Carian
Instagram Akan Fokus Kepada Keseimbangan Kandungan Video Dan Gambar
January 26, 2023 Amy Maizuraa

Instagram atau juga dikenali sebagai IG pada asalnya diciptakan sebagai aplikasi perkongsian gambar. Hari demi hari, tahun demi tahun, kemaskini yang dilakukan telah membuatkan Instagram menggabungkan perkongsian video sekaligus menjadikannya lebih mirip seakan TikTok. Bagi mereka yang sering menggunakannya pasti menyedari tumpuan aplikasi ini mula beralih ke arah video.

Instagram TikTok

Hal ini turut diakui oleh Ketua Pegawai Eksekutif Instagram iaitu Adam Mosseri menerusi salah satu kemaskini Stories di profil Instagramnya. Menyedari hakikat yang ramai di antara pengguna agak kecewa dengan perubahan ini, beliau menegaskan bahawa perkongsian foto akan sentiasa menjadi sebahagian tumpuan yang penting di Instagram.

Beliau juga mengakui platform ini terlalu memberi fokus terhadap kandungan video pada tahun lalu. Bagaimanapun, ia akan kembali seimbang dengan jumlah foto dan video yang sepatutnya dipaparkan kepada pengguna. Ini termasuklah mengambil kira kekerapan pengguna menyukai dan memberi komen pada sesuatu foto berbanding video, sekaligus mencadangkan kandungan yang sepadan dengan minat mereka.

Instagram Following

Memetik kenyataaan yang sama, Mosseri turut mengatakan kandungan video akan masih menjadi tumpuan dan perlu tambah baik dari masa ke masa kerana ia telah mendorong penglibatan keseluruhan pengguna yang lebih banyak. Tetapi Mosseri sekali lagi menegaskan bahawa Instagram sama sekali tidak akan menyingkir kandungan berbentuk foto daripada aplikasinya.

Instagram Reels

Dalam perkembangan lain, Mosseri turut berkongsi mengenai jumlah akaun spam dan bot di Instagram yang semakin meningkat. Hal ini telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengguna, tetapi Instagram akan berusaha sehabis baik bagi mengurangkannya dan memastikan privasi data sentiasa dilindungi.

Komen