Carian
Koleksi Jam Tangan Garmin MARQ Generasi Kedua Kini Di Malaysia – Harga Bermula RM9399
January 26, 2023 Amy Maizuraa

Secara umumnya, jam tangan pintar semakin popular dan digambarkan sebagai peranti yang mampu dijadikan alat bantuan dalam menjalani kehidupan seharian yang sihat. Ia juga memberi manfaat yang besar sekiranya digunakan dengan cara yang betul. Berkongsi lanjut, Garmin kini hadir dengan koleksi jam tangan pintar baharu buat pengguna di Malaysia.

Melihat perkongsian terbaharu di laman media sosial rasmi, ia menunjukkan pengenalan untuk siri Garmin MARQ generasi kedua yang terdiri dengan beberapa jenis model berbeza. Ini termasuklah MARQ Athlete (Gen2), MARQ Adventurer (Gen2), MARQ Golfer (Gen2), MARQ Captain (Gen2) dan MARQ Aviator (Gen2). Kesemua jam tangan pintar ini didatangkan dengan tubuh tahan lasak bersama kemasan cukup premium.

Setiap satu daripadanya juga mempunyai fokus pengguna berbeza, misalnya seperti MARQ Athlete (Gen2) ditujukan kepada atlet, maka ia dilengkapi pelbagai sensor penjejakan dan aplikasi latihan. MARQ Adventurer (Gen2) pula mempunyai elemen lebih klasik dengan rekaan berasaskan kulit dan tali sejenis getah hibrid yang tahan lama.

Selanjutnya, MARQ Golfer (Gen2) dikhususkan buat pemain golf, selain turut dilengkapi lebih daripada 42,000 peta padang glof di seluruh dunia. MARQ Captain (Gen2) pula bersesuaian buat penggemar aktiviti laut misalnya seperti tentera laut. Akhir sekali, MARQ Aviator (Gen2) yang dikhususkan buat juruterbang yang turut digunakan bagi menavigasi ke lokasi dalam pangkalan data aeronautik di seluruh dunia.

Kesemua jam tangan ini juga telah disenaraikan di laman web rasmi Garmin Malaysia dengan harga bermula RM9,399 untuk MARQ Athlete (Gen2), RM10,390 untuk MARQ Adventurer (Gen2), RM10,890 untuk MARQ Captain (Gen2), RM11,380 untuk MARQ Golfer (Gen2) dan RM11,880 untuk dan MARQ Aviator (Gen2).

Ketersediaan adalah menerusi kedai atas talian dan pengedar sah rasmi Garmin di seluruh Malaysia.

Komen