Sensor Kamera Canon Terbaru Mampu Merakam Imej HDR Dalam Satu Tangkapan Sahaja

Diterbitkan pada Jan 26, 2023. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Untuk menangkap gambar HDR (High Dynamic Range), secara lazimnya apa yang akan dilakukan oleh sebuah kamera ialah untuk mengambil beberapa gambar pada tahap pendedahan cahaya yang berbeza.

Gambar-gambar ini kemudiannya akan “digabungkan” dan dijadikan sebuah gambar dengan tahap pendedahan dan juga olahan warna yang diperlukan untuk menjadikan sebuah gambar HDR.

Baru-baru ini, Canon telah memperlihatkan sensor terbaru mereka yang dilaporkan mampu mengambil gambar HDR dengan satu gambar sahaja. Sensor ini hadir dengan saiz satu inci dan boleh mengambil gambar bersaiz 12.6MP.

Bagaimana sensor ini berfungsi ialah ia dibahagikan kepada 736 kawasan yang akan mengambil gambar pada tahap pendedahan cahaya yang berbeza. Setiap bahagian sensor ini boleh mengubahsuai pendedahan cahaya yang diperlukan untuk mengambil gambar yang tidak terlalu cerah ataupun gelap dan mengekalkan butiran seperti ketajaman dan juga olahan warna.

Dalam pada itu, sensor ini juga dipadankan dengan pemproses imej untuk mengolah imej dengan pantas. Canon mengatakan bahawa oleh kerana sensor ini mampu mengambil satu gambar dengan tahap pendedahan cahaya yang berbeza, ia juga membantu dalam mengurangkan saiz gambar yang diambil.

Canon juga mengatakan pada awalnya, sensor ini dibangunkan untuk digunakan dalam sektor perindustrian, tetapi mendapati bahawa kegunaannya juga dapat dimanfaatkan dalam industri pengguna juga.

Buat masa ini ia tidak diketahui lagi bilakah Canon akan mula memperkenalkan sensor ini kedalam kamera-kamera mereka.

komen


© Amanz / 2023 Kami