Cari @ Amanz

Kebanyakan telefon pintar Android sekarang, lebih-lebih lagi yang dalam kelas mercu, peranti kamera sudah boleh mengambil gambar dalam format RAW. Ia adalah gambar yang diambil terus dari sensor tanpa melalui sebarang proses pasca-proses.

Ciri ini memberi kebebasan kepada pengguna untuk menyunting gambar sendiri, seperti menetapkan profil warna mengikut citarasa masing-masing. Tetapi, jika pengguna menggunakan Google Photos – aplikasi ini hanya akan menyandarkan dan memaparkan imej yang telah dipasca-proses. Gambar-gambar RAW tersimpan dalam folder asing yang tidak dipaparkan di dalam Google Photos.

Kelak, aplikasi Google Photos akan mula memaparkan imej-imej RAW. Walaupun imej ini tidak disandarkan ke Google Photos, pengguna boleh ke pustaka aplikasi dan lihat pada bahagian barisan Photos on device untuk mengakses terus folder imej RAW. Ini membolehkan pengguna untuk kongsi, sandarkan secara manual atau juga melakukan suntingan terus dari Google Photos.

Buat masa ini, jika peranti menyokong mod RAW – Google Photos akan memaparkan ikon seakan lensa kamera untuk memudahkan pengguna. Sementara pada aplikasi album peranti label RAW akan jelas kelihatan. Tetapi nasihat saya, jika ciri ini telah dilancarkan dan diedarkan kepada semua – jangan sandarkan folder RAW kerana saiz imej adalah sangat besar dan boleh menghabiskan kuota storan dengan pantas.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd