Peranti Motorola di bawah siri G telah dikemaskini dengan beberapa lagi penawaran baharu. Ini termasuklah Moto G73 dan Moto G53 yang merupakan peranti dengan rangkaian 5G terbina. Perbezaan kecil turut boleh dilihat untuk rekaan pada kedua-duanya, di mana Moto G73 mempunyai sisi tubuh yang melengkung keseluruhannnya. Sementara itu, Moto G53 pula sedikit berkotak dengan sisi dibulatkan.


Moto G73 dilengkapi skrin sebesar 6.5-inci IPS LCD FHD+ dengan kadar segar semula 120Hz. Ia kemudiannya dipadankan cip MediaTek Dimensity 930 sebagai tunjang utama, di samping memori 8GB RAM dan storan dalaman 256GB. Kamera utama pula terdiri dengan 50MP + 8MP yang turut boleh merakam video dengan resolusi maksimum 4K
Seterusnya, kamera hadapan pula sebesar 16MP yang boleh ditemui pada lubang kecil di skrin hadapan. Turut disertakan, bateri 5,000mAh dengan sokongan sistem pengecasan pantas 30W yang turut disertakan dengan kepala pengecas di dalam kotak pembelian. Lain-lain spesifikasi termasuklah sambungan port USB-C, bicu audio 3.5mm, NFC dan pembesar suara stereo dengan Dolby Atmos.


Moto G53 pula menggunakan skrin 6.5-inci LCD HD+ dengan nisbah aspek 20:9. Cip Snapdragon 480+ digunakan sebagai tunjang utama peranti, di samping memori 4GB RAM dan storan dalaman 128GB. Kamera utama pula terdiri dengan 50MP + 2MP (makro) dengan kebolehan merakam video maksimum pada 1080P. Kamera hadapan pula sebesar 8MP yang diletakkan pada lubang kecil di skrin hadapan.
Seterusnya, bateri sebesar 5000mAh disertakan yang menyokong pengecasan 10W bergantung pada pasaran. Ini disebabkan oleh terdapat juga pasaran yang disediakan sistem pengecasan 18W pada peranti, misalnya seperti Latin American. Lain-lain spesifikasi termasuklah sambungan port USB-C, bicu audio 3.5mm dan pembesar suara stereo dengan Dolby Atmos.
Harga jualan untuk Moto G73 ialah €300 (~RM1396), sementara itu Moto G53 pula ditawarkan pada €250 (~RM1,163) sebuah.