Wikimedia Menerima Wajah Baharu Buat Pertama Kali Sejak 2011

Diterbitkan pada Jan 19, 2023. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Antaramuka Wikipedia telah dikemas kini hari ini buat pertama kali sejak 2011. Menurut Wikimedia Foundation, proses rekaan baharu Wikipedia versi desktop ini mengambil masa hampir tiga tahun. Menerusi antaramuka Vector 2022 baharu ini, proses membaca kandungan di Wikipedia akan menjadi lebih mudah kerana mengurangkan tatalan dan terdapat pintasan pantas ke bahagian penting artikel di sisi kiri skrin.

Pada bucu atas kanan artikel diletakkan butang mengalih bahasa dengan lebih jelas. Pilihan bahasa untuk setiap artikel akan disenaraikan yang jauh lebih mudah berbanding menu sebelum ini yang agak tersorok.

Untuk keselesaan membaca artikel panjang, antaramuka baharu menghadkan panjang garisan pada skrin dan tumpuan diberikan kepada kandungan. Menu sisi lama kini disorokkan di dalam menu yang boleh disorokkan pada bucu atas kiri laman Wikipedia. Proses mencari artikel berkaitan turut ditambah baik dengan saranan yang lebih tepat pada kotak carian.

Bagi pengguna yang lebih selesa dengan antaramuka lama Vector Legacy masih boleh diakses menerusi menu yang dipaparkan pada skrin. Wikimedia Foundation kini mengumpul maklum balas dari pengguna Wikimedia mengenai perubahan yang telah dilakukan mereka. Setakat ini Wikipedia 58 juta artikel dalam 300 bahasa yang diakses 16 bilion kali sebulan.

komen


© Amanz / 2023 Kami