Carian
Set Kepala AR Apple Akan Mempunyai Penjejakan Jari Dan Antaramuka 3D Seakan iOS
January 24, 2023 Effi Saharudin

Set kepala AR Apple dijangka diperlihatkan tidak lama lagi dengan ia merupakan edisi paling mercu selepas kaca mata pintar dilaporkan telah dihentikan pada waktu ini. Menurut laporan Bloomberg pagi ini, set kepala AR Apple kelak akan mempunyai antaramuka 3D yang mirip iOS dan iPadOS.

Ini adalah bagi memudahkan proses penggunaan tanpa perlu mempelajari semula antaramuka selepas dilancarkan. Antara ciri yang disokong ialah menggunakannya sebagai monitor sekunder dari sebuah peranti macOS. Kemudian sokongan papan kekunci dan tetikus juga boleh dilakukan seperti biasa.

Set kepala yang mungkin menggunakan nama Apple Reality Pro ini juga akan mempunyai kemampuan menjejak jari serta objek untuk memberikan pengalaman realiti terimbuh yang baik. Gestur jari juga boleh difahami oleh sistem operasi. Pelbagai aplikasi Apple akan disokong secara natif bersama dengan beberapa lagi aplikasi popular.

Dalam laporan yang sama, Apple dipercayai bekerjasama dengan Disney untuk membawakan sokongan pemain video yang baik untuk pemakai lengkap dengan audio Dolby yang menyeluruh. Berita buruk untuk pemakai cermin mata ialah Reality Pro tidak dilengkapi lensa diopter seperti pada HTC Vive XR Elite.

Sebelum ini Bloomerg telahpun melaporkan Reality Pro akan menggunakan skrin mikro LED 4K, cip siri Apple M berkuasa tinggi dan bateri yang dipasang pada pinggang pemakai bagi mengurangkan berat serta itu set kepala tidak seimbang.

Komen