Selepas lebih dua tahun, akaun Facebook dan Instagram Donald Trump tidak lagi akan digantung. Meta mengesahkan keputusan ini diambil selepas mengambil saranan daripada Lembaga Pengawasan Facebook yang sebelum ini bersetuju akaun digantung tetapi mengkritik tiadanya kriteria yang jelas mengapa akaun boleh digantung serta tempohnya.
Berdasarkan cadangan Lembaga Pengawasan, Meta menetapkan penggantungan selama dua tahun. Kedua-dua akaun mantan presiden Amerika Syarikat ini akan diaktifkan semula dalam masa beberapa minggu sahaja lagi. Meta berkata orang ramai berhak mendengar apa yang ingin disampaikan oleh ahli politik sama ada baik ataupun buruk untuk menilainya sendiri sebelum pilihanraya.
Walaupun akan akan diaktifkan semula, Facebook akan masih mengawasi akaun untuk kandungan yang melanggar syarat-syarat penggunaan laman seperti kandungan konspirasi dan menafikan keputusan pilihanraya. Sekiranya Donald Trump mengulangi kesalahan yang sama, akaun akan digantung semula untuk tempoh antara dua bulan ke dua tahun bergantung kepada tahap keseriusannya.