OnePlus Pad, iaitu tablet pertama OnePlus telah kedengaran sejak tahun lepas. Semalam kami laporkan yang tablet ini akan dilancarkan bersama-sama dengan OnePlus 11, OnePlus Buds Pro 2, OnePlus 11R dan OnePlus Keyboard pada 7 Februari nanti.

Masih tiada spesifikasi didedahkan buat masa ini, tetapi hari ini laman web rasmi OnePlus India telah mengacah rekaan rasmi tablet ini. Ia dilihat menggunakan warna hijau yang terkenal dengan peranti OnePlus sejak OnePlus 8, serta penggunaan bonggol kamera bulat di tengah.

Rekaan penuh belum didedahkan secara rasmi, tetapi MySmartPrice ada berkongsi rekaan penuh yang tertiris. Bezel tablet ini dilihat nipis dan sekata seakan iPad Air, skrin bersaiz 11.6-inci, bahan binaan dikatakan adalah logam, dan kamera swafoto berada di bezel sisi untuk selesa digunakan secara melintang.
Tablet ini dilihat hanya diacah untuk pasaran India, memberi petanda produk ini mungkin akan menjadi seperti OnePlus 11R iaitu terhad untuk pasaran India sahaja.