″ IPS LCD HD+ (720 x 1600 piksel), 90Hz
Nisbah aspek : 20:9 (~270 ppi density)
PemprosesQualcomm Snapdragon 480+ 5G (8 nm)
Cip2 x 2.2 GHz Kryo 460
6 x 1.9 GHz Kryo 460
Cip GrafikAdreno 619
RAM6GB RAM
Muatan Dalaman128GB (tiada mikroSD)
Kamera Utama48 MP, f/1.8, (lebar), PDAF
2 MP, f/2.4, (makro)
2 MP, f/2.4, (kedalaman)
Kamera Swafoto8 MP, f/2.0, (lebar)
Bateri5,000mAh
Pengecasan pantas 22.5W
SIM/TelefoniDwi SIM nano (Hibrid)
NFCTiada
Bicu AudioYa
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanPengimbas jari di sisi & wajah
Harga JualanRM999 (6GB/128GB)

Pertama sekali, tidak banyak komen yang boleh diberikan untuk rekaan pada peranti ini. Ia dilihat cukup ringkas dengan elemen yang boleh kita lihat pada beberapa peranti sedia ada keluaran Honor. Di sini, ia memuatkan modul kamera berbentuk empat segi dengan tri-kamera utama di belakang. Sekilas pandang sememangnya peranti ini mempunyai empat sensor utama, tetapi sebenarnya salah satu daripadanya hanyalah pencahayaan LED yang disediakan bagi membantu tangkapan dalam pencahayaan rendah.

Seterusnya, panel belakang peranti diperbuat daripada bahan sejenis plastik yang menampilkan satu warna keseluruhan tanpa sebarang motif, sama ada jalur atau garis. Melihat sendiri pada gambar yang dikongsi, anda sudah pasti boleh mengagak betapa licinnya panel belakang peranti ini. Benar, ia amatlah licin sehinggakan sudah beberapa kali peranti hampir tergelincir daripada genggaman sewaktu dipegang meskipun ia mempunyai sisi yang membulat.

Namun kami bernasib baik apabila kejadian ini tidaklah sehingga mengakibatkan retakan berlaku. Selain daripada itu, pengalaman memegang peranti juga terasa sedikit murah dan masalah panel belakang yang mudah kotor dan berminyak sememangnya kerap sangat berlaku.

Seperti kebanyakan peranti mampu milik Honor yang lain, skrin bertakuk kecil turut boleh ditemui pada peranti. Ia menggunakan panel sejenis IPS LCD dengan skrin sebesar 6.5-inci dan resolusi HD+. Ini merupakan ukuran saiz skrin standard yang begitu kerap digunakan oleh sejumlah besar pengeluar pada peranti pintar masing-masing bagi membolehkan pengalaman menonton video dan melayari web yang memuaskan. Selanjutnya, skrin juga menyokong kadar segar semula yang tinggi dengan beberapa tetapan khusus.

Misalnya seperti High yang membolehkan sokongan skrin 90Hz digunakan sepanjang masa untuk tujuan prestasi. Ia boleh dianggap sebagai nilai tambahan yang baik untuk pengalaman menavigasi yang lancar, namun masih belum cukup baik buat sesi permua dengan grafik yang tinggi. Sungguhpun begitu, tidak ramai di antara pengguna yang benar-benar memanfaatkan skrin dengan kadar segar semula yang tinggi untuk kegunaan harian. Melainkan anda jenis yang tergolong dalam kelompok pengguna permua tegar. Selain daripada itu, terdapat juga pilihan lain seperti Dynamic dan Standard yang mana bersesuaian untuk ketahanan bateri yang lebih panjang.

Skrin IPS LCD yang digunakan mampu mampu menyajikan paparan yang tajam dan terang. Namun, kekurangan terletak pada sudut pandang yang terhad dan olahan warna yang kurang menyerlah. Kelemahan lain turut berlaku sewaktu peranti digunakan di bawah cahaya terik yang mana skrin menjadi suka untuk dibaca dengan baik. Begitu juga dengan kewujudan dagu yang amat tebal di bahagian bawah peranti. Secara peribadi, ia tidaklah terlalu mengganggu seperti yang kita sering fikirkan.

Masih berfungsi seperti biasa dan boleh digunakan dengan baik. Bahkan, rekaan begini juga acap lagi ditemui dalam sebuah peranti kelas asas. Pujian bagaimanapun perlu diberikan pada skrin rata yang digunakan kerana kami cukup menyukainya. Dengan skrin ini, pengguna tidak berdepan dengan isu tersentuh secara tidak sengaja seperti yang kerap berlaku pada sebuah peranti dengan skrin melengkung.

Kemudian terdapat pengimbas cap jari fizikal di sebelah sisi kanan. Ia juga berfungsi sebagai butang kuasa pada peranti. Butang laras suara diletakkan pada sisi yang sama, sementara itu ruang slot SIM pula boleh dijumpai pada arah yang bertentangan. Slot ini menyediakan sokongan sejenis hibrid, yang mana SIM kedua perlu berkongsi slot dengan kad microSD.

Tidak ketinggalan, peranti juga memuatkan bicu audio 3.5mm di bahagian bawah bagi memudahkan pengguna yang masih bergantung dengan fon telinga berwayar. Ia kemudiannya turut diikuti dengan sambungan port USB-C, pembesar suara mono dan mikrofon utama pada bahagian yang sama.


Penanda Aras

Honor X8 5G dilengkapi cip Snapdragon 480+ dengan GPU Adreno 619. Secara harafiahnya, ia menggunakan binaan teknologi 8nm dengan kemas kini yang kecil berbanding Snapdragon 480 sebelum ini dengan prestasi CPU mencapai 2.2GHz. Memori yang disediakan hanyalah 6GB RAM dengan kebolehan tambahan RAM maya 2GB melalui ciri Honor Turbo. Ini merupakan sebahagian ciri yang telah dioptimumkan dengan baik pada antara muka MagicUI 4.2 bagi membantu proses simpanan fail lebih banyak. Kapasiti storan dalaman pula sebesar 128GB yang turut menyediakan ruang tambahan untuk kad mikroSD. Berikut adalah kutipan markah untuk ujian penanda aras yang berjaya dicatatkan oleh peranti :-

  • Geekbench 5 – 538 / 1699
  • Antutu 3D – 342,544

Pengalaman penggunaan peranti ini di dalam dunia nyata menunjukkan prestasi yang baik-baik sahaja. Proses menavigasi secara umumnya memberi kelancaran yang memadai tetapi tidak konsisten. Misalnya seperti proses menukar aplikasi di antara aplikasi dengan cepat menunjukkan berlakunya sela masa yang berlaku tetapi tidaklah sehingga peranti tidak boleh digunakan langsung.

Sejumlah permua juga boleh sahaja dimainkan tanpa isu yang melampau tetapi perlu berkompromi dengan tetapan grafiknya untuk keadaan tertentu. Ini adalah selari dengan fokus utama sebagai sebuah peranti kegunaan harian dengan sokongan 5G dan bukannya permua sepenuhnya. Oleh itu, jangan terlalu berharap untuk prestasi yang tinggi dan apa ditawarkan oleh peranti ini masih boleh diterima mengikut julat harga yang diberikan. Bagaimanapun, terdapat pelbagai jenis tetapan yang masih disediakan secara umum. Misalnya seperti, Mobile Legend Bang Bang boleh dimainkan sehingga Ultra dengan HD yang diaktifkan. PUBG pula menyediakan beberapa tetapan grafik seperti adalah HD dengan kadar bingkai High secara lalainya. Kadar bingkai Ultra juga boleh diakses dengan pilihan grafik sama ada Smooth/Balanced.


Kamera & Kualiti Gambar

Peranti ini memuatkan tiga kamera di belakang dengan sensor utama 48-Megapixel. Ia kemudiannya diapit pula dengan sensor sekunder dan ketiga yang masing-masing menggunakan tetapan 2-Megapixel untuk tujuan makro serta kedalaman. Turut melengkapinya, kamera swafoto 8-Megapixel yang diletakkan pada takuk kecil di skrin hadapan.

Rakaman video sehingga resolusi 1080P/30fps turut boleh dibuat menerusi kedua-dua belah kamera ini. Pilihan mod fotografi terbina pada antara muka kamera juga dilihat cukup pelbagai yang terdiri dengan Night, Portrait, Photo, Video dan More. Selain daripada itu, tangkapan gambar pula boleh diambil dalam beberapa nisbah aspek seperti 1:1, 4:3 dan penuh. Pun begitu, tiada mod penstabilan terbina yang diberikan untuk rakaman video yang lebih professional.

Gambar yang diambil menggunakan sensor utama menunjukkan hasil yang baik dalam keadaan pencahayaan mencukupi. Nampak terang dengan penghasilan semula warna ke arah semula jadi. Namun begitu, ia tidak konsisten kerana sesetengah keadaan memberi penghasilan warna yang terlalu tepu, kemudian butiran dan perincian pada gambar mulai hilang. Keadaan yang sama turut berlaku untuk tangkapan gambar dalam pencahayaan rendah. Hasil menjadi tidak konsisten dengan hasil tidak memuaskan kerana nampak lembut bersama masalah hingar yang ketara bagi sesetengah keadaan. Warna juga berada di tahap kurang memuaskan.

Kebolehan zum sehingga 2X boleh digunakan tanpa masalah. Bagaimanapun, ketiadaan kamera ultra-lebar menjadi kekurangan utama pada peranti. Sedangkan, kewujudannya pasti menjadi lebih menarik berbanding sokongan sensor kedalaman dan makro yang kita sendiri tahu tidak ramai dalam kalangan pengguna yang akan menggunakannya. Tangkapan swafoto juga sederhana yang memerlukan suntingan tambahan bagi nampak lebih menarik untuk perkongsian di media sosial.


Ketahanan Bateri

Peranti ini mempunyai bateri berkapasiti 5000mAh yang secara umumnya ketahanannya boleh mencapai sehari suntuk atau lebih. Khususnya bagi mereka yang tidak menggunakan peranti secara kerap. Jika sebaliknya, peranti boleh boleh bertahan melebihi 8 jam dalam pengguna harian sepanjang hari. Ia kemudiannya akan berkurang ke tahap lebih rendah untuk penggunaan yang ekstrem tetapi masih berada di tahap yang baik-baik sahaja. Sekiranya kehabisan bateri, peranti boleh dicas semula dalam masa sekitar 1 jam lebih menggunakan pengecasan 22.5W yang diberikan percuma di dalam kotak pembelian.


Peranti Pesaing

Honor X8 5G Redmi 10 5GOppo A78 5G
6.5″ IPS LCD HD+
(720 x 1600 piksel),
90Hz, 20:9 (~270 ppi)
6.58″ TFT LCD FHD+
(1080 x 2408 piksel),
20:9
6.56” IPS LCD HD+
(1612×720 piksel),
90Hz, (~269 ppi)
Snapdragon 480 Plus
(8 nm)
2 x 2.2 GHz Kryo 460
6 x 1.9 GHz Kryo 460
Mediatek Dimensity 700
(7nm)
2 x 2.2 GHz Cortex-A76
6 x 2.0 GHz Cortex-A55
Mediatek Dimensity 700
(7nm)
2 x 2.2 GHz Cortex-A76
6 x 2.0 GHz Cortex-A55
Adreno 619Mali-G57 MC2Mali-G57 MC2
6GB RAM
128GB ROM
6GB RAM
128GB ROM
8 GB RAM
128 GB ROM
48 MP, f/1.8, (lebar), PDAF
2 MP, f/2.4, (makro)
2 MP, f/2.4, (kedalaman)
50MP, f/1.8, lebar
2MP, f/2.2, kedalaman
50MP Sudut Lebar, f/1.8
2MP Monokrom, f/2.4
Sensor inframerah untuk zum fokus
8MP, f/2.05MP, f/2.28MP, f/2.0
Ada bicu audioTiada bicu audioBicu audio
Audio monoAudio monoAudio mono
5,000mAh
Pengecasan 22.5W
5000mAh
Pengecasan 18W
5000 mAh
Pengecasan 33W
RM 999 (6GB/128GB)RM959 (6GB/128GB)RM1099 (8GB/128GB)

Apa Di Dalam Kotak

  • 1 x Honor X8 5G.
  • 1 x Kepala Pengecas 22.5W.
  • 1 x Kabel USB-C ke USB-A.
  • 1 x Kerangka Silikon.
  • 1 x Manual Pengguna.
  • 1 x Pencungkil SIM.

Kesimpulan

Honor X8 5G bukanlah peranti buat semua pengguna. Seandainya anda sedang berkira-kira mencari peranti 5G dengan harga mampu milik, boleh cuba mendapatkannya satu. Peranti juga sesuai buat mereka yang merindui pengalaman penggunaan seumpama peranti Huawei tetapi dengan sokongan Google Mobile Services (GMS) terbina. Benar, peranti ini dilengkapi dengan sokongan GMS yang membolehkan pelbagai aplikasi Google diakses tanpa masalah.

Seterusnya, Honor X8 5G juga mempunyai nilai tambah yang baik pada ‘tempat’ yang sepatutnya. Bagaimanapun, masih ada beberapa hal yang perlu dikompromi oleh pengguna seperti paparan dan tetapan kamera yang semakin kecil berbanding variasi 4G sebelum ini. Bagi yang berminat, ia boleh didapati dengan harga jualan RM999 menerusi kedai atas talian dan pengedar sah Honor di seluruh Malaysia.


Pro

  • Binaan yang baik tetapi tidak cukup premium.
  • Paparan 90Hz di tahap yang baik.
  • Ketahanan bateri mencukupi.
  • Sokongan 5G terbina.

Kontra

  • Tiada kamera ultra lebar.
  • Tangkapan pencahayaan rendah kurang berkualiti.
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd