Cari @ Amanz

Sejak daripada kapal terbang pertama Wright Flyer, pesawat dikawal dengan menggunakan permukaan sayap yang diubah bentuknya dan kemudi di bahagian ekor. Sistem yang digunakan lebih moden tetapi masih lagi memerlukan sistem mekanikal yang bergerak. DARPA telah memulakan Program Control of Revolutionary Aircraft with Novel Effectors (CRANE) yang ingin menghasilkan pesawat tidak mempunyai sistem kemudi fizikal.

Sebaliknya pesawat dikawal menggunakan sistem udara tekanan tinggi yang diberi nama Active Flow Control (AFC). Muncung udara diletakkan di beberapa bahagian pesawat dengan udara dipancutkan keluar pada tekanan tinggi untuk mengubah haluan. Untuk fasa dua CRANE, DARPA menganugerahkan kontrak menghasilkan prototaip kepada Aurora Flight Science yang telah melalukan ujian fasa pertama menggunakan model skala kecil di dalam terowong udara.

Prototaip akan mempunyai kemampuan terbang pada kelajuan hampir 900 km/j, dengan sayap selebar 9 meter dan mempunyai keupayaan menguji pelbagai jenis sistem AFC. Sekiranya ujian fasa kedua berjaya, ujian fasa ketiga akan dimulakan pula sewal 2025.

Pesawat tanpa sistem kemudi fizikal mempunyai beberapa kelebihan lebih-lebih lagi bagi mengelakkan dikesan oleh radar. Bahagian kemudian, aileron dan flaperon yang digunakan sekarang memantulkan radar mengurangkan keberkesanan yang direka untuk sukar dikesan. Ia turut membolehkan rekaan sayap lebih tebal untuk mengisi bahan api digunakan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd