Model kad grafik NVIDIA GeForce RTX 4090 dilihat sebagai kad grafik pengguna yang paling berkuasa di pasaran sekarang yang mampu menggerakkan permainan komputer pada resolusi 4K/6K dengan kadar segar semula dan resolusi yang tinggi.
Terkini, gambar sebuah kad grafik baru daripada NVIDIA nampaknya telah tertiris ke arena web, dan ia dilihat mempunyai saiz rangka yang jauh lebih besar berbanding dengan RTX 4090.
Setakat ini, beberapa laman web telah menamakan kad grafik ini sebagai NVIDIA GeForce RTX 4090 Ti ataupun NVIDIA GeForce RTX TITAN, dengan kemungkinan bahawa NVIDIA akan mengembalikan nama TITAN sebagai penanda pemproses grafik paling berkuasa mereka.
Kad grafik ini dilihat hadir dengan ketebalan empat slot pengembangan dan berbeza dengan kad-kad grafik NVIDIA sebelum ini, palam output video pada kad grafik ini disusun secara menegak dan bukan mendatar, memberi gambaran bahawa rekaan papan litar untuk kad grafik ini adalah berbeza berbanding dengan model sebelum ini.
Seperti yang digambarkan juga, sistem penyejukan kad grafik ini jauh lebih besar berbanding apa yang diperlihatkan sebelum ini, dan ini adalah kerana ia juga dikatakan bahawa kad grafik ini boleh memakan 600W kuasa sepanjang masa, dan mempunyai had penggunaan kuasa setinggi 800W.
Dari segi penggunaan GPU, kad grafik ini dikatakan akan menggunakan cip AD-102-450 dengan 18,176 teras CUDA dan akan tampil dengan 48GB memori GDDR6X dengan kelajuan 24Gbps, iaitu memori GDDR6X yang terpantas setakat ini.
Buat masa ini ia tidak diketahui lagi bilakah NVIDIA akan memperkenalkan kad grafik terbaru ini, tetapi apa yang pasti ialah ia akan menduduki takhta kad grafik paling berkuasa terbaru syarikat tersebut.