Siri Asus Zenfone 8 Menerima Kemaskini Android 13

Diterbitkan pada Jan 18, 2023. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Asus Zenfone 8 dan Zenfone 8 Flip adalah dua peranti Zenfone terakhir yang memasuki pasaran Malaysia, kerana selepas itu Asus hanya membawa masuk peranti ROG Phone mereka. Zenfone 9 yang dikatakan ramai adalah peranti mercu kompak baik turut tidak dibawa masuk pada tahun lepas.

Zenfone 8 dan Zenfone 8 Flip adalah peranti mercu 2021 dengan cip Snapdragon 888, skrin Super AMOLED HDR10+ 5.9″ dan 6.67″ serta kamera 64MP dengan model Flip menggunakan modul bermotor yang boleh membawa kamera belakang ke hadapan. Sehingga hari ini peranti ini masih dijual pada harga mencapai RM2,999.

Terkini selepas setahun menerima kemaskini Android 12, akhirnya peranti ini diberikan kemaskini Android 13. Bukan itu sahaja, kemaskini tampalan sekuriti Januari 2023 turut disertakan sekali. Setakat ini, Asus menunaikan janji mereka dalam pemberian kemaskini – di mana siri Zenfone 8 menyokong kemaskini sistem operasi untuk dua tahun.

Bermakna, Android 13 adalah kemaskini terakhir bagi peranti ini dan jika ada kemaskini lagi selepas ini – ia hanyalah tampalan sekuriti. Dalam kemaskini ini, banyak aplikasi sistem dikemaskini dengan rekaan baharu, antaramuka keseluruhan turut mengikut format rekaan Android 13 asli, papan klip ada ciri auto-padam, dan banyak lagi.

Kemaskini ini diedarkan secara berperingkat, tetapi jika anda masih belum menerima kemaskini Zen UI Android 13 ini – Asus turut menawarkan fail untuk kemaskini manual dan panduan.

komen


© Amanz / 2023 Kami