Carian
ChatGPT Boleh Digunakan Untuk Membantu Mengaturcara Perisian Hasad
January 26, 2023 Nazrin

Perisian kecerdasan buatan ChatGPT secara lazimnya digunakan oleh orang ramai untuk menulis teks, mengadakan perbualan dan juga digunakan untuk menulis dan memperbaiki kod pengaturcaraan pengguna.

Terkini, sebuah laporan daripada CyberArk mengatakan bahawa kebolehan ChatGPT ini bukan sahaja terhad kepada tugasan sebegitu, tetapi ia juga boleh mengaturcara perisian hasad dengan hanya memerlukan input daripada pengguna.

Secara asasnya, perkara ini sepatutnya tidak boleh berlaku kerana ChatGPT mempunyai penuras-penuras kata yang akan menghalang pengguna daripada mereka meminta ChatGPT melakukan sesuatu yang jahat, tetapi dengan beberapa kata-kata kunci tertentu dan input yang akan menyebabkan ChatGPT untuk “berfikir” bahawa ia tidak melanggar sebarang peraturan.

Contoh yang diberikan oleh CyberArk ialah untuk ChatGPT mengaturcara kod untuk menyuntik perisian hasad kedalam perisian Explorer, dan ia dilihat memberi kod-kod yang boleh dipetik dan digunakan oleh penggodam yang pakar dalam bidang ini.

Lebih menarik lagi, CyberArk mengatakan bahawa kod yang diberi oleh ChatGPT ini juga boleh dimutasi atau ditambah-baik dan ini membolehkan pengguna untuk menerima variasi-variasi kod yang berbeza untuk melakukan perkara yang sama (seperti menyuntik kod hasad kedalam Explorer) menjadikan setiap perisian hasad yang menggunakan kod-kod ini sebagai satu serangan yang unik.

Ini bukanlah bermakna bahawa sesiapa sahaja boleh menggunakan khidmat ChatGPT untuk membuat perisian hasad mereka sendiri, tetapi ia akan memudahkan lagi kerja mereka yang tahu bagaimana untuk memanipulasi input kecerdasan buatan ini untuk mendapatkan kod sumber perisian hasad dengan cepat dan mudah.

Komen