Moto G23 dan Moto G13 turut diumumkan secara rasmi sebagai peranti bajet baharu. Kedua-duanya mempunyai rekaan dan bahan binaan yang sama dengan bingkai rata dan panel belakang sejenis plastik. Di samping turut mempunyai persediaan tri-kamera utama.
Bukan itu sahaja, sebilangan besar perkakasan lain juga sama sahaja dengan skrin IPS LCD HD+ sebesar 6.5-inci dan kadar segar semula 90Hz. Cip MediaTek Helio G85 digunakan sebagai tunjang utama, di samping sokongan memori 4GB RAM dan storan dalaman 128GB.

Seterusnya kamera utama pula terdiri dengan 50MP (utama) yang diikuti dengan sensor 5MP (ultra-lebar) + 2MP (kedalaman). Bateri 5000mAh turut digunakan dengan sistem pengecasan yang berbeza untuk kedua-dua peranti. Di mana, Moto G23 dibekalkan pengecasan 30W, sementara itu Moto G13 pula menyokong pengecasan 20W.
Begitu juga dengan sokongan kamera swafoto, perbezaan boleh dilihat pada sensor 8MP lebih kecil pada Moto G13. Manakala, kamera swafoto pada Moto G23 pula sebesar 16MP. Harga jualan untuk peranti adalah EUR 199 (~RM926) dan Moto G13 pula serendah EUR 179 (~RM833).