Apabila bercakap mengenai storan digital untuk penyimpanan jangka-masa panjang, orang ramai mungkin akan mengatakan bahawa storan cakera keras adalah pilihan yang terbaik untuk perkara tersebut.
Tetapi tahukah anda bahawa sebenarnya storan pita digital (tape storage) yang menggunakan pita magnetik sebenarnya adalah lebih baik berbanding storan cakera keras? Ia bukan sahaja boleh memegang data digital dengan lebih lama, tetapi lebih kalis bencana alam berbanding dengan cakera keras.
Malah, laporan oleh Trendfocus melalui Storage Newsletter memperlihatkan bahawa untuk sektor penyimpanan data jangka masa panjang, jualan dan penggunaan storan pita dilihat jauh lebih popular berbanding dengan cakera keras yang dilihat telah merudum sepanjang tahun yang sama.

Jualan storan pita LTO (Linear Tape Open) dijual jenama-jenama seperti IBM, HPE dan Quantum dilaporkan adalah sebanyak 79 Exabyte yang merupakan peningkatan 14 peratus dari tahun ke tahun pada suku keempat 2022.
Storan pita juga dilihat lebih jimat kos apabila dibandingkan kepada cakera keras. Ia mungkin tidak mempunyai kelajuan mengakses, membaca dan menulis data yang pantas, tetapi untuk tujuan penyimpanan data jangka masa panjang yang akan jarang diakses, satu katrij pita storan LTO-8 dengan lapan pita yang mempunyai saiz hampir sama dengan sebuah cakera keras 3.5 inci boleh menyimpan sehingga 350GB data.
Lebih menarik lagi, penganalisa pasaran mengatakan bahawa jualan storan pita ini akan terus meningkat sehingga tahun 2027 dengan penggunaan storan setinggi 207.1 Exabyte menjelang tahun tersebut.
Untuk pasaran cakera keras pula, Trendfocus juga mengatakan bahawa jualan cakera keras terus merudum, dimana ia mencatatkan penurunan bukan sahaja untuk sektor pengguna, tetapi juga untuk pasaran pusat data, dengan jualan keseluruhan mencatatkan penurunan 40 peratus dimana syarikat-syarikat seperti Toshiba, Seagate dan Western Digital menjual sekitar 35-36 juta cakera keras pada tahun lepas.