Cari @ Amanz

Seperti sejumlah syarikat-syarikat teknologi lain seperti Meta, Microsoft, HTC dan sebagainya, Apple juga dilihat ada memasang niat untuk membangunkan peranti realiti terimbuh (augmented reality) mereka yang dilaporkan sebelum ini akan diberikan fokus yang tinggi.

Laporan Bloomberg terbaru menariknya mengatakan bahawa Apple kini telah menunda pembangunan kaca mata realiti terimbuh sepenuhnya dan dilihat akan memfokuskan kepada pembangunan peranti realiti terimbuh Apple Reality One dan Reality Pro mereka untuk masa ini.

Walaupun tiada sebab rasmi diberikan tentang mengapa pembangunan kaca mata pintar tersebut dihentikan, laporan tersebut turut mengatakan bahawa Apple dilihat mahu memfokuskan terhadap pembangunan yang lebih premium itu untuk masa ini.

Peranti realiti terimbuh tersebut dijangka akan diperkenalkan pada penghujung tahun ini, dan berkemungkinan besar akan dikuasakan oleh cip pemprosesan Apple M2 yang menguasakan siri komputer riba MacBook Air terbaru.

Pembangunan teknologi kaca mata juga dilihat agak sukar dari segi teknikal berbanding dengan set peranti kepala walaupun secara konsepnya ia dilihat akan memenuhi keperluan yang hampir sama.

Google yang sebelum ini telah menghentikan pembangunan Google Glass kini kembali dengan projek realiti termbuh mereka, iaitu Project Iris, manakala Meta pula sedang membangunkan peranti realiti terimbuh baru Nazare mereka.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd