Carian
Ulasan – Masih Baik Beli Poco X5 Pro
February 7, 2023 Effi Saharudin

Poco F1 menggegarkan dunia telefon pintar pada tahun 2018 dengan kombinasi cip kelas mercu dan harga kelas pertengahan. Mereka lebih OnePlus daripada OnePlus kerana harga peranti mereka boleh dikatakan tidak masuk akal. Kini kini di tahun 2023 dan Poco masih lagi wujud cuma mereka tidak prolifik seperti pengeluar lain.

Menerusi Poco X5 Pro yang baru sahaja dilancarkan mereka sekali cuba menawarkan sebuah produk yang mantap pada harga yang berbaloi. Tetapi landskap telefon pintar Malaysia telah banyak berubah sejak 2018. Definisi berbaloi juga berbeza antara pengguna yang kini mahukan lebih banyak ciri untuk setiap ringgit yang dibelanjakan. Maka adakah baik beli Poco X5 Pro atau ada pilihan lebih baik tahun ini?

Spesifikasi

Poco X5 Pro
Skrin6.67″ AMOLED
1080 x 2400 pixel
HDR10+
PemprosesSnapdragon 778G 5G (6nm)
Cip1 X 2.4 GHz Cortex A78
3 X 2.2 GHz Cortex A78
4 X 1.9 GHz Cortex A55
Cip GrafikAdreno 642L
RAM8 GB LPDDR4X
Muatan Dalaman256 GB UFS 2.2
Kamera Utama108 MP, f/1.9 (Sudut Lebar)
8 MP, f/2.2 (Ultra Sudut lebar)
2 MP, f/2.4 (Makro)
4K 30p
Kamera Depan16 Megapixel f/2.5
1080p 60p
Bateri5000 mAh
Pengecasan berwayar 67W
SIM/TelefoniDwi SIM Nano /5G
NFCYa
Infra MerahYa
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanCap jari sisi
Harga JualanRM1299 (6/128 GB)
RM1499 (8/256 GB)

Skrin

Skrin 6.67″ AMOLED dengan sokongan kadar segar semula 120Hz digunakan dengan ia adalah dari jenis rata. Kami sukakan rekaan ini kerana tiada isu kandungan melimpah ke sisi skrin lebih terpelihara daripada hentakan sekiranya terjatuh. Skrin nampak pantas apabila aksi tatalan dilakukan dan mengesan jari dengan cukup baik. Cuma jika di bawah matahari yang terik, tatalan nampak seperti turun ke 60Hz secara rawak. Bezel skrin juga nipis dan sekata membuatkan peranti nampak kemas apabila dipandang dari hadapan.

Kandungan Dolby Vision juga boleh dipaparkan pada skrin tanpa sebarang isu. Kami berjaya menikmati kandungan HDR ini dari Netflix dan Disney+ Hotstar dengan lancar. Sistem DRM pada X5 Pro juga membenarkan peranti ini menstrim kandungan pada resolusi HD penuh.

Skrin amat terang dengan sudut pandangan yang memuaskan walaupun ketika digunakan di luar dengan matahari terik. Kekurangan yang ada ialah ia bukan dari jenis LTPO dan tidak mempunyai pengimbas cap jari terbina. Sebaliknya pengimbas cap jari diletakkan pada sisi kanan terbina pada butang kuasa. Ia agak perlahan dengan proses menyahkunci boleh mengambil masa sekitar setengah saat.

Seperkara lagi ialah sensor cahaya yang mengawal keterangan skrin secara automatik agak tidak konsisten. Kerap kali skrin nampak malap sehingga sukar melihat apa yang dipaparkan. Kerana kerap kali gagal, kami mematikan sistem keterangan automatik dan mengubahnya secara manual sahaja.

Rekaan

Rekaan tubuh X5 Pro sama dengan X4 Pro yang berkotak pada keempat-empat sisi. Di dalam tangan ini menjadikan peranti amat selesa di dalam tangan dan paling penting sekali teguh. Bingkai logam yang digunakan tidak mudah dilentur dan mempunyai kemasan tidak berkilat menjadikannya tidak licin.

Butang kuasa dengan pengimbas cap jari dan butang laras audio dari jenis rocker memanjang terletak pada sisi kanan. Di bahagian atas terdapat bicu audio 3.5mm, kekisi audio dan pemancar infra merah. Talam dwi-SIM nano dengan slot mikro SD diletakkan pula di bawah dengan port USB-C dan sebuah lagi kekisi audio yang melengkapkan sistem audio stereo.

Bonggol yang sederhana besar diletakkan pada bucu atas kiri di panel belakang. Dua lensa utama yang besar dipadankan dengan lensa makro yang lebih kecil. Konfigurasi yang sama seperti pada Poco X5 GT tahun lalu. Ini membuatkan peranti tidak boleh diletakkan rata atas meja. Panel belakang diperbuat sepenuhnya daripada logam yang seperti bingkai tidak berkilat.

Ia tidak mudah kotor dan ini amatkan menggembirakan kami. Selain tidak mudah kotor ia juga tidak licin yang membuatkan kami cukup yakin untuk menggunakannya tanpa kerangka. Jika anda mahukan kerangka, seperti lazim Poco memberikan sebuah kerangka polikarbonat yang lutcahaya dengan setiap pembelian.

Rekaan X5 Pro mungkin bukan yang paling inovatif, premium ataupun menarik perhatian tetapi ianya praktikal. Kadang kala dalam dunia yang kini lebih mementingkan estetik kita terlupa bahawa fungsi perlu mendahului rupa. Keselesaan penggunaan pada X5 Pro dan ini adalah bagus untuk pengguna.

Antaramuka Dan Pengalaman Penggunaan

Pelancar MIUI 14 digunakan tetapi adalah versi berasaskan Android 12. Kita sudah di bulan Februari 2023 dan Poco masih menggunakan Android 12. Ini pada hemat kami sukar dimaafkan kerana pada Android 13 terdapat pelbagai ciri baharu seperti tema automatik yang sepatutnya boleh diakses. Walaupun Poco ialah jenama mampu milik, ia bukan alasan untuk menggunakan Android 12 yang sudah boleh dianggap usang.

Model yang kami ulas dipadankan dengan Snapdragon 778G, memori 8GB dan storan 256GB. Terdapat ciri menambah RAM secara maya sebanyak 2, 3 atau 5 GB berdasarkan kehendak pemilik dengan ia mengambil sebahagian storan 256GB UFS 2.2. Ia turut boleh dimatikan. Sepanjang ulasan kami aktifkan ciri Memory Extension ini dengan 3GB memori maya. Prestasi penggunaan adalah baik dengan tiada isu lengah masa atau peranti tersekat-sekat dengan serius. Isu tersekat-sekat hanya dikesan ketika proses awam mengembalikan tetapan peranti dari storan Google Cloud.

Memasang dan melancarkan aplikasi adalah tanpa isu. Kami tidak menemukan sebarang aplikasi yang tidak boleh dipasang atau kerap terhenti selepas dua minggu penggunaan. Cip Snapragon 778G walaupun sudah agak berusia masih mampu memberikan prestasi yang memuaskan.

Pujian kami berikan kepada antaramuka MIUI yang mudah difahami dengan ikonografi pada skrin tetapan yang mudah difahami. Pelbagai ciri tambahan yang diberikan juga membuatkan peranti lebih mudah digunakan. Antara ciri tambahan tersebut ialah Dual Apps, Emergency SOS, Themes, App Lock, Second Space, Enterprise Mode dan pengimbas nadi.

Isu iklan yang dahulunya sinonim dengan MIUI juga tidak lagi wujud pada MIUI 14 melainkan aplikasi dipasang menerusi GetApps dan bukannya Play Store. Yang masih wujud adalah aplikasi gendut terpasang sejurus selepas peranti dibuka. Aplikasi Booking.com, Genshin Impact, Facebook,Agoda, Spotify, Amazon, TikTok, dan Bubble Shooter antara yang sudah dipasang. Berguna jika anda mahukannya tetapi kami menyahpasang kerana sekadar memakan ruang storan.

Penanda Aras

Cip Snapdragon 778G pada X5 Pro mencatatkan markah di bawah dalam ujian Geekbench 5 dan Antutu 3D. Kami tidak boleh memasang aplikasi 3D Mark pada peranti kerana ia dihalang oleh MIUI. Mari bandingkan skor penanda aras X5 Pro dengan Honor 70 5G dan Nothing Phone (1) yang menggunakan cip Snapdragon 778+.

Geekbench 5

  • Poco X5 Pro – 781/2892
  • Honor 70 5G – 814/2926
  • Nothing Phone (1) – 819/2935

Antutu 3D

  • Poco X5 Pro – 529,942
  • Honor 70 5G – 554,434
  • Nothing Phone (1) – 583,079

Tiada isu prestasi dan lebih penting sekali ialah banyak permua boleh dimainkan pada tetapan yang agak tinggi dengan kadar bingkai yang stabil. Sekali lagi kami gunakan COD Mobile sebagai penanda aras dan ia boleh dimainkan dengan tekstur tinggi dan hampir semua tetapan grafik diaktifkan. Permainan lancar dapat dinikmati. Peranti juga tidak menjadi panas selepas empat sesi MP berterusan.

Ciri Game Turbo membolehkan permua ditetapkan supaya berjalan lebih lancar atau meningkatkan prestasi pemprosesan semasa ia dijalankan. Notifikasi dan panggilan telefon boleh diabaikan secara automatik menerusi tetapan dalam Game Turbo.

Tiada isu untuk menjadikan X5 Pro sebuah peranti untuk permua kerana Snapdragon 778G adalah cukup berkuasa untuk majoriti aplikasi pada tetapan sederhana. Tiada juga sebarang isu menjalankan aplikasi lain seperti YouTube, Facebook, TikTok, Netflix, dan Instagram.

Telefoni dan GPS

Poco X5 Pro dilengkapi modem 5G tetapi sepanjang tempoh ulasan kami tidak dapat menyambungkannya ke rangkaian 5G Digi di bawah DNB. Peranti turut masih tiada dalam senarai yang disokong pada waktu ini. Sambungan internet kepada rangkaian 4G LTE+ adalah baik dan terdapat juga sokongan panggilan suara VoLTE. Tetapi kami sedari kadang kala ketika menggunakan telefon, terdapat masa pendam yang ketara sehingga suka berbual dengan insan yang dihubungi.

Prestasi GPS juga sebaik prestasi selular dengan lokasi boleh dijejak dalam aplikasi Waze dan Google Maps dengan pantas. Semasa memandu isyarat tidak terputus walaupun di tengah-tengah Kuala Lumpur yang dipenuhi bangunan tinggi.

Kamera

Kamera utama 108MP sudut lebar, 8MP ultra sudut lebar dan 2MP makro dipadankan dengan kamera hadapan 16MP. Dukacita dimaklumkan tiada sistem OIS pada kamera utama. Aplikasi kamera hadir dengan ciri standard Portrait, Night, Panorama dan 108MP. Walaupun dilengkapi sensor makro, tiada mod makro pada kamera. Apabila gambar makro cuba diambil, gambar yang diambil kabur. Ini membuatkan kami curiga lensa makro yang disertakan seakan tidak berguna langsung.

Mudah menggunakan aplikasi kamera kerana ikonografi yang mudah difahami dan juga ciri-ciri utama boleh diakses dengan pantas. Prestasi kamera adalah adalah sederhana sahaja dengan ia tidak sepantas sebuah peranti mercu. Proses menukar antara lesan sudut lebar ke ultra sudut lebar mengambil masa sekitar satu saat.

Sepatutnya isu ini tidak berlaku kerana pada Honor 70 dan Nothing Phone (1) juga dengan Snapdragon 788 isu kamera perlahan tidak berlaku. Aplikasi kamera perlu dioptimumkan untuk menjadikannya lebih lancar. Berikut ialah beberapa sampel gambar yang diambil menggunakan kamera X5 Pro.

Pada lensa utama 108MP gambar yang diambil adalah terang tetapi kurang tajam kerana tiada OIS terbina. Untuk mengambil gambar yang baik, kami perlu menahan nafas untuk menstabilkan kamera sebelum butang kamera dipetik. Kami juga sedari dalam pencahayaan yang baik gambar adalah memuaskan cuma sedikit gelap berbanding keadaan sebenar.

Mod malam juga nampak lebih lembut sekali lagi kerana tiadanya OIS. Kesan blooming ketara pada sumber cahaya. Dalam situasi gelap ada sedikit hingar.

Satu isu yang kurang menyenangkan ialah mod potret swafoto nampak terlalu palsu. Kadang kala pengasingan latar belakang dengan objek tidak dilakukan dengan baik. Ini dapat anda lihat pada gambar swafoto di bawah. Sepanjang topi dan rambut kesan bokeh nampak sangat janggal.

Bateri

Bateri 5000 mAh yang besar menyokong pengecas 67W yang disertakan dengan setiap pembelian. Dalam ujian yang kami lalukan, X5 Pro boleh bertahan sepanjang hari dengan SOT mencecah 10 jam pada penggunaan sederhana. Hayat bateri yang memuaskan untuk peranti 2023. Kami sering melihat masa ada sekitar 20-30% bateri di penghujung hari sebelum tidur. Waktu mengecas semula adalah sekitar 1 jam yang boleh dimaafkan kerana kapasiti bateri yang besar. Pengecas 67W juga diberikan dengan setiap pembelian.

Audio

Audio dari speaker stereo adalah seimbang kerana kedua-dua kekisi audio menembak ke sisi. Sistem Dolby Atmos berfungsi dengan speaker dan juga aksesori audio yang dipasang. Kelantangan audio adalah memuaskan cuma badan X5 Pro akan bergetar dengan kuat pada tetapan paling tinggi sehingga tidak selesa dipegang. Masih terdapat bicu audio 3.5mm di bahagian atas yang menjadikan telefon ini unik kerana ini ialah ciri yang semakin jarang diberikan pada peranti moden.

Pesaing

Poco X5 ProXiaomi 11 Lite 5G NESamsung Galaxy A73 5G
6.67″ SAMOLED, 1080 x 2400, 120Hz, (395 PPI), Dolby Vision6.55″ AMOLED, 1080 x 2400, 90Hz, (402 PPI), Dolby Vision6.71″ SAMOLED, 1080 x 2400, 120Hz, (393 PPI), HDR10+
Snapdragon 778G (6nm)
4 X 2.4 GHz Kryo 670 Gold
4 X 1.9 GHz Kryo 670 Silver
Snapdragon 778G (6nm)
4 X 2.4 GHz Kryo 670 Gold
4 X 1.9 GHz Kryo 670 Silver
Snapdragon 778G (6nm)
4 X 2.4 GHz Kryo 670 Gold
4 X 1.9 GHz Kryo 670 Silver
Adreno 642LAdreno 642LAdreno 642L
6/8 GB8 GB8 GB
128/256 GB UFS 2.2
256 GB UFS
256 GB UFS
(Mikro SD 1TB)
Kamera Utama
108+8+2 Megapixel (f/1.9+f/2.2+f/2.4)
Kamera Utama
64+8+5 Megapixel (f/1.8+f/2.2+f/2.4)
Kamera Utama
108+12+5+5 Megapixel (f/1.8+f/2.2+f/2.4+f/2.4)
Kamera Hadapan
16-Megapixel f/2.4
Kamera Hadapan
20-Megapixel f/2.2
Kamera Hadapan
32-Megapixel f/2.2
Tidak kalis airIP53IP67
Bicu audio 3.5mmTiada Bicu audioTiada Bicu Audio
Audio StereoAudio StereoAudio Stereo
5000 mAh (Berwayar 67W)4250 mAh (Berwayar 33W)5000 mAh (Berwayar 25W)
RM1299 (6/128GB)
RM1499 (8/256GB)
Harga RM1599Harga RM2099

Dalam Kotak

Apa Di Dalam Kotak

Berikut ialah yang disertakan dalam kotak yang kami terima.

  • 1x Poco X5 Pro
  • 1x Kerangka silikon lutcahaya.
  • 1x Pengecas dua pin 67W
  • 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C.
  • 1x Pin SIM.
  • 1x Manual.

Kesimpulan

Masihkah baik beli Poco X5 Pro? Jawapannya ya kerana ia berfungsi sebagai peranti kelas pertengahan yang baik dengan harga jualan yang munasabah. Skrin menyokong paparan Dolby Vision, dan AMOLED 120Hz. Pemproses Snapdragon 778G juga amat baik menjalankan pelbagai aplikasi dan permua tanpa isu pemanasan. Kamera tidak begitu hebat tetapi ia setanding dengan majoriti peranti dalam kelas yang sama. Kemudian terdapat speaker stereo dengan Dolby Atmos.

Kekurangan ialah tiada sokongan kad mikro SD pada sebuah peranti kelas pertengahan, pengimbas cap jari perlahan dan kamera makro yang sekadar gimik. Di akhir hari dengan harga jualan bermula RM1299 kami rasakan ia adalah berbaloi untuk apa yang ditawarkan.

Pro

  • Skrin AMOLED 120Hz dengan Dolby Vision yang terang.
  • Snapdragon 778G ialah pemproses kelas pertengahan yang berkuasa.
  • Audio stereo dengan Dolby Atmos.
  • Bicu audio 3.5mm.
  • Hayat bateri yang memuaskan.

Kontra

  • Masih Android 12.
  • Pengimbas cap jari perlahan.
  • Tiada slot kad mikro SD.
  • Tiada sokongan 5G DNB pada waktu ini.
Komen