Carian
Masjid Cetakan 3D Pertama Dunia Akan Dibina Di Dubai
January 25, 2023 Effi Saharudin

Teknik cetakan 3D telah digunakan untuk menghasilkan alat permainan, senjata, komponen kenderaan, arca dan juga kini sebuah masjid. Masjid yang dibina menggunakan teknik cetakan 3D ini akan dibina di Dubai tahun ini dengan proses pembinaan akan mengambil masa hanya empat bulan untuk struktur asas. Kemudian proses menambah keperluan lain akan mengambil masa setahun lagi.

Apabila siap kelak, masjid ini akan mempunyai keluasan lantai 21,500 kaki persegi dan mampu menampung 600 orang jemaah serentak. Pembinaan akan dilakukan di Bur Dubai pada Oktober depan dengan ia boleh digunakan menjelang 2025.

Untuk fasa cetakan 3D, hanya tiga orang pekerja diperlukan dengan mesin mencetak campuran konkrit pada kadar 2 meter persegi sejam. Masjid ini direka oleh firma seni bina JT + Partners.

Kos pembinaan adalah 30% lebih mahal berbanding teknik pembinaan konvensional kerana ini kali pertama teknik seperti ini digunakan tetapi akan berkurangan selepas teknik cetakan 3D digunakan secara lebih meluas. Pasca pembinaan, bangunan dijangka boleh bertahan selama 30 tahun.

Komen