Apple Certified Refurbished adalah peranti-peranti Apple seperti MacBook, iPhone, Apple Watch, iPad dan banyak lagi yang pernah rosak, dipulangkan semula oleh pelanggan atau set-set terpakai dari program tukar-beli Apple yang telah dibaiki semula dengan alat gantian asli, disemak dan dibersihkan oleh Apple sendiri.
Produk-produk di dalam kategori ini disertakan sekali dengan set lengkap seperti dengan kabel atau pengecas serta dengan jaminan Apple selama setahun dan produk terpilih turut mempunyai sokongan AppleCare. Harga jualan juga adalah lebih murah, tetapi sayang sekali produk-produk Apple yang diperbaharui ini masih tidak ditawarkan di Malaysia dan yang terdekat adalah di Singapura.
Terkini, melalui aplikasi Apple Store di iPad dan iPhone, dalam pemantauan saya ingin melihat harga Mac Mini M2 – terdapat kategori Certified Refurbished untuk produk Mac disenaraikan untuk pengguna di Malaysia. Namun apabila ditekan, kategori ini masih tidak menyenaraikan apa-apa produk lagi. Tiada kategori Certified Refurbished untuk Apple Warch, iPad atau iPhone kelihatan – sama seperti di Singapura yang terhad dengan MacBook sahaja.
Adakah ini bermakna pengguna Malaysia akan dapat memiliki MacBook diperbaharui oleh Apple atau ia hanya ralat di dalam aplikasi? Di Singapura, MacBook Pro 16” M1 Pro 16/512 GB dijual pada harga S$2,879 iaitu sekitar RM9,349, yang mana ketika dilancarkan dua tahun lalu dijual pada harga S$3,784 (~RM12,288). Ini bermakna, pengalaman penggunaan seakan produk baharu pada lebih RM3000 diskaun.