Cari @ Amanz

Ulasan – Samsung OLED 4K S95B Mencuci Mata Dengan Visual Mengagumkan

Link Copied!

Masihkah anda ingat kali pertama menonton DVD setelah sekian lama menonton VCD? Bagi pembaca lebih muda belia, ingatkah saat menggunakan telefon skrin OLED buat pertama kali sejak bertahun menggunakan skrin LCD? Pengalaman kami menggunakan Samsung OLED 4K S95B adalah sama seperti dua pengalaman di atas tetapi pada skala yang lebih besar.

SPESIFIKASI

Samsung OLED 4K S95B
Saiz Skrin 65-inci
Resolusi3,840 x 2,160 (120 Hz)
PanelQD OLED
Pemproses Neural Quantum Processor 4K
GPU?
RAM?
Storan?
Sistem OperasiTizen
HDRYa / HDR10+
Keterangan Maksimum 1200 nits (puncak)
Audio2.2.2 60W
Dolby Atmos & Dolby Digital Plus
I/O3x HDMI 2.1 (1x ARc), 2x USB-A 2.0, Optical Audio
DTTVYa/DVB-T2
Pembantu MayaBixby
InternetLAN/ WiFi 5
BluetoothBT 5.2
ChromecastTiada
AirPlay 2Ya
Saiz1444.3 x 897.6 x 288.2 mm (dengan tapak)
Berat25.5 kg (dengan tapak)
Harga JualanRM 10,499 (55″)
RM 14,209 (65″)

REKAAN

Jika satu perkataan boleh digunakan untuk S95B, perkataan tersebut ialah “seksi”. Seksi bukan sahaja kerana panel skrin yang mempunyai bezel yang nipis tetapi panel itu sendiri hanya setebal sekitar 3mm. Lebih nipis dari sebatang pencil ataupun sebuah telefon pintar moden.

Rekaan yang diberi nama LaserSlim ini dapat dicapai kerana penggunaan teknologi QD OLED yang tidak memerlukan lampu belakang (backlight) seperti sebuah TV LED atau TV QLED. Setiap pixel pada S95B mempunyai sumber cahaya tersendiri. Hanya pada bahagian bawah TV menjadi sedikit tebal keran di sinilah komponen lain TV, bahagian I/O, sumber kuasa dan speaker diletakkan.

Tubuh nipis ini dipadakan pula dengan tapak yang besar tetapi juga nipis. Tapak ini dipasang terus ditengah-tengah panel belakang TV. Secara peribadi kami sukakan rekaan tapak seperti ini kerana memudahkan soundbar, konsol, kotak TV satelit, modem dan banyak lagi peralatan TV lain diletakkan di bawah TV. Tapak berbentuk kaki yang digunakan pada TV lain mungkin lebih stabil tetapi boleh menghalang pengguna meletakkan soundbar yang bersaiz besar.

Skrin pada model yang diulas adalah sebesar 65″ dengan resolusi 4K tetapi terdapat satu lagi model dengan skrin 55″. Ia adalah dari jenis OLED dengan kadar kadar segar semula mencecah 120Hz. Panel ini turut mempunyai sokongan HDR10+ untuk memaparkan kandungan HDR yang cukup terang.

Samsung tidak menyatakan apakah keterangan puncak skrin pada laman rasmi. Berdasarkan ulasan dari laman lain, ia adalah di antara 1200-1400 nits. Tidak seterang skrin Samsung Galaxy S23 Ultra (1750 nits) dan jauh di belakang Samsung QN90B yang boleh mencecah 4000 nits. Ini ialah kekurangan teknologi OLED yang memang tidak akan dapat menandingi keterangan skrin QLED atau Neo QLED.

Saiz TV adalah 1444.3 x 897.6 x 288.2 mm dengan berat pula sekitar 26 kilogram. Ia adalah antara TV 65″ paling ringan di pasaran kerana dibantu oleh rekaan LaserSlim yang kami nyatakan di awal tadi. Ia memang direka untuk digantung pada dinding tanpa ia terkeluar dengan begitu ketara. Cagak VESA 300x200mm boleh digunakan dengan ia terbina di bahagian belakang.

Walaupun agak ringan untuk TV yang bersaiz besar, kami tidak sarankan anda melakukan pemasangannya secara seorang diri. Pada hemat kami tiga orang diperlukan bagi memastikan tiada kerosakan berlaku semasa TV dikeluarkan daru kotak dan pemasangan bahagian tapak. Rekaan LaserSlim menjadikan S95B sangat nipis sehingga skrin melengkung ketika cuba diangkat seorang diri. Proses memasang TV ini di makmal Amanz adalah amat mencemaskan.

Pilihan I/O adalah baik dengan 4X HDMI 2.1 yang salah satunya menyokong HDMI eARC. Ya ini bukan typo kerana keempat-empat input HDMI pada S95B boleh menyokong kadar segar semula 120Hz untuk memaparkan input dari konsol modem seperti PlayStation 5 serta PC berprestasi tinggi. Secara lazimnya hanya satu HDMI 2.1 diberikan pada TV pintar jenama lain. Sokongan eARC pula menyokong audio Dolby Atmos pada kadar bit tertinggi.

Ini dipadankan dengan 2X USB-A 2.0, RJ45 LAN, output audio optikal dan sambungan RF. Dekoder DVB-T2 turut diberikan sekali bagi mereka yang ingin menonton kandungan TV terrestrial tempatan.

Kesemua I/O diletakkan pada bahagian kiri televisyen dengan kesemua port sambungan menghala ke sisi. Ini amat memudahkan sambungan pelbagai kabel dan aksesori apabila televisyen digantung. Port sambungan kuasa pula terletak di sebelah kanan dengan kabel yang mempunyai bengkok 90 darjah sekali lagi bagi memudahkan proses menggantung TV. Tiada pilihan untuk menanggalkan kotak sambungan I/O One Connect Box seperti pada TV premium Samsung yang lain.

Sokongan Internet pula adalah menerusi LAN atau WiFi 5GHz. Ini adalah perlu sekiranya anda bercadang untuk menstrim kandungan 4K HDR sepanjang masa tanpa sebarang isu. Pelbagai aksesori nirwayar boleh disambung dengan tambatan bluetooth 5.2.

PENGGUNAAN DAN KUALITI VISUAL

Panel OLED pada waktu ini menawarkan keseimbangan warna yang tepat dan warna hitam yang sebenar. Lebih baik berbanding panel TV LED LCD dan QLED yang juga ditawarkan oleh Samsung. Kontras juga tinggi dibantu oleh sistem Real Depth Enhancer yang dapat membezakan subjek dengan latar belakang dengan lebih baik. Ini adalah perlu memandangkan sekarang seperti ada trend kandungan penstriman memaparkan babak gelap yang sukar ditonton pada TV biasa.

Tiada isu colour banding dan kandungan beresolusi tinggi dapat kami nikmati tanpa sebarang isu. Dengan keterangan maksimum mencecah 1200 nits, kandungan HDR10+ boleh ditonton pada keterangan yang sewajarnya. Masih tiada Dolby Vision dan kita boleh berhenti mengharap kerana Samsung tidak mempunyai minat membayar lesen untuk menyokongnya.

Walaupun panel ini tidak mempunyai tahap keterangan panel Neo QLED yang boleh mencecah 4000 nits, kami tidak merungut kerana dalam pelbagai situasi, kandungan pada skrin S95B boleh ditonton dengan jelas dalam bilik yang terang dan bilik yang gelap. Isu silau juga tidak begitu ketara dengan sudut pandangan yang baik.

Tiada isu blooming yang wujud pada panel LED. Semua kandungan HDR dari pelbagai platform penstriman Netflix, Amazon Prime, Apple TV dan YouTube boleh dipaparkan dengan baik serta lancar pada resolusi 4K. Terdapat mod untuk meningkatkan kelancaran visual menggunakan mod Clear Motion tetapi ia tidak diaktifkan secara lalai.

Peminat filem boleh mengaktifkan Filmmaker Mode yang memastikan filem yang ditonton kekal pada kadar 24FPS yang sinematik. Bagi mereka yang kurang arif mengenai tetapan visual, terdapat Intelligent Mode yang mengaktifkan mod terbaik untuk kandungan yang ditonton.

Visual amat memuaskan apabila kandungan 4K natif dimainkan. Nampak tajam, jelas dan amat terang (dalam mod HDR). Tetapi pada waktu yang sama kandung bukan natif 4K juga masih dipaparkan dengan baik dibantu oleh cip Neural Quantum Processor 4K. Kekuatan TV Samsung pada hemat kami ialah kemampuan melakukan penaiktarafan visual (upscaling) yang lebih cemerlang berbanding pesaing mereka yang secara lazimnya tidak mempunyai ciri ini langsung.

Namun begitu Neural Quantum Processor 4K mempunyai hadnya tersendiri. Kandungan sehingga 720P dinaik taraf ke panel 4K dengan memuaskan dari segi ketajaman tetapi warna masih akan lari dengan color banding akan dapat dilihat. Imej dari 720P juga nampak lebih lembut berbanding 4k natif. Ini dapat dilihat dengan jelas pada kandungan HBO GO yang mempunyai reputasi penawaran kualiti penstriman yang paling kurang memuaskan.

Kandungan The Last of Us dan The Wire (yang sudah berusia lebih 20 tahun) masih tidak begitu memuaskan. Keperincian pada kulit dan warna kedua-dua siri ini tidak boleh dipertingkatkan dengan sempurna oleh Neural Quantum Processor 4K. Nasib baiklah panel S96B hanya sehingga 65″ kerana jika lebih besar kecacatan kandungan HBO GO akan nampak lebih ketara.

Pendek kata S95B mempunyai panel TV yang paling memuaskan pernah kami ulas di makmal Amanz. Melepasi keupayaan panel beberapa TV Neo QLED yang pernah diuji sebelum ini. Jika visual tahap premium yang anda cari, S95B langsung tidak mengecewakan.

GAMING

Prestasi skrin untuk gaming adalah sama memuaskan seperti mod menonton filem dan siri TV di atas. Kami katakan begini kerana wujudnya sokongan 4K 120FPS pada empat input HDMI 2.1. Ini adalah jarang sekali ditemukan pada TV di pasaran. Bagi mereka yang mempunyai PlayStation 5, Xbox Series X dan PC gaming tahap kayangan anda boleh memasangkan ketiga-tiganya serentak ke S95B dan menikmati tahap visual tertinggi tanpa isu. Kami sekadar dapat menguji PlayStation 5 dan Xbox Series X sepanjang tempoh ulasan kerana tidak mempunyai PC gaming dengan kad grafik yang cukup berkuasa.

Kandungan dapat dipaparkan dengan baik dan mudah. Input 4K 120FPS disokong secara automatik tanpa perlu menjalani proses yang kompleks. Semuanya lancar tanpa visual nampak koyak. Kepada pemilik PC, S95B menyokong AMD FreeSynch Premium. Kekurangan hanyalah tiada NVIDA GSync untuk sokongan yang lebih lengkap. Melengkapkan spesifikasi mesra gaming pada TV ini ialah sokongan Auto Low Latency Mode (ALLM) dan VRR terbina.

AUDIO

Dua speaker dengan output 60W menyokong Dolby Atmos dan Dolby Digital Plus dengan output 60W. Sistem audio menggunakan konfigurasi 2.2.2 saluran yang lebih baik berbanding speaker 2.1 biasa. Oleh sebab itu kualiti audio S95B adalah jauh lebih baik berbanding yang digunakan pada kebanyakan TV.

Pengalaman Atmos adalah memuaskan cuma dentuman bass serta kesan audio 360 dari atas tidak begitu mantap. Ini bukanlah sistem Dolby Atmos yang terbaik tetapi sekali lagi jauh lebih memuaskan berbanding speaker TV standard. Kelantangan bunyi juga adalah amat memuaskan.

Untuk pengalaman audio sebenar, kami sarankan pembelian sistem audio soundbar yang lebih mercu seperti Samsung S800B yang boleh dipadankan secara nirwayar dengan sokongan Atmos. Hanya TV Samsung setahu kami menyokong sistem Atmos secara nirwayar pada TV.

SISTEM OPERASI TIZEN OS

Sistem operasi Tizen OS mempunyai pelbagai ciri menarik seperti menyokong paparan skrin telefon Samsung menggunakan dua tetingkap bersebelahan kandungan dari TV. Kerana di bawah ekosistem Samsung, ia menyokong Samsung DEX bagi yang ingin menggunakan skrin TV sebagai skrin komputer yang besar. Bagi yang menggunakan sistem internet benda (IoT) pula, Samsung SmartThings terbina dengan pelbagai peralatan elektronik boleh dilihat statusnya dari S95B.

Dengan Tizen OS, televisyen pintar di rumah bukan sekadar sebuah kotak yang memaparkan kandungan tetapi boleh menjadi hab pelbagai peranti pintar di rumah. Sokongan aplikasi adalah baik tetapi masih tiada Disney+ Hotstar walaupun sudah hampir dua tahun perkhidmatan penstriman ini di Malaysia. Kami telah diberikan pelbagai janji bahawa aplikasi akan tiba tetapi sehingga kini habuk pun tiada.

Nasib baiklah ada sokongan AirPlay 2 yang membolehkan kami menyiarkan Disney+ Hotstar dari sebuah iPhone ke S95B sepanjang tempoh ulasan. Salah siapa di sini? Samsung atau Disney+ Hotstar? Aplikasi ini boleh dimuat turun jika negara India dipilih sebagai negara pada tetapan TV. Tapi ini mengakibatkan aplikasi lain seperti Sooka dan HBO GO pula tidak boleh dimuat turun.

Tiada maklumat mengenai kuasa memproses pada cip, jenis cip, jumlah RAM dan storan pada spesifikasi rasmi. Apapun spesifikasinya ia tidak cukup berkuasa untuk menjalankan kesemua ciri-ciri yang disebutkan di atas dengan pantas. Terdapat sela masa yang ketara apabila cuba kembali ke skrin utama dengan menekan butang Home.

Penggunaan dalam aplikasi adalah lancar tetapi apabila kembali ke skrin utama kelancaran ini hilang. Mungkin tidak cukup RAM atau Tizen OS mempunyai terlalu banyak aplikasi di latar belakang sehingga mengganggu prestasi. Agak mengecewakan kerana pengalaman menggunakan Google Chromecast with Google TV lebih lancar walaupun ia sekadar sebuah dongel. Sukar untuk memaafkan sistem operasi yang tidak begitu lancar apabila harga jualannya mencecah RM15,000.

ALAT KAWALAN JAUH

Alat kawalan jauh adalah dari jenis Eco Remote yang ditawarkan standard untuk TV pintar Samsung tahun 2022. Butang diperbuat daripada getah dan tubuh diperbuat daripada plastik berwarna hitam. Terdapat butang bulat yang berfungsi sebagai alat kawalan empat arah dan butang tengah utama multi fungsi. Terdapat butang pintasan pantas untuk Netflix, Prime Video, Samsung TV Plus dan Disney+. Hanya dua butang ini boleh digunakan di Malaysia.

Alat kawalan jauh mudah digunakan serta difahami. Selesa juga di dalam tangan. Sumber kuasa ialah bateri terbina yang dicas menggunakan kabel USB-C, panel solar di bahagian belakang dan menyerap kuasa daripada frekuensi radio.

Kesimpulan

Dari sudut visual, audio, ciri dan gaming Samsung OLED 4K S95B ialah TV terbaik pernah diulas di makmal Amanz. Skrin QD OLED menawarkan kualiti visual yang amat memuaskan. Untuk golongan gamer pula ia mampu menyokong empat input 4K 120FPS yang jarang sekali dilihat pada TV lain di pasaran. Pendek kata jika anda mahukan yang terbaik pada waktu ini, Samsung OLED 4K S95B adalah TV yang kami sarankan kepada pembaca.

Di Malaysia harga jualannya ialah RM 10,499 untuk model 55″ dan RM 14,209 untuk model 65″. Satu-satunya model TV yang kami rasakan boleh menandingi S95B ialah The Wall. Masalahnya ialah The Wall dengan skrin 146″ microLED dijual pada harga RM1.23 juta!

  • Skrin terbaik dalam kelas.
  • Rekaan nipis yang cantik.
  • Sokongan empat input 4K 120Hz.
  • Sokongan audio Dolby Atmos dengan speaker yang bagus.
  • Pilihan I/O yang memuaskan mewah.

Kontra

  • Tiada Dolby Vision.
  • Tizen OS tidak begitu lancar.

Komen ()