Microsoft Edge adalah pelayar web ketiga paling popular sehingga hari ini mengikut StatCounter. Populariti Edge ini pun bermula selepas Microsoft menggunakan Chromium sebagai asas kepada pelayar web mereka ini.
Baru-baru in Windows Central melaporkan yang Microsoft mungkin akan memperkenalkan Edge serba baharu. Projek ini diberi nama Project Phoenix untuk membezakan Edge dengan pelayar web pesaing. Phoenix akan menggunakan rekaan selari dengan tema Windows 11 dan mengintegrasikan banyak ciri dan fungsi untuk mesra digunakan bersama peranti Windows.
Ciri paling menarik yang diuji adalah dwi-paparan atau split-screen, di mana satu pelayar web boleh memaparkan dua tab secara serentak dalam tetingkap yang sama. Ciri ini akan memudahkan pengguna yang pentingkan multi-tugasan atau mereka yang tidak gemar menggunakan banyak tetingkap aplikasi atau monitor tambahan.
Seterusnya adalah ciri Tab Activity Center, di mana boleh memaparkan corak penggunaan pengguna untuk kawalan sendiri agar tidak obsesi melayari web. Ciri pengurus kata laluan yang lebih baik turut mungkin akan disertakan. Tetapi buat masa ini, Project Phoenix hanya diuji secara dalaman dan tidak pasti lagi bila ia akan dilancarkan kepada umum.