Cari @ Amanz

Ulasan – Vivo X90 Ada Kombinasi Prestasi Dan Fotografi Yang Serasi

Link Copied!

Pasaran telefon pintar di Malaysia sangat hangat kerana ia cukup terbuka. Jenama telefon pintar dari empat penjuru dunia boleh memasuki pasaran Malaysia pada pelbagai tanda harga. Dalam kategori peranti mercu, Apple dan Samsung kerap di atas menggunakan kombinasi kemasan premium, ciri menarik, sokongan perisian yang mantap, prestasi amat memuaskan dan kemampuan fotografi yang terbaik dalam kelas.

Dalam kategori terakhir di atas – kemampuan fotografi terbaik dalam kelas – kedudukan Apple dan Samsung sudah semakin goyah. Oppo, Huawei dan Vivo sejak lima tahun kebelakangan ini mampu menawarkan kemampuan fotografi yang lebih baik pada hemat kami. Vivo contohnya sudah bekerjasama dengan Zeiss dan hasilnya ialah tahun lalu Vivo X80 Pro dinobatkan sebagai peranti ketiga terbaik Amanz sepanjang 2022.

Itu tahun lalu. Bagaimana pula tahun 2023? Adalah kecemerlangan tahun lalu dapat diteruskan atau ia sekadar pisang berbuah sekali? Ini ulasan lengkap kami untuk Vivo X90.

Spesifikasi

Vivo X90
Skrin6.78″ AMOLED
1260 x 2800 pixel
HDR10+
PemprosesMediatek Dimensity 9200 (4nm)
Cip1 X 3.05 GHz Cortex X2
3 X 2.5 GHz Cortex A710
4 X 1.8 GHz Cortex A510
Cip GrafikArm Immortalis-G715
RAM12 GB LPDDR5
Muatan Dalaman256 GB UFS 4.0
Kamera Utama50 MP, f/1.8, OIS (Sudut Lebar)
12 MP, f/2.0 (Ultra Sudut lebar)
12 MP, f/2.0 (Telefoto) 2x Zum Optical
4K 60p
Kamera Depan32 Megapixel f/2.5
4K 30p
Bateri4810 mAh
Pengecasan berwayar 120W
SIM/TelefoniDwi SIM Nano /5G
NFCYa
Infra MerahYa
Kalis AirIP64
Sistem ImbasanCap jari bawah skrin
Harga JualanBermula RM3699

Skrin

Skrin 6.78″ AMOLED dengan sokongan kadar segar semula 120Hz. Skrin ini adalah agak besar yang menjadikannya sedap sebagai pemain media tetapi sedikit terganggu kerana terdapat dua lengkung pada sisi skrin. Vivo terus menggunakan rekaan ini kerana ia membuatkan ia nampak premium seakan tiada bezel sisi apabila dipandang dari hadapan.

Di Amanz kami menggemari rekaan skrin rata yang lebih praktikal. Setiap kali video ditonton dalam mod skrin penuh, ia melimpah ke sisi sehingga sebahagian kandungan dicantas. Ia juga mendedahkan skrin sisi ini kepada hentakan sekiranya peranti terjatuh ke lantai.

Kandungan HDR yang disokong ialah HDR10 dan HDR10+. Kami berjaya menonton kandungan HDR dari YouTube dan Netflix tanpa isu setakat ini. Kerana ini ialah panel AMOLED berkadar segar semula tinggi, kesemua kandungan nampak jelas walaupun di bawah mentari terik dan paparan warna yang hidup.

Bezel pada keempat-empat sudut juga nipis serasi dengan status X90 sebagai sebuah peranti mercu. Masih terdapat sebuah lubang kamera di hadapan bersaiz agak kecil. Kerana saiz skrin yang agak besar, kami sedikit sukar untuk mengakses keseluruhan bahagian skrin lebih-lebih lagi jika menggunakan sistem navigasi 3 butang.

Sebuah pengimbas cap jari optikal turut diletakkan di bawah skrin. Kedudukannya terlalu ke bawah membuatkan sekali lagi sedikit sukar untuk mengimbas ibu jari apabila X90 dipegang sebelah tangan. Ini adalah agak mengecewakan kerana kami sudah terbiasa dengan lokasi sensor yang lebih tinggi pada peranti Samsung, Oppo, Realme dan OnePlus yang diulas sebelum ini.

Kami sedikit kecewa dengan sistem keterangan skrin X90. Apabila tetapan keterangan automatik dipilih, skrin masih lagi agak kelam lebih-lebih lagi di waktu malam. Apabila lampu dihidupkan dalam bilik gelap, skrin tidak kembali terang dengan pantas. Sensor cahaya X90 mungkin perlu dikalibrasi semula kerana kerana ia sangatlah tidak konsisten kami terpaksa mengubah keterangan secara manual sepanjang tempoh ulasan ini.

Rekaan

Rekaan asas X90 masih sama dengan X80 dimana sistem tri-kamera utama diletakkan di dalam bonggol besar berbentuk bulat. Yang tiada tahun ini ialah bonggol empat segi sekunder berwarna hitam. Bonggol bulat kamera diletakkan terus kepada panel belakang peranti yang diperbuat daripada logam.

Kemasan logam ini tidak berkilat dan tidak memerangkap kotoran dengan mudah. Terdapat logo Zeiss yang ketara di bahagian belakang dan satu jalur logam dengan slogan Xtreme Imagination. Bagi yang kurang arif dengan siri Vivo X, ia mementingkan kemampuan fotografi berbanding model lain yang ditawarkan oleh mereka.

Bonggol kamera tadi agak besar membuatkan peranti tidak stabil apabila diletakkan di atas permukaan meja. Sebuah kerangka silikon diberikan dengan setiap pembelian X90 di Malaysia yang menyelesaikan isu ini. Apabila kerangka dipasang, sisi skrin yang agak terdedah yang kami katakan beberapa perenggan di atas juga terlindung dari hentakan jika peranti terjatuh.

Pada sisi kanan diletakkan butang laras audio jenis memanjang dan butang kuasa yang agak kecil saiznya. Kedua-duanya diperbuat daripada bahan logam yang bukan sahaja selesa ditekan tetapi juga teguh membuatkan peranti terasa premium.

Pemancar infra merah untuk alat kawalan jauh diletakkan di atas sementara bicu pengecas USB-C di bawah dihimpit kekisi audio dan talam SIM. Dwi SIM nano 5G boleh digunakan serentak pada Vivo X90. Pada waktu ini tiada sokongan eSIM diberikan. Juga tiada ialah sokongan penambahan storan menggunakan kad mikro SD.

Tiada bicu audio 3.5mm diberikan tetapi speaker stereo pada peranti ini tidak hadir dengan sistem audio Dolby Atmos yang secara lazimnya diberikan secara lalai pada peranti Android.

Kerangka logam mengelilingi tubuh X90 yang menjadikan binaannya kukuh. Peranti tidak mudah melengkung walaupun daya yang kuat dikenakan. Secara keseluruhan X90 mempunyai binaan yang kukuh, terasa premium dan selesa di dalam tangan. Malah ia turut melepasi piawaian IP64. Ini bukan piawaian yang tertinggi IP68 tetapi adalah lebih baik daripada tiada langsung.

Antaramuka Dan Pengalaman Penggunaan

Sistem operasi Funtouch OS 13 yang berasaskan Android 13 digunakan dengan ia mirip dengan pelancar Android asli. Ini pastinya sudah dijangka kerana Google mengetatkan jumlah kustomasi antaramuka yang boleh digunakan pengeluar jika mereka ingin terus menggunakan GMS. Berita bagi pengguna Android yang sudah biasa dengan antaramuka standard. Dengan Android 13 hadirlah kustomasi memadankan warna elemen antaramuka dengan latar belakang secara automatik dan juga pilihan widget yang lebih pelbagai.

Seperti yang telah kami terbitkan dalam beberapa ulasan sebelum ini, Android 13 tidak membawakan perubahan antaramuka yang mendadak. Jika sebelum ini anda menggunakan Android 13, antaramuka Funtouch OS 13 tidak akan memberikan sebarang kejutan sehingga mengelirukan.

Yang mengelirukan ialah skrin tetapan peranti yang menggunakan simbol bulat berwarna hijau yang sama untuk kesemua kategori. Ikon berwarna putih di dalam bulatan hijau yang digunakan pula tidak begitu jelas. Setiap kali kami ingin melakukan perubahan pada tetapan, kami perlu membaca apa yang tertulis untuk setiap kategori kerana ia turut diubah berbanding Android stok.

Vivo perlu meminjam apa yang telah dilakukan oleh Samsung dengan One UI dan Oppo dengan ColorOS pada skrin tetapan. Setiap simbol mempunyai warna berbeza dan ikon yang jelas. Perkara ini mungkin nampak kecil tetapi jika anda ingin mencari kategori tertentu (Display misalnya) pada skrin tetapan X90 anda pasti akan terkeliru.

Vivo masih menawarkan beberapa aplikasi tambahan seperti gedung V-Appstore yang membolehkan aplikasi dimuat turun luar daripada Play Store. Berguna sekali jika anda ingin menggunakan Antutu 3D yang telah diharamkan. Aplikasi iManager pula merupakan pusat setempat untuk melihat tahap kesihatan sistem peranti. Proses mengoptimasikan RAM dan membersihkan storan boleh dilakukan terus dari dalam aplikasi ini.

Tidak semuanya bagus kerana Vivo menyertakan beberapa aplikasi Booking.com, Agoda, Viu dan Shopee secara terpasang. Kami kurang gemar dengan kewujudan aplikasi gendut. Storan 256GB pada peranti ini nampak seakan besar tetapi dengan saiz aplikasi semakin besar, adalah lebih baik jika tiada aplikasi gendut langsung. Naib baik aplikasi boleh dinyahpasang oleh pengguna.

Terdapat ciri Extended RAM yang menambah memori sehingga 8GB secara maya apabila diperlukan. Funtouch OS 13 hanya membenarkan penambahan 8GB sahaja tanpa pilihan saiz lebih kecil. Mengecewakan kerana pada peranti Android lain pilihan 2,4,6 dan 8 GB RAM diberikan.

Pada peranti diulas, jumlah RAM yang boleh digunakan adalah sehingga 20GB sekiranya perlu. Harus kami akui tidak menggunakan sangat ciri ini kerana 12GB ialah saiz RAM yang mencukupi untuk 99% situasi. Sepanjang tempoh ulasan kami mematikan sahaja ciri ini tanpa sebarang kekurangan pada prestasi.

Pengalaman penggunaan Vivo X90 dengan Funtouch OS 13 adalah amat lancar. Tiada isu tersekat-sekat atau aplikasi tidak boleh dijalankan. Dengan skrin 120Hz kesemuanya terasa lancar seperti mentega di atas meja abang burger tepi jalan. Ini adalah sekadar penggunaan untuk tempoh pendek X90 setakat ini. Dalam ulasan penuh kelak kami akan cuba nyatakan jika wujud situasi peranti gagal beroperasi dengan baik.

Isu yang kami sedari setakat ini hanyalah tidak boleh memuat turun aplikasi Netflix daripada Play Store kerana sokongan rasmi untuk cip MediaTek Dimensity 9200 belum diberikan. Aplikasi perlu dipasang secara sideload tetapi boleh berfungsi tanpa isu termasuk menonton pada resolusi HD dan HDR. Isu pemanasan juga tiada selepas sesi permainan video yang sederhana panjang. Reputasi cip Dimensity yang sejuk berterusan pada X90.

Penanda Aras

Berikut ialah beberapa skor yang dicatatkan oleh Vivo X90 dengan Dimensity 9200 apabila ujian penanda aras popular dilakukan. Cip ini berada di dalam kelas yang sama dengan Snapdragon 8 Gen 2. Ini ialah perbandingan markah penanda aras X90 dibandingkan dengan iQOO 11 5G (Snapdragon 8 Gen 2) dan iPhone 14 Pro Max (Apple A16 Bionic).

Geekbench 5

  • Vivo X90 – 1372/4192
  • iQOO 11 5G – 1457/4702
  • Apple iPhone 14 Pro Max – 1875/5469

Antutu 3D

  • Vivo X90 – 1,147,029
  • iQOO 11 5G – 1,248,937
  • Apple iPhone 14 Pro Max – 974,941

3D Mark Wildlife Extreme

  • Vivo X90 – 3176
  • iQOO 11 5G – 3763
  • Apple iPhone 14 Pro Max – 3373

Prestasi penggunaan selamat tempoh dua minggu adalah amat baik. Terasa lancar sepanjang masa dibantu oleh skrin 120Hz yang pantas. Hanya kadang kala kami sedari seperti ada drop frame semasa menatal skrin. Ini hanya berlaku pada tiga hari pertama sebelum tidak berulang lagi. Mungkin X90 masih cuba mengoptimasikan sistem dengan aplikasi yang dipasang pada waktu tersebut.

Memainkan pelbagai jenis permua tiada masalah. COD Mobile, Diablo Immortal dan Genshin Impact boleh dilancarkan dengan pantas serta tetapan yang tinggi. Peranti juga tidak menjadi panas melampau selepas lebih empat sesi COD Mobile. Sekadar hangat kerana haba dari tangan dipindahkan ke panel logam belakang. Cip Dimensity 9200 mungkin tidak sepantas Snapdragon 8 Gen 2 dan A16 Bionic tetapi ia memanas seperti dua cip mercu tadi. Jika anda seorang gamer, Dimensity 9200 adalah cip yang baik dan paling penting sekali sejuk.

Telefoni dan GPS

Peranti dilengkapi modem 5G sub-6GHz tetapi pada waktu ini ia masih belum disokong oleh rangkaian DNB. Sepanjang tempoh ulasan hanya rangkaian 4G LTE+ sahaja dapat diuji menerusi telko Digi. Panggilan telefon adalah terang dengan wujud juga sokongan VoWiFI tetapi tiada pula sokongan VoLTE. Kelajuan WiFi juga amat memuaskan kerana sokongan sehingga WiFI 6.

Prestasi GPS juga sebaik prestasi selular dengan lokasi boleh dijejak dalam aplikasi Waze dan Google Maps dengan pantas. Semasa memandu isyarat tidak terputus walaupun di tengah-tengah Kuala Lumpur yang dipenuhi bangunan tinggi.

Kamera

Kamera utama 50MP Sony IMX866 sudut lebar OIS, 12MP ultra sudut lebar dan 12MP telefoto yang menyokong zum optikal 2x diletakkan di belakang . Kamera hadapan pula adalah sebesar 32MP. Lensa Zeiss digunakan pada kamera utama dan juga hadapan. Turut disertakan ialah cip ISP Vivo V2 untuk memproses setiap gambar yang diambil.

Aplikasi kamera mudah difahami dengan terdapat pelbagai ciri tambahan yang menarik seperti mod khusus untuk seni bina serta landskap, Astro, Long Exposure, Double Exposure dan Supermoon. Mod warna khusus oleh Zeiss juga boleh diakses. Berikut ialah beberapa sampel gambar yang kami ambil menggunakan kamera Vivo X90.

Dalam situasi pencahayaan yang baik objek dalam gambar kelihatan tajam, penghasilan semula warna yang tepat dan tiada isu dedahan berlebihan.

Kualiti dalam mod gelap masih lagi baik cuma imej kelihatan sedikit lembut.

Apabila berubah dari sudut lebar ke ultra sudut lebar, tiada perubahan warna dikesan. Ini adalah baik kerana ada peranti mercu yang tidak menawarkan warna yang konsisten apabila lensa berbeza digunakan pada kamera.

Tiada sistem zum digital yang melampau kerana ia terhad sehingga 20x dengan zum optikal pula sehingga 2x. Berdasarkan pengamatan gambar di bawah, kualiti zum masih lagi memuaskan pada tetapan 10x. Di bawah kami lampirkan gambar pada tetapan zum 1x, 5x dan 10x. Warna pada gambar adalah sama seperti keadaan sebenar dan diambil ketika cuaca pans terik. Sungguhpun begitu tiada isu dedahan berlebihan dikesan. Imej tajam dan warna nampak hidup.

Bateri

Dengan bateri 4810 mAh adalah sederhana besar dengan ia dibahagi kepada untuk menyokong sistem pengecasan 120W. Dalam penggunaan yang berat, peranti bertahan sekitar 11 jam dengan SOT mencecah 9 jam. Pada penggunaan lebih santai, peranti boleh bertahan sehingga 26 jam dengan SOT sekitar 6 jam. Ini adalah penggunaan dengan hampir keseluruhannya di rumah dengan WiFi.

Bateri boleh dicas semula dalam masa sekitar 25 minit menerusi pengecas 120W yang disertakan dalam kotak. Pengecas dari jenis USB-C ke USB-C yang turut menyokong format pengecasan USB-PD. Oleh itu ia turut boleh digunakan untuk mengecas komputer riba. Beli Vivo X90 dapat sebuah pengecas universal sekali dengan saiz yang kecil. Kekurangan X90 hanyalah tiada sokongan pengecasan nirwayar atau berbalik.

Audio

Audio dari speaker stereo adalah terang dan seimbang. Pada tetapan sederhana sekalipun ia cukup lantang untuk didengari. Kualiti audio dari speaker adalah memuaskan walaupun X90 tidak hadir dengan sistem audio Dolby Atmos yang biasanya meningkatkan kualiti audio. Sokongan audio menerusi TWS dan sambungan berwayar juga amat baik.

Pesaing

Vivo X90OnePlus 11iQOO 11 5G
6.78″ AMOLED, 120Hz, (453 ppi), HDR10+6.7″ AMOLED, 120Hz, (525 ppi), 120Hz, Dolby Vision6.78″ AMOLED, 144Hz, (518 ppi), HDR10+
Snapdragon 8 Gen 2 (4 nm)
1×3.2 GHz Cortex-X3
2×2.8 GHz Cortex-A715
2×2.8 GHz Cortex-A710
3×2.0 GHz Cortex-A510
Snapdragon 8 Gen 2 (4 nm)
1×3.2 GHz Cortex-X3
2×2.8 GHz Cortex-A715
2×2.8 GHz Cortex-A710
3×2.0 GHz Cortex-A510
Snapdragon 8 Gen 2 (4 nm)
1×3.2 GHz Cortex-X3
2×2.8 GHz Cortex-A715
2×2.8 GHz Cortex-A710
3×2.0 GHz Cortex-A510
Adreno 740Adreno 740Adreno 740
8/12 GB RAM LPDDR5
128/256/512 GB UFS 4.0
12/16 GB RAM LPDDR5
256/512 GB UFS 4.0
16GB RAM LPDDR5
256 UFS 4.0
50MP, f/1.8, OIS (Lebar)
12MP, f/2.0, (Telefoto)
12MP, f/2.0 (Ultra-lebar)
50MP, f/1.8, OIS, (Lebar)
32MP, f/2.0 (Telefoto),
48MP, f/2.2 (Ultra-lebar)
50MP, f/1.9, OIS (Lebar)
13MP, f/2.5, (Telefoto)
8MP, f/2.2 (Ultra-lebar)
32MP, f/2.516MP, f/2.416MP, f/2.5
Tiada bicu audio 3.5mmTiada bicu audio 3.5mmTiada bicu audio 3.5mm
Audio StereoAudio StereoAudio Stereo
4810 mAh
Pengecasan pantas 120W
5000 mAh
Pengecasan pantas 100W
5000 mAh
Pengecasan pantas 120W
RM3699 (12/256GB)RM2553* (12/256GB)
RM2808* (16/256GB)

RM3128* (16/512GB)
RM3499 (16/256GB)

Apa Di Dalam Kotak

Berikut ialah yang disertakan dalam kotak yang kami terima.

  • 1x Vivo X90
  • 1x Kerangka silikon lutcahaya.
  • 1x Pengecas tiga pin 120W.
  • 1x Kabel pengecas USB-C ke USB-C.
  • 1x Pin SIM.
  • 1x Manual.

Kesimpulan

Permulaan yang baik untuk Vivo tahun ini kerana X90 tidak mengecewakan. Ia berfungsi dengan baik, mampu menjalankan permua pada tetapan tinggi, ciri tambahan yang berguna dan kemampuan kamera yang amat memuaskan dibantu oleh lensa Zeiss.

Pada harga RM3699 di Malaysia, ia mungkin dilihat agak mahal. Tetapi sepanjang 2023 harga peranti diramalkan akan melonjak naik berbanding 2022. Pada hemat kami Vivo X90 masih lagi berbaloi kerana mempunyai kesemua yang diperlukan pada sebuah peranti mercu Android 2023. Kekurangan pada bateri tidak begitu terasa kerana adanya sokongan pengecasan 120W yang amat pantas. Jika selama ini anda menanti untuk menggunakan peranti Vivo, X90 ialah peranti yang tidak mengecewakan.

Pro

  • Skrin AMOLED 120Hz yang pantas dan terang.
  • Dimensity 9200 adalah pemproses mercu yang pantas.
  • Sokongan pengecasan 120W.
  • Sistem kamera dengan lensa Zeiss yang baik.
  • Kalis air IP64.

Kontra

  • Skrin melengkung pada bahagian sisi.
  • Pengimbas cap jari terlalu ke bawah.
  • Tiada sokongan pengecasan nirwayar.
  • Tiada sokongan 5G DNB pada waktu ini.

Komen ()