Carian
Ulasan – Huawei FreeBuds 5i Ada ANC Sesuai Dengan Bajet
February 7, 2023 Amy Maizuraa

Lambakan pelbagai jenis fon telinga di pasaran jelas menunjukkan permintaan terhadapnya semakin meningkat. Tambahan pula, ramai di antara pengguna yang begitu memilih dan membandingkan harga terlebih dahulu sebelum membuat pembelian. Secara umumnya juga, hal berkenaan dapat membantu pengguna mencari produk paling sesuai untuk keperluan harian. Sebagai tambahan lagi, Huawei FreeBuds 5i dilancarkan di Malaysia dengan harga jualan RM399 seunit.

Ia merupakan model kemas kini untuk FreeBuds 4i yang diumumkan tahun lalu dengan beberapa penambahbaikan disertakan. Antaranya seperti kapasiti bateri lebih besar, di samping penarafan kalis air turut diberikan untuk kali ini. Seterusnya harga jualan yang ditawarkan juga agak tinggi berbanding sebelum ini, tetapi ia boleh dikatakan baik dalam kelasnya. Untuk ketahui lebih lanjut mengenai penawaran dan prestasi untuk fon telinga baharu Huawei ini, anda boleh menyemaknya menerusi artikel ulasan di bawah.


Spesifikasi & Rekaan

HUAWEI FREEBUDS 5I
JenisTWS dalam telinga
PemanduDua pemandu 11mm
MikrofonDua mikrofon
Bateri8.5 / 28 jam dengan pod pengecas
Port pengecasUSB-C
Pengecasan nirwayarTiada
CODECAAC/LDAC
Sistem operasi disokongAndroid, iOS, HarmonyOS, Windows
Sokongan pembantu mayaTidak
Pad sesentuhTekan & tahan
Kemampuan kalis airIP54
BluetoothBluetooth 5.3
Audio OfflineTiada
Pengimbas nadiTiada
Harga JualanRM399

Tidak banyak komen yang boleh kami berikan untuk rekaan pada fon telinga Huawei FreeBuds 5i. Ini disebabkan oleh elemen-elemen yang digunakan sebahagian besarnya menyerupai generasi sebelum ini. Fon jenis dalam telinga bertangkai dengan putik silikon dan pod pengecas yang membujur turut digunakan untuk kali ini. Turut dimuatkan adalah sistem pembatalan hingar aktif (ANC) secara terbina yang mampu menapis hingar mencapai 42 desibel (dB). Melaluinya juga, dua mikrofon dimuatkan pada bahagian tangkai dan satu lagi di dalam setiap putik audio bagi menjayakan kebolehan ANC ini.

Perbezaan ketara yang boleh dilihat terletak pada jenis bahan binaan yang kini sejenis kasar dan pusam, sekaligus menjadikannya langsung tidak licin sewaktu dipegang. Bukan itu sahaja, isu kotoran yang melibatkan kesan daki, peluh dan cap jari mudah melekat yang berlaku pada FreeBuds 4i sebelum ini juga berjaya diatasi untuk kali ini. Ia bertambah menarik dengan adanya motif seakan batu marmar cantik yang turut menghiasinya.

Terdapat tiga pilihan warna yang disediakan iaitu Isle Blue seperti unit ulasan yang diterima oleh kami. Selanjutnya ia diikuti pula dengan warna Ice White dan Black yang dilihat sesuai buat pengguna berperibadikan sederhana dan minimalis.

Secara umumnya juga, binaan adalah baik meskipun diperbuat daripada plastik sepenuhnya dan pengalaman memegang juga tidak terasa murah. Saiznya yang kecil dan ringan turut memudahkan penggunaan, di mana meletakkannya di dalam poket seluar atau beg kecil dirasakan cukup selesa.

Terdapat satu lampu indikator di bahagian hadapan pod pengecas sebagai penunjuk status tambatan dan bateri. Lampu menunjukkan warna putih sewaktu proses tambatan dan ia boleh dibuat dengan menekan beberapa saat pada butang khusus di sebelah sisi kanan. Pada masa sama, butang ini turut boleh digunakan untuk proses penetapan semula pada mana-mana peranti pintar lain.

Seterusnya, lampu indikator akan bertukar hijau yang menunjukkan status bateri di tahap penuh, kemudian bertukar menjadi merah apabila ia mula berkurang atau lemah. Akhir sekali, lampu ini menjadi warna kuning cair sewaktu proses semula dibuat menggunakan sambungan port USB-C yang diletakkan di bahagian bawah. Tahap bateri pula boleh disemak hanya melalui aplikasi Huawei AI Life yang akan kami ceritakan lanjut di bahagian aplikasi sambungan dan kualiti audio. Kemudian adakah terdapatnya sokongan untuk pengecasan nirwayar pada FreeBuds 5i ini? Jawapannya TIDAK sama seperti generasi sebelum ini.

Selanjutnya, rekaan yang padat ini turut dipadankan dengan binaan engsel yang kukuh dan tidak mudah tertanggal kerana terdapatnya magnet cukup kuat. Begitu juga dengan magnet pada bahagian dalam yang membuatkan kedua-dua fon telinga boleh disimpan dengan kemas tanpa risau terjatuh daripada pod pengecas.

Beberapa kali juga kami cuba menggoncangnya secara agresif tetapi fon telinga langsung tidak terjatuh keluar. Kemudian, tangkai pendek yang disediakan mempunyai sokongan sensor yang boleh digunakan untuk pelbagai kawalan, termasuklah menjeda atau melangkau audio yang sedang dimainkan.

Kawalan ini boleh dibuat dengan beberapa cara, sama ada secara meleret atau menekan/menahan beberapa saat pada bahagian tangkai tersebut. Dengan tambahan harga jualan sekitar RM20 berbanding generasi sebelum ini, Huawei telah menambah ciri penarafan kalis air IP54 sebagai pelindungan tambahan. Penggunaannya kini lebih selamat untuk dibawa bersenam atau bersantai di luar, tetapi tidak sesuai untuk aktiviti air yang melampau seperti berenang atau menyelam.


Aplikasi Sambungan

Bergerak pada aplikasi sambungan, Huawei AI Life perlu dimuat-turun terlebih dahulu untuk kawalan lebih menyeluruh. Ia boleh didapati secara terus daripada gedung aplikasi Huawei AppGallery dan AppStore, tetapi kekurangan ketara mula ditemui pada peranti Android bukan di bawah ekosistem Huawei yang perlu memuat turunnya daripada aplikasi pihak ketiga. Hal ini agak membimbangkan khususnya soal keselamatan terhadap peranti.

Selanjutnya, tambatan pantas boleh dibuat menerusi yang kemudiannya turut boleh disambungkan di antara dua peranti secara serentak sama ada pada telefon pintar, komputer riba dan tablet. Proses sambungan adalah secara automatik dengan sebuah skrin mini dengan imej FreeBuds 5i dan tekan pada tab “Connect” bagi melengkapkan tambatan. Selanjutnya tambatan pada peranti iOS dan Android lain pula boleh dilakukan menerusi menu bluetooth.

Antaramuka aplikasi tidak menunjukkan perbezaan yang besar untuk penggunaan pada peranti Huawei dan iOS. Tetapi kawalan lebih menyeluruh hanya boleh ditemui pada peranti Huawei dengan beberapa kelebihan. Misalnya seperti ciri Connection Center bagi melihat dan mengawal peranti yang disambung ke fon telinga ini. Seterusnya pilihan yang membenarkan pengguna memilih sama ada mahukan kualiti sambungan atau bunyi yang terbaik turut sama disertakan untuk pengalaman penggunaan lebih pelbagai.

LDAC juga hanya boleh diaktifkan pada peranti Android menggunakan aplikasi ini, seterusnya ciri Dynamic latency turut boleh ditemui dengan kebolehan berubah ke mod masa pendam rendah secara automatik untuk sesi permua lebih baik. Hal ini berbeza pula dengan peranti iOS yang hanya dilengkapi ciri Low audio latency bagi mengurangkan kepincangan audio berlaku. Tiga tahap pembatalan hingar aktif turut sama disediakan yang merangkumi General, Cozy dan Ultra untuk kegunaan dalam keadaan berbeza.

Ciri tambahan lain pada kedua-dua peranti adalah sama, di mana aplikasi memuatkan sokongan Smart Wear Detection, Tip Fit Test dan Find My Earphones. Terdapat juga ruangan dinamakan sebagai Noise Control yang membenarkan pengguna mengaktifkan mod ANC apabila diperlukan dengan mudah. Selanjutnya FreeBuds 5i juga hadir dengan sistem Awareness yang boleh meningkatkan kekuatan perbualan dan persekitaran.


Kualiti Audio

Selanjutnya berkongsi mengenai kualiti audio, Huawei FreeBuds 5i merupakan fon telinga yang memberi penekanan terhadap bass dan treble. Ia menyeronokkan tetapi tidak dalam semua hal. Misalnya seperti sub-bass kedengaran cukup punchy dan menyeronokkan, tetapi masih belum sempurna. Pengalaman yang sama turut berlaku pada mid-bass, khususnya untuk lagu berjenis pop.

Vokal pula keseluruhannya memberi pengalaman pendengaran tidak konsisten, terutama sekali untuk vokal penyanyi lelaki yang kedengaran agak tenggelam dan tidak natural. Berbeza pula dengan penyanyi wanita yang kedengaran cukup lantang dan jelas. Apabila beralih pula ke nada tinggi, kualiti audio yang terang serba jelas boleh dinikmati. Dalam masa sama, perincian juga baik tetapi masih tidak mencukupi untuk mencapai tahap yang sepatutnya.


Ketahanan Bateri

Bateri 410mAh yang dimuatkan pada FreeBuds 5i mampu bertahan sehingga 28 jam lamanya. Keadaan ini bergantung sepenuhnya dengan bantuan pod pengecas dan sistem ANC yang dimatikan sepenuhnya. Ia bagaimanapun berkurang menjadi 18.5 jam pula apabila digunakan dengan sistem ANC.

Selanjutnya fon telinga pula masing-masing memuatkan bateri 55mAh yang boleh digunakan selama 6 jam dengan ANC dan meningkat kepada 7.5 jam jika sebaliknya. Pengalaman dalam dunia nyata bagaimanapun sekadar bertahan kira-kira 4 jam sahaja. Boleh menganggap ia sebagai sesuatu yang mengecewakan kerana tidak dapat digunakan dalam tempoh masa yang sama. Hasil ini juga sama sekali jauh berbeza dengan apa yang diiklankan oleh Huawei menerusi fon telinga ini.

Selain itu, fon telinga di sebelah kiri juga sering kehabisan bateri lebih awal berbanding kanan. Kesemua keadaan ini melibatkan tahap kelantangan yang agak tinggi bersama fungsi ANC yang diaktifkan sepanjang masa. Bagaimanapun bukan suatu hal yang mengejutkan kerana ketahanan bateri sebegini juga sering kami terima sewaktu membuat ulasan untuk beberapa fon telinga Huawei sebelum ini. Proses pengecasan semula turut boleh dibuat dalam tempoh masa singkat menggunakan kabel pengecas USB-A ke USB C yang diberikan percuma di dalam kotak pembelian.


Peranti Pesaing

Huawei FreeBuds 5iOnePlus Nord Buds Nothing Ear (1)
TWS dalam telingaTWS dalam telingaTWS dalam telinga
11mm Drivers 12.4 mm Titanium Drivers11.6 mm Graphena Drivers
Dua mikrofon
ANC
Empat mikrofon
Tiada ANC
Tiga mikrofon HD
Algoritma ENC
8.5 / 28 jam dengan pod pengecas7 / 30 Jam dengan pod pengecas5 / 34 jam dengan pengecas
USB-CUSB-CUSB-C
Tiada pengecasan nirwayarTiada pengecasan nirwayarTiada pengecasan nirwayar
AAC / LDACAAC / SBCSBC / AAC
Android / iOS / WindowsAndroid / iOS / WindowsAndroid / iOS / Windows
Bluetooth 5.3Bluetooth 5.2Bluetooth 5.2
RM399RM299RM499

Apa Di Dalam Kotak

Berikut ialah apa yang diterima dengan setiap pembelian FreeBuds 5i di Malaysia.

  • 1 X Huawei FreeBuds 5i.
  • 1 X Kabel pengecas USB-A ke USB-C.
  • 3 x Pasang putik silikon pelbagai saiz.
  • 1 X Manual pengguna.

Kesimpulan

Di sini Huawei memberikan sokongan ANC untuk fon telinga nirwayar dengan harga jualan di bawah RM400. Jelas menunjukkan anda tidak semestinya perlu berbelanja lebih untuk mendapatkan set fon telinga dengan audio yang baik di telinga. Benar masih terdapat kelemahan yang perlu ditambah baik, misalnya seperi kualiti audio umumnya dan ketahanan bateri. Begitu juga dengan aplikasi Huawei AI Life yang memberi banyak pilihan tambahan tetapi tidak pula tersedia secara terbina di Google Play Store.

Dalam masa sama, tetapan menyeluruh hanya boleh dibuat dengan peranti di bawah ekosistem Huawei sahaja. Pun begitu, Huawei FreeBuds 5i masih menawarkan ciri yang sesuai dengan bajet, di mana sesuai untuk bunyi yang baik tetapi bukan audiophile. Bagi yang berminat, Huawei FreeBuds 5i dijual di Malaysia pada harga RM399.


Pro

  • Rekaan pod simpanan yang padat.
  • Sokongan ANC terbina.
  • Kalis air IP54.
  • Pad sesentuh yang responsif.
  • Sokongan LDAC.

Kontra

  • Bass tidak cukup mantap.
  • Kawalan menyeluruh hanya menerusi ekosistem Huawei.
  • Jangka hayat bateri yang singkat.
Komen