Carian
Mercedes Akan Memperkenalkan Kenderaan Dengan Ciri Swapandu DRIVE PILOT Pada Tahun Ini
January 27, 2023 Nazrin

Banyak yang diperkatakan mengenai kenderaan dengan fungsi swapandu yang akan diperkenalkan secara meluas tidak lama lagi. Terkini, Mercedes-Benz telah mengesahkan bahawa mereka akan memperkenalkan kenderaan-kenderaan dengan fungsi swapandu DRIVE PILOT.

Menurut kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Mercedes Benz, kenderaan siri EQS dan juga S-Class tahun 2024 akan hadir dengan fungsi swapandu DRIVE PILOT yang sudahpun disahkan mencapai piawaian SAE Level 3.

Dengan tahap swapandu ini, pengguna boleh membiarkan kenderaan untuk memandu dengan sendiri sekiranya semua syarat-syarat yang diperlukan telah dipenuhi. Walaupun apabila dalam keadaan swapandu, individu masih perlu duduk di tempat duduk pemandu.

Pengumuman ini dibuat apabila kerajaan Nevada telah mengesahkan bahawa fungsi DRIVE PILOT ini memenuhi semua kriteria yang diperlukan untuk memastikan keselamatan penumpang kenderaan, kenderaan-kenderaan lain dan juga individu di jalan raya.

Menurut Mercedes-Benz lagi, fungsi swapandu DRIVE PILOT ini boleh digunakan di lebuhraya-lebuhraya tertentu di Nevada, dan sedang dalam proses untuk mendapatkan kebenaran untuk digunakan di California selepas ini.

Lebih menarik lagi, Mercedes-Benz juga mengesahkan bahawa sebarang kemalangan yang berlaku apabila fungsi DRIVE PILOT digunakan akan ditanggung oleh pihak mereka.

Menariknya, Mercedes menjangkakan bahawa mereka akan memperkenalkan kenderaan-kenderaan ini di Amerika Syarikat sekitar penghujung 2023 ini, dan mungkin akan diperlihatkan secara lebih meluas pada tahun hadapan.

Komen