Cari @ Amanz

Intel telah melancarkan kad grafik pertama mereka, Intel Arc Alchemist pada tahun lepas, dan tampil dengan prestasi grafik kelas pertengahan premium bagi peminat tegar jenama Intel, dan mereka yang mahu menggerakkan permainan komputer dengan grafik dan prestasi kelas pertengahan tanpa perlu membelanjakan wang yang banyak.

Baru-baru ini, seorang eksekutif Intel yang bernama Zach Hill telah berkongsi tentang sebuah projeknya melalui penstriman Intel Insiders Community bahawa dia sedang membangunkan replika Lego berskala 1:1 sebuah kad grafik Intel Arc Alchemist A750 yang telah dimulakan sejak enam bulan yang lalu.

Untuk ini, beliau menggunakan perisian Lego BrickLink yang memberinya akses maya kepada bahagian-bahagian Lego sedia ada yang boleh digunakan untuk membina replika kad grafik tersebut. Salah satu sebab yang diberikan mengapa kad grafik Arc A750 digunakan ialah ia tidak memerlukan sebarang lampu RGB untuk membangunkan replika tersebut.

Zach Hill mengatakan bahawa setakat ini projek replika Lego ini adalah 80 peratus siap, dan akan memakan sedikit masa lagi sebelum ia siap sepenuhnya. Apabila ditanya sekiranya replika kad grafik ini akan dijual secara meluas selepas siap, dia mengatakan bahawa ia boleh dibawa ke program Lego Ideas Set dan boleh dijual sekiranya ia mendapat 10 ribu undian dalam masa enam bulan, tetapi buat masa ini Zach Hills tiada sebarang perancangan mengenai perkara itu.

  • Sumber
  • Tom’s Hardware
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd